BAD[AR]: 07

428 105 104
                                    

"Amacam? Sedap tak dapat rasa penangan abang aku?" Iffat muncul di hadapan Qowiy yang ketika itu baru hendak menjamah bungkusan nasi lemaknya. Tidak dilupakan senyuman mengejek turut diselitkan bersama.

Qowiy diam, tidak ingin tergesa-gesa. Dia tahu, tujuan Iffat di situ adalah semata-mata ingin membangkitkan api kemarahannya. Di samping menampakkan keburukannya di hadapan pelajar lain.

"Bertugas, buat cara bertugas. Bukannya sibuk curi tulang dekat sini," balas Qowiy, langsung tidak menghiraukan soalan Iffat. Tangannya membuka lipatan daun pisang yang berisi nasi lemak penuh cermat.

Panas hati Iffat tatkala diperli begitu. Sejak rahsianya pecah di mata Qowiy dulu, dendamnya terhadap lelaki itu tak pernah pudar malah semakin marak dari hari ke hari. Yang turut terkena tempias siapa lagi kalau bukan Badrul, abang kembarnya.

"Kau fikir hebatlah macam ini? Hei, silap besarlah. Aku akan buat Badrul bencikan kau, sama macam aku bencikan kau. Lagi teruk daripada itu pun aku boleh buat," ugut Iffat. Giginya hadapannya diketap kuat. Penuh dendam.

Qowiy langsung tak gentar dengan ungkapan berbaur ugutan itu. Baginya, Iffat umpama tin kosong yang omongnya saja lantang, tetapi langsung tak selari dengan tindakan. Ataupun bahasa mudahnya, sembang kencang sampai babi pun terbang.

"Suka hati kaulah Fat. Aku langsung tak kisah. Bukan kau yang pegang hati manusia." Mendatar nadanya membalas. Sesuap nasi lemak dimasukkan ke dalam mulut. Sedap! Cukuplah untuk dia melupakan kehadiran Iffat di situ.

"Oh, kau dah tak takut dengan aku sekarang?"

Suapan Qowiy terhenti. Wajah sombong Iffat dipandang lama.

"Pernah ke aku takut dengan kau? Entah-entah kau yang takut dengan aku. Takut aku bocorkan rahsia kau pasal..." Jari telunjuk dan jari hantunya dibawa ke bibir kemudian dilayangkan.

"Betul tak?" bisik Qowiy. Kali ini, tiba masa untuk senyuman sinisnya pula muncul di bibir.

Qowiy cuba mengikut rentak permainan pengawas berbaju biru itu. Iffat mengugut, dia juga boleh! Selagi namanya Badrul Qowiy, maka jangan pernah dipandang sebelah mata.

Kulit muka Iffat lantas berubah merah. Urat-uratnya mulai timbul dan menegang. Ikutkan hati, hendak saja dicekik leher Qowiy sampai mati. Dia benci melihat air muka tenang yang menghiasi seraut wajah itu. Seolah-olah mengingatkannya terhadap Badrul Amin, abang kandung yang dibenci sedari kecil.

Kerana Badrul Amin, dia kehilangan kasih sayang. Kerana Badrul Amin jugalah kelibatnya langsung tak dipandang. Di mana saja mereka berada, ibu bapanya pasti menjadikan Badrul Amin sebagai fokus utama. Iffat Hazwan bersumpah takkan membiarkan perkara itu berlaku lagi. Sudah tiba zaman kegemilangan abangnya menemui titik penamat. Saat itu terjadi, Iffat Hazwanlah yang bakal menaiki takhta. Dirinya akan dipandang tinggi di mata manusia.

Di dalam kelas 4 Kirana, Qowiy duduk diam di atas kerusi. Suasana hingar-bingar rakan-rakan akibat ketiadaan guru di dalam kelas itu langsung tidak mencuri tumpuannya. Sel-sel otaknya ligat memikirkan sesuatu.

'Patut ke aku pergi kerja malam ni? Dah seminggu juga duit poket tak masuk. Kalau tak kerja, macam mana nak dapat duit?' Hatinya membisik gundah.

'Tapi kalau kerja, macam-macam pula dia orang tanya pasal lebam kat tepi bibir ni. Dahlah tak sembuh lagi,' getus Qowiy. Berperang dengan perasaan sendiri yang 50-50 dalam membuat keputusan.

Pintu kelas diketuk oleh seseorang. Suasana gamat tadi bertukar sunyi hanya dalam sekelip mata. Mana taknya, aura Badrul begitu menonjol dan mendatangkan kesan pada setiap mereka yang memandang.

"Aku nak jumpa Qowiy sekejap," kata Badrul di muka pintu.

Qowiy dihujani rasa hairan. Tak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba saja Badrul ajak berjumpa? Sedangkan hubungan di antara mereka masih belum baik.

BAD[AR]Where stories live. Discover now