BAD[AR]: 02

656 135 152
                                    

Badrul mula mengemas seusai tamat sesi pengajaran dan pembelajaran pada hari itu. Buku-buku teks disusun rapi sebelum diletakkan di ruang bawah meja. Begitu juga alat tulis yang digunakan, disimpan di dalam bekas pensel yang tersedia.

Pelajar lain awal-awal lagi sudah beredar dan bersedia untuk pulang tatkala jarum jam menginjak ke angka satu petang. Jadi, tinggal la dia seorang yang masih berada di dalam kelas. Setelah memastikan tiada lagi barang dan semua suis kipas serta lampu ditutup, barulah beg sandangnya dicapai lalu Badrul mengorak langkah untuk keluar.

Namun, bukan anak tangga ke tingkat bawah menjadi pilihan. Sebaliknya, dia menuju ke kelas Qowiy yang berada di aras sama cuma terletak di hujung koridor.

Kelas 4 Kirana, kelas yang menempatkan pelajar aliran Lukisan Kejuruteraan ataupun ringkasannya LK. Ramai rakan-rakan mereka seolah tak percaya apabila Qowiy, si pelajar nakal berjaya menempatkan diri di dalam kelas itu. Maklumlah, peralatan untuk belajar LK saja menelan belanja hampir 200 ringgit sedangkan majoriti tahu yang Qowiy bukanlah datang daripada golongan berada. Bagi Badrul tiada apa nak dihairankan kerana dia tahu Qowiy bekerja keras semata-mata hendak mengumpul duit membeli kelengkapan tersebut.

Badrul mengintai dari celah tingkap. Kosong tanpa sesiapa. Ternyata telahannya silap apabila kornea mata menangkap kelibat Qowiy yang sedang tidur nyenyak beralaskan beg hitamnyaa di atas meja guru.

"'Ish, boleh pula dia buat tahi mata," dengus Badrul sambil menggelengkan kepala. Rakan baiknya itu dihampiri lalu dikejut supaya sedar.

"Qowiy, bangun. Kau tak nak balik ke?"

"Soalan gred apa kau tanya ni? Mestilah nak. Aku cuma tertidurlah. Penat sangat," balas Qowiy sambil terpisat-pisat menggosok kedua belah mata.

Badrul yang memerhati tingkah rakannya terkebil-kebil sendiri. Aik, cepatnya respons?

"Aku tidur-tidur ayam je tadi," jawab Qowiy lagi seolah-olah mengerti. Badrul mengangguk faham.

"Cepatlah weh. Kita tak solat zohor lagi ni." Itulah prinsip Badrul Amin. Solat di awal waktu adalah keutamaan baginya. Lengan Qowiy digoyang-goyangkan tanda menggesa.

Mendengarkan perkataan solat, semakin berat tulang Qowiy ingin bangkit dari duduknya.

"Aku bukannya tak nak ikut kau pergi solat, Bad. Kalau diberi pilihan, aku nak ikut sangat-sangat. Cuma itulah, aku tengah 'cuti' sekarang." Beria-ia penjelasan diberi. Riak wajah sedih turut dipamerkan. Mengharapkan Badrul yang mendengar akan memahami situasi yang dihadapi.

"Alahai bongoknya sahabat! Qowiy... kau tu lelaki! Lelaki mana ada cuti solat! Astaghfirullahalazim. Ya Allah, sedarkanlah kawanku ini daripada kejahilan serta kesesatan yang nyata. Amin." Telapak tangan ditadah memanjat doa sebelum disapu ke seluruh muka. Ingatkan apalah tadi sampaikan tak boleh solat. Rasa nak diluku-luku saja kepala Qowiy dengan bucu meja. Biar center sedikit otak itu.

Hanya riak muka toya tanpa perasaan dipamerkan tatkala mendengar kata-kata Badrul yang jelas berbaur sindiran. Haih, nampaknya tak dapatlah dia nak mengelat untuk kali ini. Sejenak pandangan mengarah pengawas berbaju biru itu menikam mata. Qowiy lantas mengeluh.

"Badrul... kau kena faham satu hakikat. Aku ni pergi solat ke, tak solat ke sama je. Aku still dipandang hina. Aku still jadi orang yang jahat dekat mata manusia. Jadi tak ada guna pun aku buat semua itu. Sia-sia, tahu tak?" Usai mengungkap kata, kepalanya diletak kembali di atas meja. Bersedia untuk menyambung lena yang tadinya terganggu.

Badrul bertindak pantas, mematahkan pernyataan Qowiy yang jelas jauh dari persimpangan.

"Kawan, aku rasa kau pun kena faham satu hakikat. Sehina mana kita di mata manusia, sejahat mana kita di depan makhluk, Allah tak pernah anggap kita macam itu. Depan Allah, kita semua sama. Tak ada yang baik atau jahat. Yang membezakan kita semua hanyalah taqwa. Solat ini bukan untuk nampak baik. Solat ini salah satu rukun islam yang wajib kita buat. Tak kisahlah perangai kau macam mana pun. Selagi masih bergelar muslim, selagi itu wajib dilaksanakan dan haram kalau tinggal," terang Badrul.

BAD[AR]Where stories live. Discover now