[PART 33] Nim

56 4 0
                                    


Bagaimana cara untuk memulakan sesuatu dengan epik?


Biasanya di dalam penceritaan, cerita itu perlu dibina sedikit demi sedikit, musuh utama perlu diperkenalkan lebih awal, hero, watak utama perlu melalui beberapa halangan. Pembaca akan mengikuti kejayaan watak utama melepasi satu demi satu halangan dan akhirnya, watak utama dipertemukan dengan musuh utama di bahagian klimaks cerita. Itulah epik.


Tapi, itu bukan permulaan yang epik. Cerita itu memang epik tetapi permulaannya tidak epik. Itulah pendapat Faiz Abdullah. Faiz Abdullah mahukan permulaan yang epik.


Faiz Abdullah ada idea. 


Mengikut pendapatnya, cara untuk memulakan sesuatu dengan epik, adalah dengan menunjukkan keagungan dari awal, menunjukkan kemegahan, kekuatan penuh, seagung-agungnya, tanpa rasa belas ehsan kepada musuhnya, dari awal. 


Tunjukkan kuasa mutlak dari awal.


Kuasa penuh.


Totalitas. 


Oleh kerana itulah, tanpa memberi peluang kepada soldadu-soldadu di hadapannya untuk memulakan langkah mereka, Faiz akan menghancurkan battalion tentera Portugis di hadapannya dengan satu tumbukan sahaja. Satu tumbukan.


Faiz tersenyum, satu kaki melangkah ke hadapan lalu sebaik sahaja kaki itu menjejak tanah, dengan penuh kuasa mutlak, tumbukan lurus dilepaskan.


Seluruh kawasan di hadapannya menjadi debu. Kesemua soldadu Portugis yang tadinya berdiri di dalam keadaan sedia, kini bersepai, hanya kelihatan ketulan-ketulan daging bersepah di atas tanah.


Sebaik sahaja debu tanah menipis, Faiz mula melihat satu demi satu peninggalan tubuh soldadu-soldadu Portugis yang sudah hancur bersepah.


Ada sesuatu yang aneh... cebisan-cebisan tubuh yang bersepah di kiri dan kanannya bukannya cebisan daging, tetapi cebisan patung tanah liat yang dibentuk menyerupai manusia.


Faiz telah ditipu. Battalion di hadapan Faiz tadi bukannya battalion yang sebenar. Itu adalah ilmu alkemi Pedro de Escobar, kesemua soldadu tadi cuma golem-golem tanah liat yang digerakkan secara alkemi. Bukan manusia sebenar. Bukan battalion yang sebenar.


Faiz rasa malu. Begitu mudah dia ditipu. "Cis, tapi memang nampak macam orang betul! Gila, hebat betul ilmu De Escobar sekarang. Aku pun tertipu! AAAHHHH!"


Jika begitu, di manakah battalion yang sebenar?


Faiz terbang semula, ke arah Kampung Tanjung Pasir. Dia mula berfikir, kenapa Bishop Kota Melaka tiba-tiba sahaja hantar satu battalion ke kampung Melayu? Kalau hendak berperang, satu battalion tidak cukup.


Entah kenapa, tiba-tiba terlintas di dalam fikiran Faiz, satu permainan popular di pub, di atas kapal, di dalam rumah, permainan riadah suka-suka untuk membuang masa, yang dimainkan sambil minum arak, atau sambil berbual kosong, permainan popular yang boleh dimainkan samaada dengan dua kelasi, atau lebih, tiada had jumlah pemain. Permainan purba yang lebih popular dari permainan kad (ya, di zaman ini, permainan yang terlintas di dalam kepala Faiz ni lebih popular dari kad terup). Permainan yang diberi nama Nim.


Nim adalah permainan mudah, hanya memerlukan samaada beberapa batang mancis, atau ranting, atau batu sungai, atau apa sahaja objek kecil boleh digunakan untuk bermain Nim. 


Syarat permainan ini mudah, pada mulanya asingkan objek-objek kecil (batu, mancis, buah pala) kepada 4 kumpulan. Biasanya 4 kumpulan itu akan diasingkan begini, kumpulan pertama ada sebiji, kumpulan kedua ada 3 biji, kumpulan ketiga ada 5 biji, dan kumpulan keempat ada 7 biji.


Setiap pemain perlu mengambil tidak kira berapa banyak biji dia ingin ambil, tetapi untuk satu-satu giliran, dia hanya boleh ambil dari satu kumpulan sahaja (maksudnya, dia tidak boleh kaut kesemua biji yang ada di keempat-empat kumpulan dalam satu giliran).


Pemain yang terpaksa ambil biji yang terakhir, dianggap kalah.


Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.


Contoh permainan, Pemain A ambil sebiji buah pala dari kumpulan pertama, maka tinggal 3 biji buah pala di kumpulan kedua, 5 biji buah pala di kumpulan ketiga, dan 7 biji buah pala di kumpulan keempat. Giliran Pemain A tamat.


Kemudian Pemain B ambil 2 biji buah pala pada dari kumpulan kedua. Maka tinggal 1 biji buah pala di kumpulan kedua, 5 biji buah pala di kumpulan ketiga, dan 7 biji buah pala di kumpulan keempat. Giliran Pemain B tamat.


Pemain C tidak mahu ambil sebiji sahaja buah pala, jadi dia tidak mahu sentuh kumpulan kedua, Pemain C ambil 5 biji buah pala dari kumpulan keempat. Maka tinggal 1 biji buah pala di kumpulan kedua, 5 biji buah pala di kumpulan ketiga, dan 2 biji buah pala di kumpulan keempat. Giliran Pemain C tamat.


Giliran Pemain A semula. Pemain A ada strateginya, dia habiskan kumpulan kedua. Pemain A ambil 1 biji buah pala dari kumpulan kedua. Maka tinggal 5 biji buah pala di kumpulan ketiga, dan 2 biji buah pala di kumpulan keempat. Giliran Pemain A tamat.


Pemain B ingin cepat menamatkan permainan, dia ambil kesemua 5 biji buah pala dari kumpulan ketiga sambil tersenyum. Maka sekarang hanya tinggal 2 biji buah pala di kumpulan keempat. Giliran Pemain B tamat.


Pemain B dan C bersorak gembira. Pemain C hanya ambil sebiji buah pala dari kumpulan keempat, meninggalkan hanya sebiji buah pala untuk diambil Pemain A.


Oleh kerana Pemain A terpaksa mengambil biji yang terakhir, Pemain A sudah kalah.


Itulah Nim.


Dan entah kenapa, Faiz rasa tidak sedap hati dan asyik teringatkan permainan Nim ini.


"Mungkin... pihak terakhir yang melakukan serangan balas itulah pihak yang bakal menerima bala kerugian yang besar," fikir hati Faiz.








Bertemu dengan KatarinaWhere stories live. Discover now