Good morning! ❤️❤️
BAB 4
"NANTI kita ambil gambar kat tasik situ, jom. Lawa pula aku tengok," kata Syazlin, menarik fokus Falisha.
Sebenarnya sejak hari pertama ke sini, tasik itu menarik perhatiannya. Tak sangka pula dia di kolej vokasional ini ada sebuah tasik yang elok dijaga. Ada juga sebuah jambatan, membuatkan Falisha sempat membayangkan dia dan Syazlin bergambar dengan pelbagai gaya di situ.
"Tapi aku lebih tertarik dengan pokok kat belakang tu. Daun dia warna hijau dan ada perang-perang sikit. Cantik. Bagi aku vibe ala-ala dekat oversea," kata Falisha sambil melurus jari. Disebabkan dia suka menonton drama Hollywood dan Korea, Falisha selalu mengangankan dia menjejakkan kaki ke negara empat musim. Bila tiba musim luruh, pasti cantik sebagaimana yang terpampang di kaca TV. Warna hijau dan perang coklat, daun-daun dan bunga-bungaan yang terdampar di atas rumput dan jalan raya... Pasti lebih cantik andai dilihat dan dirakam mata kepalanya sendiri.
Syazlin mengangguk laju. Bersetuju seratus peratus dengan Falisha sebab dia sendiri pernah ke London pada musim luruh.
"Haah, serius lawa. Kalau kau pergi taman macam Hyde Park dekat London, mesti kau suka."
"Syaz, kau pernah pergi London kan? Cuba kongsi sikit apa yang ada dekat sana." Kepoh, Falisha bertanya. Badan turut menyendeng pada Syazlin. Sebenarnya Syazlin tak buka mulut pasal dia melancong ke sana pun tapi Falisha tahu daripada bingkai gambar di bilik Syazlin. Gambar dia dan keluarganya di hadapan Buckingham Palace.
"Entah. Aku pun tak tahu apa yang menarik sangat dekat sana. Adalah Big Ben, London Eye, Madame Tussauds tu semua, tak adalah gempak sangat pun. Aku lagi suka ke Edinburgh. Ahhh tapi mungkin juga aku bitter dengan London sebab aku kena scam dengan badut bodoh," kata Syazlin bersama gigi diketap sekuatnya. Terbayang-bayang muka hodoh badut-badut yang dia temui pada malam di London. Dahlah hodoh, biadab pula!
"Kena scam? Dengan badut?" Lugu, Falisha menyoal semula.
"Haah! Parents aku tinggal kat hotel, jadi malam tu aku jalan-jalan dengan kakak aku aje. Seronok kita orang selfie segala, tiba-tiba ada beberapa ekor badut datang menempel. Konon nak ambil gambar sama-sama. Terkejut kita orang tapi dah semua badut bodoh tu beria sangat, kita orang ambil ajelah gambar. Tup-tup lepas tu, dia orang minta duit. Katanya upah bergambar. Aku dan kakak aku tak nak bagi, dia orang paksa-paksa. Siap ada yang pegang-pegang beg kita orang, nak ambil sendiri purse."
"Eh bodohnya!" Dah Syazlin tak sudah-sudah mencarut badut-badut itu, dengan Falisha sekali ringan mulut mencemuh. Dia tidak melalui apa yang pernah dialami Syazlin tapi Falisha juga rasa cuak dan takut. Dahlah mereka wanita. Syazlin kata ada beberapa orang badut, semestinya lebih dari seorang dan boleh lakukan apa saja ke atas mereka.
"Memang! Aku dengan kakak aku dah cuak, kita orang bagi aje £10. Itu pun tak cukup. Dah bagi £20, baru dia orang blah. Melayang duit aku bodoh-bodoh gitu aje!" luah Syazlin penuh emosi. Setahun dah berlalu pun, dia masih bengang dengan badut-badut itu. Habis hilang segala mood dia dan kakaknya tika itu, terus mereka patah balik ke hotel. Bila Syazlin cari di Google, rupa-rupanya perkara itu sudah biasa terjadi. Badut-badut itu menyasarkan pelancong dari negara luar dan memeras ugut selagi tak dapatkan duit. Tetapi ada juga beberapa orang yang lebih berani dan akal panjang, mereka buang saja gambar itu di hadapan badut-badut durjana itu. Ternyata, berhasil. Mereka dilepaskan pergi, tak perlu bayar apa-apa.
Ah memang Syazlin tak halalkan duit tersebut. Tahulah nasib kesemua penyangak itu di akhirat nanti!
"Hesy takutnya... Seriau pula aku nak ke sana. Syaz, kalau ada rezeki aku ke sana, kau jadi tour guide akulah. Boleh?" tanya Falisha walhal sejujurnya, entah bila dia boleh ke sana. Menjadi anak sulung, semestinya dia kena utamakan umi abah dan adiknya. Nak bayar hutang duit pinjaman pengajian, kehidupan sehariannya dan hal-hal lain... Kalau Falisha berjimat cermat pun, entah-entah lagi sepuluh atau lima belas tahun baru dia boleh realisasikan impiannya.
YOU ARE READING
Cinta Untuk Sekali Lagi (TERBIT - Penerbitan BesQ)
Romansa"Kerana ada ketika, kita terlepas peluang cinta untuk kali pertama." MENOLAK luahan perasaan seseorang sambil tersenyum manis? Kejamnya! Tapi itulah yang disaksikan Falisha. Seorang lelaki menolak pengakuan cinta wanita lain bersama muka semanis gul...