Mimpi itu tidaklah aneh mana. Ia hanya menunjukkan visual Syafiq dari pundaknya yang membelakangi Hani. Syafiq jalan menjauhi dan meninggalkan Hani manakala Hani mengejar Syafiq dengan badannya yang sedang lemah. Amat perlahan. Hani cuba mendapatkannya dengan mendepakan tangan. Suaranya tersekat-sekat ketika ingin memanggil nama Syafiq. Dia termengah-mengah dan hanya mampu menangis melihat Syafiq yang hilang ditutupi bintang-bintang di langit.
Dadanya terasa sangat ketat menerima dera asmara.
Pap!
Mata Hani tercelik luas. Dahinya berpeluh. Dia meraung sambil menekup mulut. Mulai sedar yang perbuatannya memakan diri sendiri. Dia tidak sanggup kehilangan Syafiq! Dia bingkas bangun dari katil dalam keadaan dusi iaitu belum jaga sepenuhnya dari tidur. Akibatnya, dia jatuh terjelepok di atas lantai kerana kakinya masih belum kuat untuk menampung tubuhnya.
Lantas dia mengambil telefon pintarnya dan menghidupkan kembali setelah 12 jam dimatikan. Dia terperanjat apabila mimpi itu membangunkan dia dari lena pada pukul 4.30 pagi di London. Hani menyandar di birai katil dan dengan penuh debaran membuka mesej dari Syafiq. Mesej Ethan dan Puan Rania yang tidak henti-henti merisaukan keadaan dia tidak diendahkan oleh Hani.
Syafiq: Saya tak rasa saya boleh membenci awak hanya disebabkan awak jujur dengan perasaan sendiri. Sebelum ni awak hidup tanpa saya bertahun-tahun ok je saya tengok. Kan? Hani, awak seorang yang sangat jujur, saya merayu jangan biarkan perasaan itu menguasai awak. Tolong kembali kepada Allah hanya Dia je dapat membantu. Saya takkan blok atau bencikan awak. Jangan letakkan diri awak dalam situasi begini dan ketahuilah yang awak berhak mendapatkan seseorang yang jauh lebih baik dari saya.
Hani mencampak telefonnya di lantai dan menangis lagi. Dia betul-betul berhajat yang dia boleh putarkan waktu dan tidak meluahkan perasaan yang terlebih jujur kepada Syafiq. Sangat-sangat memalukan dia mungkin sehingga ke akhir hayatnya.
Ini tidak boleh jadi. Hani masih tidak berputus asa. Dia mahu betulkan keadaan. Dia mula mengira-ngira waktu di Malaysia. Baru pukul 9.30 malam. Dia berdehem membetulkan suara. Tanpa berfikir dua kali, dia menelefon nombor Syafiq.
Malangnya, Syafiq menutup panggilan itu. Berkali-kali walaupun dia sedang online. Kali terakhir dia mencuba, Syafiq sedang berada di talian lain. Dia mulai hairan. Syafiq sedang menelefon siapa sekarang ni?
Hani mengeluh. Nampaknya sudah terang lagi bersuluh Syafiq tidak mahu komunikasi dengannya dalam talian. Dia menarik nafas dalam-dalam dan cuba berfikiran rasional.
Hani menghantar mesej seterusnya. Kali ini lebih tulus dan matang berbanding sebelum ini. Dia benar-benar rasa ingin menjadi sebahagian dari hidup Syafiq apabila dia habis sekolah nanti. Syafiq satu-satunya lelaki yang dia rasa selamat dan rasa diri dilindungi dan sememangnya layak untuk menjadi ketua keluarga. Yang mana dia sudah pun menjadi sebagai anak sulung.
Dia sudah mula mengantuk semula lalu terlelap. Apabila dia terjaga, dia terima beberapa mesej yang membuatkan hati Hani berbunga.
Syafiq : Saya masih tak percaya yang saya begitu berharga bagi awak. Berdasarkan apa yang awak cakap, apa yang awak cuma mahukan dari saya hanyalah rumah dan keluarga. Insyallah saya boleh aturkan. Saya sememangnya tak pernah terdetik dalam hati ingin menzalimi perasaan awak dengan kata-kata saya.
Kalau awak betul mahukan saya dalam hidup awak, saya boleh menjadi pasangan sehidup semati awak. Saya janji saya akan lebih prihatin, apa sahaja yang awak nak dari saya, saya boleh bagi, inshallah. Saya juga boleh menjadi sesiapa sahaja tanpa perlu jadi bapa kepada anak-anak awak. Saya harap awak fahamlah apa yang saya cuba sampaikan. Janji tau jaga diri awak elok-elok. Kalau ada apa-apa yang merungsingkan awak, saya di sini.
KAMU SEDANG MEMBACA
Datangnya Bersama Matahari
Ficción GeneralSambungan buku Selamat Bermimpi Bulan. Ini sangat aneh, aku sangat mencintaimu Aku ingin memberikan segalanya padamu Dan juga menjalani hidup untukmu Namun semakin aku melakukannya Aku tidak boleh menangani badai di hatiku - Muslim Alam semesta tela...