Latar hijau seluas mata memandang melayari ruang mata. Sudah hampir 10 minit berlalu, namun tiada sepatah kata pun yang keluar. Masing-masing tunduk, mengambil keputusan melayan perasaan sendiri.
Qowiy akhirnya tewas. Tidak betah berlama-lama dihurung kesunyian.
"Kenapa kau cadang nama aku untuk jadi pengawas? Gila ke apa?"Barulah Badrul mengangkat kepala menjadikan pandangan mereka setentang. Ulas bibirnya mengoyak senyuman.
"Aku nak kau belajar pikul tanggungjawab." Ringkas namun penuh maksud tersirat.
Sayangnya, otak Qowiy belum cukup mampu untuk memahami maksud kawannya itu. Apa yang dia nampak sekarang, Badrul seperti hilang otak. Membuat keputusan tanpa berfikir.
"Weh Bad! Aku ini dengan diri sendiri pun tak bertanggungjawab, apatah lagi nak pikul tanggungjawab yang lain. Memang hancurlah nanti!" bidas Qowiy, sekeras-kerasnya.
Badrul masih sama, riak tenangnya kekal malah langsung tak luntur. Segala persoalan Qowiy sudah disiapkan hujahnya. Tinggal tunggu masa saja nak mematahkan setiap satu.
"Nama pun belajar pikul tanggungjawab, kan? Jadi tak kisahlah kalau hancur pun. Orang yang belajar takkan pernah lepas daripada kesilapan." Begitu tenang dan yakin dia berhadapan dengan Qowiy yang hampir menjadi naga.
"Oh habis tu, kau nak aku jahanamkan organisasi BADAR tu? Semata-mata untuk proses belajar? Otak kau letak dekat siku ke Badrul Amin?" soal Qowiy dengan sinis. Geram jadinya mendengarkan hujah Badrul.
Gerangan pengawas berbaju biru itu melepas tawa. Rasa kelakar pula melihat kulit sawo matang rakannya kini berbahang merah. Macam udang kena bakar pun ada. Baru dia tahu, seronok juga bermain api dengan Badrul Qowiy.
Badrul menghabiskan sisa tawa yang ada tatkala sedar renungan rakannya tak lepas sedari tadi. Bagai helang menunggu mangsa untuk diterkam.
"Ya, aku akui orang yang belajar tak pernah lepas daripada kesilapan. Tapi itu tak bermakna mereka tak boleh buat pembetulan," balas Badrul.
Kali ini, Qowiy terdiam. Ligat mencerna bicara lelaki itu yang penuh 'bunga-bunga cinta'. Satu perkara yang dia tak suka tentang Badrul, gemar berpuitis dalam ungkapannya. Kadang-kadang jenuh juga dia hendak menterjemahkan satu-satu.
"Maksud kau apa sebenarnya? Aku tak faham." Qowiy dah mengalah, tak mampu nak mentafsir isi tersirat yang terselit. Tak tahulah sama ada kata-kata Badrul terlampau tinggi bahasanya atau otaknya sendiri yang memang bengap.
"Belajar daripada kesilapan yang kau pernah buat. Baiki semula supaya menjadi lebih baik. Ada faham?" Barulah Qowiy terangguk-angguk mengerti.
"Apa yang kau buat sampai semua cikgu disiplin setuju ambil aku jadi pengawas ni?" tanya Qowiy lagi. Tatapan matanya ditala lurus pada batang tubuh Badrul di sebelahnya.
"Aku cuma cakap yang kau tengah dalam proses hijrah, nak berubah jadi baik dan kau tengah slow-slow nak tinggalkan segala kejahatan yang kau pernah buat. Selepas itu, tahu-tahu je cikgu terima. Habis cerita."
Tak tahan mendengar cerita Badrul, penumbuk kiri dan kanannya digenggam. Badrul memang nak kena!
"Kepala charger lu! Sejak bila pula aku kata nak berhijrah ni? Aku unta pun tak ada, macam mana nak berhijrah? Apa kau fikir sekarang zaman Rasulullah ke nak hijrah-hijrah?" tempelak Qowiy.
Badrul menarik nafas panjang. Rakannya ini perlu segera disedarkan sebelum keadaannya semakin tenat.
"Qowiy... aku nak tanya kau. Sampai bila kau nak berkampung dalam kebodohan, kejahilan dan kebangangan kau sekarang? Tak takut mati ke?"
YOU ARE READING
BAD[AR]
Teen FictionBAD[AR]: friendship | hatred | revenge | tarbiyah | BADRUL QOWIY, seorang pelajar bermasalah. Tiada istilah peraturan dalam kamus hidupnya. Disiplin? Pergi mampus. Baginya peraturan dicipta untuk dilanggar bukan untuk dipatuhi. BADRUL AMIN, pengawa...