BAD[AR]: 06

446 111 95
                                    

Sejak peristiwa Qowiy merasa penumbuk sulung Badrul, hampir seminggu jugalah mereka bermasam muka. Jikalau tidak, pergi ke mana saja berdua bagaikan belangkas kecuali ketika Badrul bertugas.

Rata-rata pelajar di sekolah itu juga sedar akan perubahan tersebut. Maklumlah, Badrul dan Qowiy masing-masing ada populariti sendiri. Badrul dengan reputasinya sebagai hero pujaan warga sekolah, dan Qowiy dengan rekodnya yang tak putus-putus melanggar disiplin dan peraturan.

Hari Isnin. Pagi itu, keberadaannya di ruang bilik disiplin menjadi saksi waktu rehatnya tersia begitu saja. Sudah puas Qowiy menunggu kedatangan Cikgu Halimah namun gurunya itu masih belum muncul. Kebas punggungnya dek terlampau lama duduk.

"Hah Badrul Qowiy! Datang pun. Lama ke awak tunggu cikgu? Maaflah, cikgu pergi sarapan sekejap tadi." Panjang umur, baru disebut-sebut batang tubuh guru disiplin itu sudah berada di depan mata.

Qowiy sekadar menahan rasa. Hmm... agaknya cikgu sendiri lupa yang pelajar sepertinya turut memerlukan rehat untuk mengisi perut yang kelaparan. Sayangnya, bisikan hati hanya mampu dipendam tanpa diluah.

"Boleh saya tahu kenapa cikgu panggil saya?" Tanpa membazir masa, dia terus membuka mulut bertanya.

Cikgu Halimah tersenyum lebar lalu bergerak mengisi kerusi kosong di hadapan pelajar lelaki itu. Kedua-dua belah tangan disilangkan di atas meja sambil menghadap wajah Qowiy yang jelas tak selesa.

"Tahniah! Awak terpilih dan dilantik menjadi pengawas untuk penggal seterusnya."

Mulut Qowiy terlopong luas. Kelopak matanya turut terbuntang. Cikgu Halimah ditatap lama, bagaikan tak percaya dengan khabar yang baru didengari. Semua itu sementara sebelum Qowiy lantas teringatkan sesuatu.

"Cikgu, hari ini bukan April Fool tau kalau cikgu nak main-mainkan saya," ucapnya separa berbisik.

Meletus tawa Cikgu Halimah di bilik disiplin itu. Basah pelupuk mata dek ketawa tak berhenti. Anak mata Qowiy mengecil memerhatikan cikgunya. Rasanya dia tak buat lawak pun tadi. Kenapa sampai begitu sekali reaksi yang terpamer?

"Ya Allah Qowiy! Aduhai, awak ini pun. Saya cakap benda betul la. Saya dan cikgu pengawas yang lain dah sepakat untuk lantik awak menyandang jawatan ini," terang Cikgu Halimah.

Sepucuk surat lantikan diletakkan di atas meja, betul-betul di hadapan mata pelajar itu. Biar Qowiy tahu dirinya tidak dipermainkan.

Kehadiran sampul surat putih di atas meja membuatkan remaja nakal itu terkedu. Sepantas kilat, helaian sampul surat disambar laju lalu isinya dibaca satu persatu. Langsung tiada satu huruf pun yang terlepas.

Dunianya terasa kelam. Apakah?

"Cikgu betul ke saya..." Bicaranya terhenti.

"Tapi kenapa saya?" Soalan itu dilontarkan kepada si guru. Senyuman nipis terbit di tepi bibir Cikgu Halimah. Sudah dapat dijangka, perkara ini akan berlaku.

"Qowiy... saya tahu awak sebenarnya baik. Tolonglah beri peluang pada diri awak untuk berubah. Jangan sia-siakan masa hidup yang kita ada," pesan si guru.

Bukannya apa, dia bersimpati dengan nasib yang menimpa Qowiy selama ini. Seringkali dipulaukan oleh para pelajar tak kurang juga di pihak guru-guru. Disebabkan itu jugalah keputusan ini diambil. Walaupun Qowiy sering melanggar peraturan, dia yakin bahawa anak muridnya ini masih 'rebung' dan belum terlambat untuk dilentur menjadi 'buluh' yang berguna kelak.

Entah kenapa, mendengarkan kata-kata Cikgu Halimah pantas saja membuatkan hati kerasnya tersentuh.

"Tapi cikgu, saya tak mampu dan saya tak layak untuk semua ini. Semua orang kata saya jahat. Semua orang pandang saya hina. Sampaikan ada yang kata saya tak layak masuk syurga." Ringan saja bibirnya meluah rasa.

