BAB 11
Dua tahun kemudian...
"SEKEJAP. Rehat sekejap."
Mendengarkan suara itu, semerta tiga pasang kaki yang lain berhenti melangkah. Pada seorang wanita yang termengah-mengah melabuhkan duduk di sebuah kerusi, mereka tetapkan fokus.
"Baru sampai F7, kau dah mengah? Hek eleh, tadi dia yang pung pang sangat, konon bersemangat! Blah la, Syaz!"
Geram ditempelak begitu, Syazlin segera tutup semula botol air mineral lalu dia lempar ke arah Qidran. Lelaki itu cuba mengelak tapi tetap sipi-sipi terkena bahunya.
"Iboh main tikam-tikam aie, Syaz. Sik bagus!" kata Qidran, sengaja menambah meter jengkel Syazlin. Geram, lalu Syazlin balas dengan jelingan.
Huzair tergelak sendiri. Sedar tak sedar, rupanya sudah dua tahun lebih berlalu sejak pertemuan tak sengaja di Kuching di antara mereka berempat. Sejak setahun lalu pula, hubungan dia, Falisha, Syazlin dan Qidran semakin akrab. Tak cukup dia dan kedua-dua wanita itu mengajar di tempat sama manakala Syazlin dan Qidran memang saling mengenali di sekolah menengah lagi, sekarang mereka berempat jadi lebih rapat disebabkan aktiviti mendaki gunung. Aktiviti yang selalu dilakukan Huzair bersama Qidran sahaja, kini sudah ada dua lagi teman baharu.
Melihatkan Falisha yang juga geli hati dengan perbalahan comel itu, Huzair segera mengaju soalan.
"Kau okey? Penat? Nak rest dulu?"
"Okey aje. Ni baru F7, kan? Total ada lima belas kan?" Falisha bertanya semula. Semalam, itu yang diberitahu Huzair tentang Gunung Santubong ini tapi kutlah Huzair tersalah informasi atau dia yang tersalah dengar. Apabila Huzair mengiakan dengan anggukan, Falisha turut sama tersengguk.
"Yad macam mana? Sihat?" Tiba-tiba Huzair bertanya khabar Fayyad. Rasa kasihan datang menyapa. Dua tahun lalu, Fayyad dibuli teruk hanya kerana dia difitnah mencuri komputer riba dan duit kawan sekelas padahal orang lain yang mencuri. Ahli kumpulan Zaim itu sendiri!
Terbayang wajah Fayyad di layar mata Falisha. Baru semalam dia buat panggilan video dengan adiknya. Alhamdulillah, keadaan Fayyad baik-baik saja. Selepas kejadian itu, Fayyad berhenti belajar di sana dan mendaftar di sebuah kolej di Kuala Lumpur. Setakat ini, Fayyad tampak gembira. Falisha ingat lagi tika itu dia pesan...
"Janji dengan akak. Yad takkan biarkan sesiapa buli Yad lagi. Kalau Yad tak boleh janji... Kalau keadaan tu berulang... Akak seret Yad ke Betong dengan akak."
Syukur sangat, Fayyad berjanji dan menunaikannya. Pandang Huzair semula, bibir Falisha mengukir senyum. Buat kesekian kalinya dia bersyukur mengenali Huzair. Kerana tugas, Falisha tak boleh ada bersama Fayyad dan menguruskan segalanya tetapi disebabkan kenalan Huzair, segala urusan Fayyad menjadi mudah.
Namun saat seterusnya, senyuman Falisha bertukar menjadi cemikan. Huzair tanya khabar Fayyad? Huh pandai berlakon! Sedangkan...
"Kau Whatsapp dengan dia hampir setiap minggu. Konon-konon nak tanya aku pula. Aku pun dah confuse. Fayyad tu adik aku atau adik kau?"
Mendongkol hati Falisha mengenangkan keakraban mereka. Tak berjumpa atau buat panggilan video pun, rajin pula Fayyad dan Huzair saling berhubung! Kalau Huzair tak tanya khabar, Fayyad yang rela hati menyampaikan khabarnya. Bila Falisha larang sebab takut mengganggu Huzair, Fayyad kata dia cuma berbahasa pada orang yang berjasa kepadanya. Caj rawatan pun, semua dibayar Huzair. Jadi apa salahnya dia mengekalkan silaturrahim dengan adiwiranya itu? Sementelah, Huzair sendiri berpesan pada Fayyad untuk sentiasa maklumkan khabar berita.
"Aku tak ada adik. Bagilah pinjam adik kau sekejap," kata Huzair penuh selamba.
Waktu itu juga, Syazlin dah kumpul semula tenaganya. Misi menawan Gunung Santubong diteruskan, itupun Syazlin sempat membebel lagi.
YOU ARE READING
Cinta Untuk Sekali Lagi (TERBIT - Penerbitan BesQ)
Romance"Kerana ada ketika, kita terlepas peluang cinta untuk kali pertama." MENOLAK luahan perasaan seseorang sambil tersenyum manis? Kejamnya! Tapi itulah yang disaksikan Falisha. Seorang lelaki menolak pengakuan cinta wanita lain bersama muka semanis gul...