Felina
Saya mengulum senyum di saat memandang pada tubuh dan wajah John yang pegun bak patung cendana. Dia turut memandang ke arah saya tanpa sebarang garis senyum yang diukir pada bibirnya. Saya suka melihat riak wajah yang terkulat-kulat. Saya cuba untuk tidak tersenyum walaupun hati saya sedang digeletek.
Eleh, takutlah tu sebab papa dan mama kita ada.
Kelihatan keadaan John begitu canggung. Mungkin dia segan dengan mama dan papa. Mungkin juga dia mahu dipandang sebagai lelaki yang punyai sifat sopan-santun. Saya nampak riaknya sedikit gelisah. Dia meramas-ramas dua belah jarinya manakala kepalanya sekejap tegak, sekejap tertunduk. Seringkali juga dia melarikan pandangan supaya tidak bertembung dengan mata saya.
Penampilan John yang berkurta turqouise sedondon dengan busana yang saya pakai. Satu persamaan yang sama sekali tidak disengajakan. Mendapati warna baju yang sedondon membuatkan hati saya sedikit berbunga-bunga.
"John, duduk berbual dulu dengan uncle. Auntie nak ke dapur dulu. Sekejap lagi awak makan malam dengan kita semua ye." Ujar mama sebelum bangkit dan meraih tangan saya.
Saya bangun berdiri di sisi mama. Pada yang sama sempat menjeling ke arah John. Dia masih lagi pegun di sofa. Seperti tidak berani untuk memandang saya. Ekspresi wajahnya membuatkan saya sedikit terhibur. Tampak pemalu sangat!
"Mama kenal John?" Saya mengekori langkah mama yang menuju ke ruang makan. Dalam masa yang sama, otak saya sedang mencerna beberapa soalan yang perlu ditanya pada mama.
"Kenal, dulu selalu juga budak tu datang sini jumpa papa. Takkan awak tak kenal dia?"
"Eh, mana ada ma! Fel tak kenal pun. Cuma pernah nampak dia di pejabat." Saya cuba untuk berdalih.
"Iyerla tu. Awak tak pandai nak kelentong mama." Saya rasa mama tahu yang saya berbohong. Akibatnya, saya dijeling tajam oleh mama.
Saya melihat Mak Leha menyusun pinggan-pinggan putih di atas meja makan. Dari petang tadi wanita itu sibuk dalam menyediakan hidangan untuk keluarga ini. Walaupun Mak Leha hanyalah pembantu rumah kami, tetapi saya telah menganggapnya tak ubah seperti ibu angkat saya. Wanita separa abad ini yang banyak meluangkan masa bersama saya berbanding mama.
"Mak Leha semua dah siap ke?" Soal mama, wanita yang bersifat sedikit perfectionist tetapi tidak cerewet. Setiap benda akan diteliti olehnya. Sebolehnya perkara yang diaturnya mahu dilihat sempurna pada matanya. "Fel tolong buat air ye." Pinta mama sebelum meninggalkan saya dengan Mak Leha untuk kembali ruang hadapan.
"Nampaknya tak lama lagi Datin nak menerima menantu." Mak Leha tersenyum sambil menjeling pada saya.
"Menantu yang mana? Abang kan dah lama kahwin. Takkanlah abang Fad nak kahwin lagi. Meroyan sakan Kak Fina nanti." Tingkah saya tanpa berfikir panjang.
"Hisshh, ada ke Mak Leha cakap pasal abang Fad? Cuba Cik Fel tengok siapa tetamu kita tu. Lelaki kan? Takkan Cik Fel tak faham maksud Mak Leha." Pangkas Mak Leha sambil tersenyum simpul.
"Haipp... Mak Leha ni, ada ke fikir sampai ke situ pulak. Budak tu pekerja papa aje. Tak lebih dan tak kurang!" Jari saya sempat menyepit lengan Mak Leha. Pandai pula dia bergurau.
"Mak Leha agak aje. Mana tahu Datin ada rancangan lain."
Saya mengherot bibir dan mengerutkan dahi. Cepat benar Mak Leha berprasangka jauh. Sedangkan John menganggap saya tak lebih dari seorang kawan.
Saya tersenyum sahaja. Saya tak mampu membalas telahan Mak Leha. Dengan langkah yang tertib, saya menatang dulang yang berisi satu jug air oren menuju ke ruang makan.
YOU ARE READING
BUNGA, LEBAH DAN TEBUAN.
RomanceDIA adalah sekuntum bunga yang mekar mewangi.. Dia sang lebah yang gemar berkeliaran mencari bunga. Aku... eh..kenapa aku jadi tebuan... Arghhh.. Ini bukan cerita hero dan heroin yang agak klise.. sudah ditakdirkan aku dilahirkan menjadi 'hantu' d...