"Qowiy, mungkin pada pandangan orang lain awak hina, tapi pada pandangan saya awak istimewa. Sebab saya memandang dengan mata hati, bukannya mata kasar yang sentiasa mencari salah insani." Sekali lagi, bicara yang meniti di dua ulas bibir itu berjaya membuatkan lidahnya kelu.

"Kenapa cikgu pilih saya? Saya takut nak pegang biro BADAR ni cikgu," luah Qowiy. Menerangkan segala yang terbuku di hati.

"Pilihan itu bukan daripada saya... tapi pilihan Allah. Tuhan pilih awak Badrul Qowiy, untuk galas tanggungjawab ni. Awak tak percaya dengan takdir Tuhan?" Soalan rambang daripada cikgu membuatkan automatik mulutnya terkunci rapat.

Percayakah dia pada Tuhan? Kuatkah pergantungannya kepada Allah? Redakah dia menerima segala ketentuan? Jawapan bagi setiap persoalan itu masih dicari sehingga kini.

𖣔𖣔𖣔

"Abang! Abang Qowiy!"

Dia pantas menoleh ke belakang mencari punca suara. Bebola matanya ligat berputar mencari gerangan pemanggil. Namun tiada sesiapapun yang memunculkan diri.

Lantas, Qowiy mengambil keputusan untuk membiarkan. Saat dia ingin berpusing meneruskan perjalanan, rupa hodoh seseorang menerpa ruang mata.

"Warghhh!" Jeritan pelajar nakal itu bergema. Hilang kredibilitinya sebagai seorang gangster sekolah tatkala dikejutkan sebegitu.

Pian sudah mengekek ketawa. Kelakar apabila empat matanya menjadi saksi riak terkejut seniornya itu.

Qowiy mengetap gigi. Geram pula dia dengan budak junior tak sedar diri ini.

"Kau nak apa, budak? Berani betul kau, tiba-tiba muncul depan aku." Angkuh saja nadanya berbicara.

"Saya cuma nak tegur abang je alang-alang terserempak ni. Lagipun, beramah mesrakan amalan mulia," balas Pian ataupun lebih dikenali sebagai Baby Pian di awal perkenalan mereka.

Malas hendak memanjangkan cerita, kata-kata itu dibiarkan berlalu. Selepas kejadian di kantin dulu, Qowiy sendiri pelik bagaimana Pian sudah tidak gerun akan dirinya. Padahal, dia pelajar nakal di sekolah kot. Bukan itu saja, Pian juga melayannya seperti abang sendiri. Sehinggakan dia pun naik rimas.

"Abang Qowiy baru keluar dari bilik disiplin eh? Ada apa-apa ke?" Penuh hati-hati pertanyaan itu diajukan. Tersilap langkah, mahunya dia mendapat penangan Qowiy nanti.

"Kau ni sibuk jelah. Busybody betul, macam perempuan." Kesempatan itu diambil untuk mengutuk. Fikirannya masih serabut memikirkan surat lantikan yang baru diterima tadi.

Pian sekadar tersengih mempamerkan barisan gigi hadapannya. Fuh, nasib baik tak kena herdik di depan orang ramai. Qowiy kutuk saja pun dia dah bersyukur.

Tersedarkan sesuatu, jam di tangan dikerling sekilas. Wajah Pian bertukar cuak. Alamak, dia dah lambat lima minit untuk ke makmal!

"Eh bang, saya dah betul-betul kena pergi sekarang. Nah, abang ambillah keropok lekor ni. Saya tak sempat nak makan." Plastik jernih itu bertukar tangan.

"Weh Pian..."

"Okey, bang! Saya pergi dulu! Sama-sama!" Lambaian goodbye diberikan tanpa menoleh lagi.

Belum sempat Qowiy mengucapkan terima kasih, balasan sama-sama diterima terlebih dahulu. Kepala lelaki itu tergeleng sendiri tanpa sedar. Baby Pian memang pelik. Nerd pula itu. Nasib baik punya akhlak, kalau tak dah lama kena penyepak.

Sejenak kornea matanya tertancap pada bungkusan keropok lekor yang masih panas di genggaman. Spontan bibir Qowiy mengukir senyum. Nampaknya, ada hikmah juga berjumpa Pian. Sekurang-kurangnya, dapatlah dia mengisi perut kosong.

Alhamdulillah... rezeki!

❥︎❥︎❥︎

Okay, done bab 6 ✨

Stay tune for the next chap 😍

Jap, jap. Nak tanya. Korang ingat lgi tak Baby Pian tu? 😆 Siapa lupa saya gigit AHAHAHAHA keyh, gurau jerpsss 😂







BAD[AR]Where stories live. Discover now