Berakhir sudah ikatan suci yang dijalin selama ini dengan penuh cinta dan sayang. Pedih hati Fatihah tidak dapat digambarkan saat Khairul terpaksa menceraikannya. Mereka harus berpisah. Jodoh antara mereka sudah habis. "Maafkan abang. Abang sudah mungkir janji untuk menjaga Tihah dengan baik. Abang tak mampu tunaikan janji-janji abang." Dengan linangan air mata jantan itu, Khairul menghantarnya pergi. Tak Fatihah duga begini akhirnya kisah mereka. Khairul malah tega memilih untuk pergi bersama yang lain. Menyandang status janda, bermulalah fasa menerima penghinaan demi penghinaan. Seolah-olah menjadi janda itu berdosa. Di bumi Dalat yang indah, dia menemui Mustaza. Mustaza yang ringkas orangnya, tidak cerewet, anak yang soleh. Cuma sayang, tidak bekerja. Itulah, siapa suruh tampar orang masa kerja? Kan dah diberhentikan. Tapi Mustaza lain, dia rajin kopek udang untuk Fatihah. "Terima kasih awak sebab dah tolong buang kulit udang." - Fatihah "Simpan nombor telefon saya. Nanti kalau nak makan udang awak telefon saja saya." - Mustaza "Masalahnya kalau awak nak nombor telefon saya, cakap ajelah. Jangan nak bagi alasan udang bagai." - Fatihah "Saya nak nombor telefon awak sebenarnya." - Mustaza "Kan senang bagi tau awal-awal." - Fatihah Tidak lama kemudian, barulah Fatihah tahu sebenarnya Khairul hanya diperangkap untuk berkahwin dengan Delisha. Khairul tak pernah melupakan cinta pertamanya. Perkahwinan dengan Delisha langsung tidak membuahkan bahagia. "Sayang abang pada Tihah takkan berubah sampai bila-bila. Abang tetap sayang Tihah dan dalam hati abang hanya ada Tihah seorang." Hanya hati Fatihah yang dapat memilih. Dia nekad. Bahagia itu perlu diusahakan, ia takkan datang sendiri. Jalani sahaja hidup mengikut jalinan takdir yang telah ditentukan. Dan siapakah yang akan menemaninya mengharungi takdir cinta terindah itu?