Badrul bingkas masuk ke dalam kediaman banglo dua tingkat itu. Dalam tergesa-gesa, sempat lagi dia melemparkan senyuman buat Pak Yatt, pemandu peribadi keluarga mereka ketika berpapasan di garaj rumah.
Tatkala kaki menginjak ruang tamu, batang hidung ibu tercinta dicari terlebih dahulu. Mendengarkan bunyi ngilu periuk dan senduk berlaga, tahulah Badrul bahawa ibunya, Puan Heliza sedang bertungkus-lumus memasak di dapur. Automatik bibirnya meleret senyum.
"Assalamualaikun mummy! Bad dah balik!" laung Badrul. Selepas meletakkan beg sekolah di tepi pintu, barulah dia melabuhkan duduk di kerusi bar dapur.
Puan Heliza lantas menoleh mencari pemilik suara. Anak sulungnya sudah pulang. Tidak semena-mena terbit senyuman di tepi bibir wanita itu. Api dapur dimatikan.
"Waalaikumussalam. Bad balik rumah jalan kaki ke? Tercungap-cungap aje mummy tengok," soal Puan Heliza. Badrul bangun menyalam tangan si ibu.
"Haah. Jalan sekali dengan Qowiy tadi," balasnya. Mata Badrul tertumpu pada periuk di atas dapur.
"Ehem. Mummy masak apa? Bau macam sedap hehe."
"Mummy panaskan sup ayam untuk Iffat. Tadi mummy dah buatkan bubur, tapi dia tak nak pula. Nasib baik sup ayam semalam ada lagi. Tinggal panaskan aje," ujar Puan Heliza.
"Oh, sup ayam itu dah siap ke? Kalau dah, biar Badrul hantarkan dekat Iffat." Dia segera menawarkan diri.
"Nantilah dulu. Mummy nak tunggu sup itu sejuk sedikit."
Badrul mengangguk patuh. Tekak yang kering bagai gunung sahara terlebih dahulu dilegakan dengan aliran cecair sejuk melepasi kerongkong.
Sorotan matanya lantas jatuh pada cawan kaca bercorak di tangan. Hadiah pemberian Qowiy sewaktu hari lahirnya dua tahun lepas. Hadiah yang ringkas dan tidaklah semahal pemberian rakan-rakan serta peminat di sekolah. Cuma dia hargai sangat-sangat sebab datangnya daripada Qowiy, sahabat sejati sampai mati.
"Bad, mummy nak tanya sesuatu boleh?" Puan Heliza yang sedari tadi memerhati kelakuan anaknya membuka mulut.
Badrul mengangkat muka. "Tanyalah."
"Erm... Bad masih berkawan dengan Qowiy?" Riak serba-salah terlakar di wajah Puan Heliza. Mendengarkannya, Badrul mengukir senyuman kelat.
"Kenapa? Iffat suruh mummy pujuk Bad supaya berhenti kawan dengan Qowiy?"
"Bukan macam itu. Mummy cuma..."
"Tak apalah mummy. Bad nak hantarkan sup dekat Iffat. Kesian dia tunggu lama pula," pintas Badrul seraya bangkit dari duduk. Bukan berniat kurang ajar, namun hatinya tak tega mendengar bait kata yang bakal keluar daripada ulas bibir si ibu.
Baru beberapa anak tangga didaki menuju ke tingkat atas, kedengaran namanya diseru. Langkahnya terhenti.
"Bad... mummy minta maaf, okey?" Puan Heliza menatap wajah anak kesayangannya dengan rasa kesal membukit di hati.
Badrul menggeleng laju.
"No need. Mummy tak salah. Bad yang salah sebab degil tak nak ikut cakap mummy. Maafkan Bad," ucap Badrul sebelum berlalu pergi.
Puan Heliza mengeluh berat. Jari-jemari bergerak mengurut pelipis kepala. Silapnya juga, tidak menapis kata terlebih dahulu. Sedangkan dia tahu yang Badrul dan Qowiy memang lama berkawan baik. Malah boleh dikatakan hubungan mereka sangat rapat bagai isi dengan kuku.
Sebenarnya Puan Heliza pun tidaklah terlalu kejam untuk memutuskan persahabatan dua sekawan. Dia juga pernah berada di tempat Badrul. Mempunyai rakan karib yang dianggap bagai keluarga sendiri. Dia cuma hendak berlaku adil terhadap anak-anaknya. Suara hati Badrul perlu didengar, pada masa yang sama suara hati Iffat perlu diambil kira.

ANDA SEDANG MEMBACA
BAD[AR]
Teen FictionBAD[AR]: friendship | hatred | revenge | tarbiyah | BADRUL QOWIY, seorang pelajar bermasalah. Tiada istilah peraturan dalam kamus hidupnya. Disiplin? Pergi mampus. Baginya peraturan dicipta untuk dilanggar bukan untuk dipatuhi. BADRUL AMIN, pengawa...