Bab 12

49 4 3
                                    


Selesai sesi bersantapan, kebanyakan tetamu rancak berbual sesama sendiri. Muslim yang duduk bersebelahan dengan Hannah memulakan perbualan sebaik sahaja Hannah selesai menghirup air. Tuan Hassan tidak melepaskan peluang untuk beramah mesra dengan Hannah dan Muslim serta pekerja-pekerja beliu yang turut hadir ke majlis tersebut.


Hannah jadi segan silu apabila saudara mara Muslim yang duduk semeja dengannya bertanya banyak mengenai dirinya. Seperti sesi suai kenal pula. Setelah mereka beredar untuk bergambar dengan pengantin, barulah Hannah dapat menarik nafas lega.


"Macam mana dengan persembahan saya tadi?"


"Tak tahu nak kata apa. Tiada perkataan yang sesuai untuk terangkan persembahan yang sempurna seperti yang awak buat. Saya nampak tetamu yang lain juga menikmati nyanyian awak."


"Pujian awak ini macam dah melebih-lebih je," Muslim ketawa besar.


"Apa yang melebihnya? Betullah. Saya rasa awak patut menjadi penyanyi semula lah macam dulu. Tak nak ke?"


"Tak nak," Muslim menggeleng kepala.


Hannah hormat dengan keputusan Muslim. Lama mereka berdiam diri sambil memerhati Yasna menggayakan veil pengantin sambil ditangkap gambar oleh jurugambar. Veil itu sangat panjang dan luas sehingga mencantikkan pemandangan di dewan itu dengan kain fabriknya yang halus dan jarang. Seseorang menolong memegang hujung veil supaya ia dibuka luas.


"Kadang-kadang ada hikmah juga bila mak dan ayah saya letakkan nama Muslim sekali. Dulu saya lebih selesa dipanggil Imran berbanding Muslim sebab segan. Saya ini bukanlah orang Islam yang baik. Tapi sekarang, baru saya sedar yang apabila orang panggil saya Muslim, secara tak langsung ia menyedarkan saya yang saya ini orang Islam dan patut menjaga tingkah laku sebagai orang Islam."


Terasa seperti belum lengkap, Hannah berniat ingin mengorek rahsia lagi. Mana tahu boleh digunakan ilham masuk novel nanti.


"Apa lagi yang membuatkan awak nak orang panggil nama Muslim? Setahu saya, susah untuk menyuruh orang yang dah lama kenal kita dengan panggilan baru."


Muslim ketawa besar sehingga tersepet-sepet matanya.


"Memang pun. Betul sangat-sangat. Sebenarnya mereka ini termasuk keluarga saya masih lagi memanggil saya Imran. Hanya orang yang baru kenal panggil saya Muslim. Ceritanya begini. Dulu, macam yang awak tahu saya pernah jadi penyanyi. Umur saya masa itu baru 16 tahun. Suara pun masih kecil tak macam sekarang. Dalam tempoh 10 tahun jadi penyanyi, awak boleh menyaksikan sendiri beberapa stail nyanyian saya sebab suara saya semakin mendalam dan kematangan saya boleh menyebabkan sedikit sebanyak mempengaruhi stail muzik saya. Masa itu saya mempunyai ramai peminat. Hidup saya ketika itu semakin lama semakin lupa niat sebenar menjadi penyanyi. Nasib baik saya tidak terpengaruh dengan aktiviti tak berfaedah, cuma terlalu sibuk sehingga saya kurang ingat Allah. Kalau saya hanyut dan melakukan perkara yang tidak senonoh seperti clubbing, kesian mak saya yang terpaksa menempah malu."


Muslim bercerita sambil menggulung tisu yang diambil dari meja makan dan menjadikan bentuk bunga. Lalu bunga tisu itu diberikan kepada Hannah. Hannah mengambilnya. Dia sambung bercerita sambil memandang ke hadapan.

Datangnya Bersama MatahariTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang