Kenderaan pacuan dua roda itu dihentikan betul-betul di hadapan sebuah rumah kedai. Kehadirannya pada malam itu disambut bersama sorakan kegembiraan. Qowiy menanggalkan topi keledar di kepala bersama sengihan.
"Huish, dah lama sangat tak nampak batang hidung kau, bro! Apa cerita?" Tajul datang mendekat menyua penumbuk tangan. Kemudian, belakang Qowiy ditepuk mesra.
"Haah, kau pergi mana weh? Bertapa dalam gua ke?" Giliran Syafiq pula bertanya.
Qowiy sekadar tersenyum simpul. Langsung tak berniat hendak menjawab soalan rakan-rakannya. Dia memanjangkan leher, mencari kelibat Opie. Insan yang menjadi penyebab kewujudannya pada malam itu.
"Geng, Opie mana?" Tajul dan Syafiq dilihat silih berganti.
Pantas saja riak wajah kedua-dua mereka berubah. Syafiq yang tertunduk perlahan-lahan mengangkat kepala memandang Qowiy. Terbit sebuah keluhan daripada bibir hitamnya.
"Tak payahlah jumpa dia. Opie bukan bos kita lagi," kata Syafiq. Tajul di sisi turut mengangguk membenarkan ujaran rakannya.
Dahi Qowiy kini berlapis membentuk kerutan. Hairan. Apa yang cuba disampaikan oleh Syafiq sebenarnya?
"Fiq, kau cakap apa ini? Aku tak faham." Wajah mendung Syafiq direnung mengharapkan jawapan.
"Tajul, apa dah jadi? Bagitahu aku. Jangan senyap macam ini weh," desak Qowiy lagi. Bahu rakan-rakannya digenggam kuat. Benak fikiran Qowiy mula wujud dengan pelbagai andaian.
"Qowiy."
Opie muncul dari arah belakang. Tiada tercoret sebarang riak pada wajah lelaki itu. Kosong dan beku seperti selalu.
"Apa kau dah buat Opie?" Qowiy terus menyerang bersama soalan.
"Kau, Syafiq dengan Tajul diberhentikan mulai hari ini."
Sepotong ayat itu cukup membuatkan Qowiy terkedu tanpa sebarang kata yang mampu dikeluarkan. Sungguh, dia langsung tak pernah menyangka perkara sebegini bakal berlaku. Mimpu ngeri yang tidak diundang kini datang bertandang.
"Kau mengarut apa ini? Kalau aku tak kerja, macam mana aku nak dapat duit?" sergah Qowiy dengan nada lantang. Amarahnya dihamburkan di situ juga. Sudah tidak dipedulikan lagi rasa hormat pada Opie yang jauh lebih tua.
"Keputusan ini dibuat bersebab Qowiy, bukannya membabi buta." Opie kekal tenang, cuba untuk menjelaskan keadaan sebenar.
"Bos beritahu aku, dia tak nak tanggung risiko lagi dengan ambil pekerja bawah umur. Dia pun tak nak kejadian malam itu berlaku buat kali kedua. Lagipun kau orang masih belajar dan belum ada lesen motor. Cukuplah Syafiq aje yang pernah merasa kena tahan lokap sebab tak ada lesen dulu," terang Opie panjang lebar.
Sebaik terdengar namanya turut terselit dalam perbincangan, Syafiq lantas menunduk segan. Mengaku salah.
"Tapi takkanlah tak boleh bagi kami masa? Semua ini berlaku secara tiba-tiba, tahu tak? Kau sendiri tahukan kami bukan orang senang. Kami perlukan duit." Tajul menyuarakan pendapatnya. Turut kesal dengan nasib yang menimpa.
Opie menggeleng. "Bos dah muktamad dengan keputusan dia."
Tiga helai sampul berwarna coklat pudar dikeluarkan dari beg kecil miliknya lalu diagihkan kepada tiga sekawan. "Dalam itu ada gaji terakhir kau orang untuk bulan ini. RM 200."
Masing-masing sudah tiada daya hendak membantah. Tahulah mereka bahawa Bos benar-benar memaksudkan katanya. Perkara tersebut bukanlah gurauan, sebaliknya kenyataan yang memeritkan. Pahit untuk ditelan.
Jam pun telah menginjak pukul dua pagi. Syafiq dan Tajul sudah bergerak pulang. Tinggallah Qowiy duduk sendirian di depan rumah kedai itu.
Berat hatinya hendak meninggalkan lorong gelap tempat dia menimba pengalaman. Tempat dia bertemu Opie yang sudi memberinya peluang bekerja. Tempat dia memulakan kerjaya sampingan sebagai pemunggah barangan di sebuah kedai perabot.
![](https://img.wattpad.com/cover/253515487-288-k141400.jpg)
YOU ARE READING
BAD[AR]
Teen FictionBAD[AR]: friendship | hatred | revenge | tarbiyah | BADRUL QOWIY, seorang pelajar bermasalah. Tiada istilah peraturan dalam kamus hidupnya. Disiplin? Pergi mampus. Baginya peraturan dicipta untuk dilanggar bukan untuk dipatuhi. BADRUL AMIN, pengawa...