Bab 6

5.3K 532 110
                                    

"Macam mana dengan projek penyeludupan dadah dan senjata api kita, Sani?" tanya seorang lelaki berbadan kurus yang sedang duduk bersila di atas bantal kecil.

Matanya ditutup rapat, seakan-akan fikirannya dipusatkan pada meditasi yang sedang dilakukan. Biarpun meditasinya tidaklah mencapai tahap tertinggi lagi, seboleh-bolehnya dia mahukan ketenangan dalam hidupnya. Apa dimahukan ketika ini hanyalah ketenangan fikiran. Dia mahu membebaskan fikirannya daripada hiruk-pikuk suasana bising bandar. Maka, rumah ibadat mini miliknya menjadi pilihannya untuk bermeditasi.

"Berjalan lancar, The Lord," jawab Dato' Sani sambil menelan liur yang terasa kesat di kerongkong.

Sebetulnya, nenggigil kepala lututnya mahu menghadap ketuanya yang seorang ini. The Lord sangat berkuasa dalam menentukan hala tuju hidup seorang dia yang bernama Sani Datoh, si usahawan barangan kemas yang terkenal di ibu kota. Jika tidak kerana bantuan The Lord, maka tidaklah dia dapat merasa kekayaan seperti Qarun yang diidam-idamkannya selama ini.

"Ada sesiapa yang cuba menjadi tikus?" tanya The Lord lagi.

"Tidak ada, Lord," jawab Dato' Sani sambil menekur lantai. Haih, gerun segerun-gerunnya perut pedalnya dirasakan kini.

"Bagus. Ingat, jika kau dapati orang-orang kau ada yang cuba untuk menjadi tikus, bunuh saja," arah The Lord. Kali ini, matanya yang tertutup rapat dicerlung tajam kepada wajah gelisah Dato' Sani. Entah, hati kecilnya berfirasat bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan anak buahnya yang seorang ini.

"Baik, Lord," akur Dato' Sani lalu berundur tujuh langkah ke belakang. Lantas, badannya yang seperti 'sotong' itu dipusingkan ke belakang lalu kakinya cepat-cepat melangkah keluar dari rumah ibadat tersebut.

"Dodo, perhatikan Sani," arah The Lord kepada pembantunya yang sedari tadi terpacak tegak teguh belakangnya setelah kelibat Dato' Sani kabur daripada pandangannya.

"Baik," jawab Dodo. Anggukannya perlahan namun terkandung aura gelap pada sinar matanya. Dodo, si orang kanan The Lord menyeringai galak. Habislah kau Sani, kau ingat aku tidak tahu yang kau pun membelot pada The Lord? Tunggu sajalah!

-----------

"Er... helo, doktor," panggil Khayra perlahan. Tidak selesa pula ditenung begitu sejak dari tadi.

"Ah, maafkan saya." Terburu-buru doktor itu menyeka air matanya yang seperti tidak mahu berhenti luruh berguguran membasahi pipi. Sungguh, sebak dan rindu yang bertamu dalam hati bergabung menjadi satu dalam diri.

"Take your time, Dr.," kata Aariz pula kepada si doktor. Tisu poket yang sememangnya sentiasa tersedia dalam kocek bajunya dihulur perlahan.

"Abang, sayang rindu abang!" rintih si doktor.

Berdirinya goyah, perasaannya luluh. Melihatkan kelakuan Aariz yang sangat prihatin akan keadaannya, doktor itu akhirnya gagal mengawal perasaan. Tangisannya yang sudah mereda kembali menderas dan kali ini, perasaan sebaknya semakin menghimpit dada. Satu persatu memori manis bersama arwah suami tersayang terlayar di minda.

"Kak Maria," pujuk si jururawat gempal sambil mengusap perlahan bahu kawan baiknya.

"Dr. Maria," tegur Tuan Walid. Dia faham situasi yang berlaku kepada doktor wanita di hadapannya ini. Kerana keizinan doktor ini juga, Khayranya mendapat sinar baru dalam kehidupan.

"Encik Walid, Puan Fatma. Ma... maafkan saya." Dr. Maria menyeka air matanya dengan tisu yang diberi oleh Aariz. Dirinya dipujuk agar bertenang dengan setenang tenangnya. Dalam situasi ini, dia perlu bertenang. Ya, bertenang.

"Tak apa, kami faham," balas Puan Fatma. Laju saja kakinya digerakkan ke arah Dr. Maria lalu tangannya menarik doktor tersebut ke dalam pangkuannya. Menyalurkan semangat, itu lebih tepat.

DIA... AARIZ IKTIZAR [COMPLETED]Where stories live. Discover now