[PART 32] Sin

110 5 3
                                    


Orta do Mestre Eschola do Bispado... 8 Mac 1588


Resah Katarina duduk di depan Dom João Ribeiro Gaio. Jarinya tidak henti-henti mengusap garfu di atas meja. Kek di depannya langsung tidak diusik. Manakala Dom João Ribeiro Gaio tenang sahaja melihat pemandangan indah di sekeliling mereka.


Memang indah tempat ini.


Mereka berdua berada di dalam dusun paling istimewa di seluruh Melaka, iaitu dusun kepunyaan Pengetua Sekolah Keuskupan Kota Melaka. Di sini lah tempat orang-orang Portugis Melaka meluangkan masa hujung minggu mereka datang beriadah, bermandi-manda di kolam mandi khas, dan lepak-lepak di teduhan sambil menikmati kecantikan landskap dusun buah yang kelihatan tenang, penuh kehijauan dan redup.


(Ianya tempat terbaik untuk dating dengan yang tersayang! Pilih satu meja, bawa bekal kuih-muih dari rumah, dan duduklah berdua; berbual bermesraan sambil menikmati keindahan dusun dan ditemani kicauan burung murai sehingga lah tiba waktu senja. Memori indah.)


"Dona Katarina, tak makan kek tu?"


"Yang buat kek ni, pelajar saya ni, pandai buat kuih tau. Sedap kek ni," kata João Ribeiro Gaio.


Katarina menggenggam garfu dengan geram sambil berkata, "Excelência... maaf kalau aku agak kurang ajar, tapi apa yang kau cuba buat ye? Soldadu tu semua pergi mana? Kenapa ke arah kampung Melayu?"


Dom João Ribeiro Gaio membetulkan postur duduknya. Lalu dia merenung mata Katarina dengan penuh bersemangat.


"Dah bertahun-tahun saya minta bantuan ketenteraan dari orang yang betul, orang yang betul-betul berkuasa, orang yang saya kira boleh dapat manfaat dari langkah ketenteraan yang saya cadangkan, dan saya kenal mereka, mereka ada idea yang sama dengan saya, mereka benci orang yang sama, mahukan benda yang sama."


Dom João Ribeiro Gaio merenung langit seketika, mengetap bibirnya beberapa saat sebelum menyambung kembali kata-katanya, "Saya hantar surat kepada Papa Gregório, minta dihantar tentera ke sini, supaya kita dapat ambil kota-kota kaya yang rajanya bukan orang Kristian. Pattani. Siam. Arakan. Pegu. Lancang. Kemboja. Kita ambil semua kota ni."


"Tapi entah kenapa, pendapat saya tidak disambut baik... Terlalu tinggi perbelanjaan untuk sediakan armada? Tapi pulangannya kan berlipat ganda! Rugi kalau kita tak ambil kota-kota ni."


"Kalau bukan untuk kekayaan sekalipun, kita kena lakukan demi Tuhan. Jadikan Melaka sebagai contoh. Sekarang Kota Melaka ini menjadi pusat penyebaran Kristian. Begitulah pentingnya ada kota untuk kita jadikan rumah. Tempat pelindungan. Tempat untuk kita buka sekolah. Tempat untuk kita tegakkan salib. Kenapa orang tak nampak betapa pentingnya kita tawan kota-kota  pagan ni untuk Kristian?" bersungguh-sungguh Dom João Ribeiro Gaio meluahkan perasaan kecewanya.


"Oh, betapa gembiranya saya bila Raja Philip jadi Raja Portugal! Bayangkan, wilayah Portugal dan Espana bergabung. Raja Philip, raja seluruh wilayah Portugal dan Sepanyol. Raja Philip boleh menjadi raja yang agung sepanjang zaman. Setanding dengan Alexandria. Setanding dengan Cyrus. Memimpin empayar seluas bumi. Bayangkan Dona Katarina, seluruh dunia di bawah naungan Raja Philip, raja Kristian!" kata Dom João Ribeiro Gaio, kembali bersemangat. 

Bertemu dengan KatarinaWhere stories live. Discover now