Sudah masuk dua hari, aku masih dingin dengan Helmi. Bukan dia tak pujuk aku. Dah banyak kali dan dah bermacam macam cara dia pujuk aku. Cuma aku yang malas nak layan. Sebelum buat taknak fikir, ha sekarang ni hadap lah sendiri.
Sekarang ni pun aku dah balik rumah aku. Jadi kalau nak perang besar pun tak perlu risau sebab takde siapa nak tengok.
Aku meletakkan majalah di atas meja. Sekarang ni aku hanya seorang di rumah. Helmi entah kemana perginya. Katanya nak jumpa kawan. Entah betul entah tidak dia tu. Malas aku nak ambil tahu.
Aku tau sekarang ni aku agak berdosa. Erm.. bukan agak lah tapi memang berdosa sebab aku buat suami aku macam tu. Aku abaikan sedikit tanggungjawab aku sebagai seorang isteri. Tapi, dia yang mulakan semua ni dulu. Kalau dia jaga hati aku, takdenya aku nak marah dia sampai macam ni sekali.
Aku mengeluh perlahan. Bosan lah pula baca majalah je tapi fikiran melayang ke arah lain. Aku bangun dari duduk sambil memegang perut aku yang makin membentuk itu. Agak terbatas pergerakan aku.
Aku menuju ke arah tangga untuk naik ke tingkat atas. Rasa macam nak tidur saja lah. Bukannya boleh buat apa pun sorang sorang dekat rumah ni. Kalau nak kemas rumah, Helmi tu bukannya bagi aku buat. Nanti membebel je kerjanya. Lebih baik aku tidur lagi bagus.
Pintu bilik ditutup selepas aku memasuki bilik. Baru sahaja mahu duduk di atas katil, aku melihat laci di meja solek yang paling bawah. Tiba tiba terasa mahu membuka laci itu.
Selama ini, aku tidak pernah membuka laci itu walaupun sudah agak lama duduk di rumah ini. Mungkin disebabkan kedudukannya yang agak ke bawah itu membuatkan aku rasa malas mahu ambil tahu.
Helmi juga pernah cakap jangan pernah buka laci itu. Tidak pula aku bertanya kenapa sebab aku memang tidak mahu ambil tahu. Tapi tiba tiba hari ni rasa ingin tahu itu membuak buak.
Aku menarik laci itu. Terkunci pula. Aku mencari cari di bahagian laci yang terdapat barang barang Helmi. Mana lah dia letak kunci ni. Kemudian, aku mencari pula di laci meja sebelah katil. Terlihat satu kotak kecil berwarna ungu terletak paling dalam. Aku menarik kotak itu keluar lalu membuka penutupnya.
Hampir terjoget aku setelah melihat kunci di dalam kotak itu. Aku mengambilnya dan memasukkan kunci itu di bahagian kunci yang ada di laci itu. Serta merta laci itu terbuka.
Aku menarik laci itu. Tiada apa yang menarik kecuali satu sampul yang agak besar berwarna coklat. Surat ke? Aku memegang sampul itu. Bukan surat. Terasa seperti barang di dalam sampul itu. Tapi apa dia ya?
Disebabkan rasa ingin tahu membuak buak, aku mengambil sampul itu. Aku melihat ke dalamnya selepas sampul itu berada di tangan ku.
Terbuntang mata aku melihat sepucuk pistol berada di dalam sampul itu. Aku mengeluarkan pistol itu. Menggigil aku meletakkan pistol itu di atas katil.
Apa ni? Kenapa pistol ni ada dekat sini? Helmi punya ke? Tapi kenapa Helmi simpan pistol ni? Ada apa apa yang dia rahsia kan daripada aku ke? Apa sebenarnya yang berlaku ni?
Aku memegang kepala aku yang agak sakit. Serta merta kenangan 3 tahun lepas menyergah fikiran aku.
——
Flashback 3 years agoAku yang baru habis kelas itu menyandarkan diri di kepala katil di bilik rumah sewa ku. Disebabkan hari ini ada test, aku pulang ke rumah agak lewat sedikit. Ditambah pula ada hal selepas itu, itu yang sampai rumah pun hampir pukul 9.
Selesai membersihkan diri, aku bermain dengan telefon dahulu sebelum mahu keluar untuk makan. Belum sempat tombol pintu dipulas, bunyi deringan telefon aku mematikan langkah ku. Aku duduk di atas katil semula dan mencapai telefon. Nama pemanggil dibaca sebelum tersenyum dan mengangkat panggilan tersebut.
"Helo." ucap pemanggil di sana.
"Ye ada apa Encik Adha call saya malam malam ni?" balas aku sambil tersenyum.
"Amboi, nak call pengarang jantung hati saya pun tak boleh ke? Kenapa? Awak dah jumpa lelaki lain?" kedengaran rajuk pada suara Adha. Aku sudah menggeleng kepala perlahan.
"Pandai pandai je awak ni. Saya tanya je kenapa awak call? Takdenya nak ada lelaki lain," balas aku sambil mencebik. Kedengaran ketawa halus lelaki itu.
"Em, saya nak jumpa awak sekajap boleh?" tanya Adha.
"Jumpa? Kat mana? Saya baru balik kelas tadi awak. Penat pun tak hilang lagi. Esok je boleh tak? Lagipun dah malam ni." pinta aku. Kedengaran Adha mengeluh.
"Saya cuma rindukan awak je Eva. Awak dah tak sayang saya ke? Takkan nak jumpa saya sekejap pun dah berkira? Haih.. takpe lah," sayu suara Adha berkata kata. Aku pula serba salah.
"Okay lah.. saya jumpa awak. Nak jumpa kat mana?" tanya aku akhirnya mengalah.
"That's my girl. Kita jumpa dekat restoran yang dekat dengan rumah awak tu jelah. Boleh kan?" jawab Adha ceria.
"Okay. Saya pergi siap dulu." kata aku kemudian mematikan panggilan.
Aku mengeluh. Baru je nak makan lepastu ingat nak baring atas katil lepastu nak tidur. Badan aku dah lah penat. Tapi takpe lah, disebabkan si Adha tu tang nak sangat jumpa, aku ikut jelah. Lagipun dah lama tak jumpa teman lelaki aku itu. Terasa rindu pula.
Hanya pakaian simple yang dikenakan. Tshirt berwarna peach dan seluar straight cut berwarna hitam. Tudung pula aku hanya mengenakan bawal berwarna putih. Okay lah ni, bukan nak pergi mana pun.
Aku keluar dari bilik dan disapa oleh kedua dua kawan ku.
"Nak pergi mana? Dah malam ni." tegur Emelin sambil mengacau air milo yang di pegang nya.
"Aku nak keluar kejap. Nak jumpa Adha." jawab aku. Emelin mengerutkan dahi.
"Dah malam ni Eva. Aku risaulah. Jumpa esok tak boleh ke?" tanya Emelin yang agak risau itu.
"Alah tak payah nak risau lah Lin. Bukan selalu dia jumpa Adha tu. Masing masing sibuk kan. Lagipun pernah je diorang keluar malam, elok je." kata Erika yang baru bersuara itu.
"Betul." kata aku bersetuju dengan kata kata Erika.
Emelin mengeluh.
"Tapi aku rasa tak sedap hati." ujar Emelin. Aku tersenyum nipis.
"It's okay Lin. I'll be fine. Apa apa aku call kau ye? Okaylah aku gerak dulu. Bye." kata aku sambil melambai mereka. Langkah aku aturkan ke pintu pagar rumah.