Larian langkahnya dipecut laju. Dada tak usah cakaplah, mula berdetak secara abnormal. Peluh pun merenik di dahi akibat terkejar-kejar di pagi hari.
Melihatkan pintu pagar sekolah yang tinggal beberapa inci sebelum ditutup oleh pengawas bertugas, Qowiy sedar peratus untuk mengelak daripada nama dicatat semakin mencapai angka mustahil. Kasar desahan nafasnya melepas lelah dan dia pasrah. Tapak kaki dipasak lemah di hadapan pagar sekolah yang kian pudar warnanya.
"Apa alasan kau pula hari ni, Qowiy?" Malas-malas suara itu menerjah telinga. Spontan kepala yang sedari tadi merenung tar terdongak lurus mencari punca.
"Weh Badrul! Huish, tak sia-sialah aku datang lambat pagi ni. Aku tak sangka pula hari ni kau bertugas jaga pagar depan." Batang tubuh Badrul di depan mata direnung penuh teruja. Nampaknya, ada peluang untuk dia dilepaskan! Yeay!
Badrul mengetap gigi. Kawannya itu dipandang nak tak nak saja.
"Kau tak jawab lagi soalan aku, kawan. Apa alasan kau?" soalnya buat kali kedua.
Seperti yang dijangka, hanya sengihan tak bersalah milik Qowiy diterima sebagai balasan.
"Alah... pasal benda itu kau pun dah sedia tahu kan. Takkan nak ulang banyak kali kot?" Sempat pula Qowiy menggumam tak puas hati. Jemarinya dilalukan di ruang kecil antara pagar yang memisahkan mereka.
Badrul menggelengkan kepalanya. Memanglah dia dah sedia maklum tentang perkara tersebut, tetapi sampai bila? Sampai bila dia harus pejamkan mata dan memilih untuk membiarkan?
"Apa yang kau buat selama ini tak salah weh. Malah bagus sangat sebab tak semua orang boleh buat macam kau. Tapi kau kena ingat juga, sekolah ni ada peraturan. Jadi kau kenalah patuh. Setiap hari nama kau tersenarai dalam rekod disiplin, tak serik ke?" Pengawas biru itu bercekak pinggang.
'Hmm, keluar dah aura cikgu disiplin dia.' Qowiy menggetus di dalam hati. Sedikit menyesal kerana terpaksa mendengar ceramah percuma. Sesekali cuping telinga diramas kasar. Entah kenapa terasa gatal pula. Rasa tak selesa. Mungkin dah tak lut dengan nasihat.
Bakal ketua pengawas itu kelihatan fasih dengan bebelannya yang tidak menemukan titik noktah. Akibat tak mampu bertahan, Qowiy melencongkan pandangan menjadikan langit sebagai tatapan utama, bukan lagi wajah Badrul yang sedang menyinga. Berdirinya juga sudah tidak tegak seperti waktu takbiratul ihram, sebaliknya sudah kelihatan dalam posisi rukuk.
"Weh bangunlah! Kau fikir aku cakap dengan pagar karat ni ke? Aku cakap dengan kau tau. Support la member sikit!"
Bahu Qowiy yang sepatutnya beralas baju seragam putih tetapi kini bertukar kelabu ditepuk. Habis terjulur keluar tangannya dari celah pagar. Itu pun nasib baik Qowiy sempat mengelak, kalau tak pastinya mendapat penangan khas daripada wakil bola tampar sekolah.
"Macam mana aku nak support kau Bad, kalau kau membebel tak berhenti? Takkanlah kau nak aku sambung bebelan kau lepas tu kita buat sistem batch? Kalau macam tu, bilanya aku nak masuk kelas? Bukan setakat masuk kelas, cecah kawasan sekolah pun belum lagi ni." Hanya dalam sekali nafas, Qowiy membalas. Hah! Dia pun turut ikut membebel panjang sekarang. Berjangkit dengan Badrul la ni! Menyampah betul.
Baru tersedar masa yang kian berjalan, Badrul pantas menutup khilaf dengan sengihan.
"Haahlah baru aku sedar. Dah nak pukul lapan tapi kau tak masuk kelas lagi. Hehe janganlah marah sahabat... kita kan brothers!" Penumbuk tangannya disua. Lambat-lambat Qowiy menyambut.
Pintu pagar bercat biru itu ditolak ke kanan. Memberi ruang untuk rakannya melangkah masuk. Belum sampai beberapa langkah bayang kelibatnya menghilang, jeritan milik Badrul kedengaran dari arah belakang.

ANDA SEDANG MEMBACA
BAD[AR]
Teen FictionBAD[AR]: friendship | hatred | revenge | tarbiyah | BADRUL QOWIY, seorang pelajar bermasalah. Tiada istilah peraturan dalam kamus hidupnya. Disiplin? Pergi mampus. Baginya peraturan dicipta untuk dilanggar bukan untuk dipatuhi. BADRUL AMIN, pengawa...