BAD[AR]: 03

526 115 76
                                    

Qowiy termenung pasrah tatkala pandangannya jatuh pada pintu bilik disiplin yang sudah siap berpagar dan berkunci. Tanda guru disiplinnya, Cikgu Halimah tiada lagi di dalam bilik kerja yang terletak bersebelahan dengan pejabat sekolah. Penumbuk digenggam kuat. Wajah Aisy yang menjadi penyampai terlayar di ruang mata. Gadis itu memang sengaja cari pasal!

Dia kembali mengatur langkah mendapatkan Badrul di susur gajah menuju ke surau. Aisy masih di situ sedang rancak berbual dengan Badrul. Qowiy semakin bengang.

"Weh perempuan! Kau sengaja nak kenakan aku, kan? Tak guna!" tempelak Qowiy seraya meluru laju ke arah Aisy.

"Hei, hei! Kau buat apa ni Qowiy?" Hampir-hampir saja gadis itu ingin ditolak, namun Badrul sempat menahan Qowiy daripada meneruskan niatnya.

Aisy yang agak terkejut dengan apa yang berlaku pantas mengundur beberapa tapak. Tak sangka Qowiy boleh bertindak sebegitu agresif. Warna mukanya tak payah cakaplah, habis berubah pucat.

"Tak... saya tak tipu! Betul, Cikgu Halimah memang suruh saya panggil awak tadi," tegas Aisy. Berusaha mempertahankan dirinya.

Nafas Qowiy sudah turun naik menahan amarah. Renungannya masih lekat pada Aisy. Kalau tak kerana Badrul, sudah lama penumbuknya hinggap di wajah itu. Dia paling pantang apabila ditipu.

"Oh, habis tu kau nak cakap siapa yang tipu? Cikgu?" bentak Qowiy lagi.

"Dahlah Qowiy... cuba sabar. Jangan terus menuduh. Tak elok." Badrul mengambil langkah memujuk. Bahu Qowiy dipegang kuat. Dia arif sangat dengan perangai Qowiy yang panas baran itu. Tatkala api sedang marak, air sajalah yang mampu memadamkannya.

"Mungkin cikgu tunggu awak dah lama, tapi awak tak sampai lagi. Sebab itu cikgu balik dulu. Lagipun sekarang dah nak pukul tiga petang. Mestilah cikgu nak balik awal," terang Aisy satu persatu.

Qowiy terdiam lama. Lidahnya juga kelu untuk melawan. Ada betulnya juga kata-kata Aisy tadi. Tetapi selagi namanya Badrul Qowiy, mana pernah dia mengaku kalah. Ego setinggi langit ketujuh mengatasi segala-galanya.

"Semua ini sebab kau tahu tak? Kalau kau tak bagitahu nama kelas kau tadi, aku mesti dapat jumpa cikgulah!" Pelajar itu masih teguh dengan pendiriannya dalam menegakkan benang yang basah. Badrul menepuk dahi sendiri. Ya Allah Qowiy! Sampai macam itu sekali dia nak menang?

Aisy menarik nafas dalam. Nampaknya, Qowiy memang sengaja menguji kesabarannya. Udara dihirup sedalam mungkin. Cuba untuk menenangkan diri sendiri di hadapan lelaki yang langsung tak reti menerima kebenaran.

"Kalau awak tak puas hati sekalipun, tak payahlah reka sebab yang tak logik. Saya perkenalkan diri tak ambil masa 10 saat pun. Jangan jadikan orang lain sasaran sedangkan diri sendiri yang patut dipersalahkan, Badrul Qowiy!"

Buat pertama kalinya, ada gadis yang berani bermain api. Qowiy pantas mengangkat kepala, menjadikan pandangannya setentang dengan mata jernih milik Aisy. Lama mereka berkeadaan begitu sehinggakan Badrul juga sudah tidak senang duduk.

"I see... kau masih sama. Tetap nak menang," gumam Qowiy dengan nada perlahan.

Aisy mengulum senyum. "Kalau ya pun kenapa? Tak puas hati ke... Owen?" Satu-satunya panggilan keramat terhadap Qowiy kembali meniti di bibir setelah sekian lama.

Qowiy lantas mengetap gigi. Geram. Gadis di hadapannya ini belum berubah sepenuhnya. Buktinya, gelaran Owen itu masih disebut-sebut walaupun sudah acap kali dilarang.

"Kau memang sengaja nak sakitkan hati aku, kan?" Bengang soalan itu keluar daripada ulas bibir Qowiy.

Aisy melepaskan tawa yang sedari tadi ditahan. Geli hatinya dengan tingkah Qowiy.

BAD[AR]Where stories live. Discover now