BAD[AR]: 09

430 98 112
                                    

Perlahan-lahan pintu papan itu dibuka dari dalam. Penuh hati-hati, bimbang mengeluarkan bunyi yang akan mengganggu lena si penghuni. Sebelah kakinya sudah berada di luar, bersedia untuk melarikan diri.

Sorotan matanya tak lepas memerhatikan sebuah pintu bilik yang kekal tertutup rapat. Dengan harapan semoga kehilangan dirinya pada malam ini tidak dapat dikesan oleh sesiapa. Cuping telinga tidak betah menahan bebelan lagi.

Ketika kedua belah kaki sepenuhnya berada di luar rumah, dia menghela nafas lega. Akhirnya! Sorakan girang meniti di bibir.

Tanpa berlengah, motosikal yang diparkir di halaman rumah ditunggangi. Saat kenderaan pacuan dua roda itu membelah udara malam, dirinya bagai terbang di awang-awangan. Dia rasa bebas! Bebas daripada pengawasan wanita tua itu. Jika tidak, pasti ada saja kata larangan sehingga dia pun sebal mendengar.

Putaran rodanya berhenti apabila lampu isyarat menunjukkan warna merah. Bebola matanya bergerak memerhatikan ragam orang sekeliling. Tak lama sebelum pandangan Qowiy jatuh pada sebuah keluarga yang sedang melintas jalan di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur.

Pasangan ibu bapa itu bersama menggenggam tangan anak mereka di kiri dan kanan. Pautannya begitu erat bagai tak mahu dilepaskan. Entah apa kena dengan emosinya pada malam ini, mudah saja tangkai hati tersentuh.

Qowiy pernah mempunyai keluarga sebegitu dulu. Lengkap dan sempurna dengan kehadiran ibu, ayah dan dirinya. Namun kini semua hanya tinggal debu. Rahsia dan hakikat nan satu itu begitu sukar untuk diterima. Lebih-lebih lagi selepas kematian arwah ayah.

'Ayah, Qowiy rindukan ayah...'

Begitu sebak dia meluahkan isi hati yang paling dalam. Pelupuk mata yang basah pantas diseka dengan ibu jari. Qowiy tak suka air mata. Baginya, air mata buat dia nampak lemah jauh dari gagah. Malah tidak selari dengan maksud namanya sendiri, yang bererti kekuatan.

Bunyi hon dari kenderaan belakang lantas menyedarkannya ke dunia nyata. Habis bersepai segala memori bersama si ayah. Pedal dipulas, roda motorsikal itu kembali berputar di atas jalan.

Qowiy membelok ke kanan apabila tiba di persimpangan. Lorong-lorong gelap dilalui tanpa sedikitpun rasa gentar. Dia dah biasa malah hampir setiap malam laluan itu ditempuh tanpa sebarang halangan atau masalah.

Semakin jaraknya hampir dengan tempat operasi pemunggahan barang, semakin kuat bunyi siren itu menerpa telinga. Akibat tak sedap hati, Qowiy lantas memperlahankan motosikal yang sedang ditunggangi. Pendengaran cuba dipicingkan mencerna bunyi asing yang tiba-tiba muncul.

Tak lama kemudian, telefon bimbitnya pula berdering minta diangkat.

"Qowiy! Dengar cakap aku, jangan datang sini. Polis tengah buat serbuan. Kalau kau datang, mampuslah! Syafiq dah kena tangkap. Aku tak nak kau pula terima nasib sama nanti," bisik Opie, teman sekerjanya.

Terketar-ketar tangannya hendak memegang telefon tatkala mendengar perkataan polis keluar daripada mulut Opie.

"Ma... macam mana boleh ada serbuan pula ni? Kau... kau okey tak? Geng-geng yang lain? Bos?" Bayangan wajah rakan-rakannya terlayar di ruang mata.

"Yang itu kau tak payah risau. Kita orang okey. Cuma itulah, kesian budak Syafiq tu. Tak pasal-pasal kena tidur lokap pula malam ni," ujar Opie lagi dengan nada kesal. Rasa bersalah menggunung tinggi kerana gagal menjaga orang bawahannya.

"Tak apalah, esok lusa kita bincang balik. Aku nak kau balik rumah terus. Jangan nak merayau mana-mana pula. Polis tengah rajin buat roadblock. Nak-nak lagi budak tak ada lesen macam kau dengan Syafiq, memang kena ngaplah."

Qowiy diam tanpa membantah. Betul juga kata Opie tadi. Panggilan tersebut lantas diputuskan sebelum kenderaannya berpaling meninggalkan kawasan gelap itu.

BAD[AR]Where stories live. Discover now