Bab 19 - Nephila

5 0 0
                                    

            Hari pertama pada bulan Ke Lapan Tahun 1000 Ulfun Ain - Rusuhan berlaku secara meluas di Kota Bulan Merah. Satu bulan setengah berlalu setelah kematian Lufis, Tiga Segi Berdarah hanya mampu bertahan di Kawasan Dewan Pemerintah dan Jalan Bulan Merah bahkan ekonomi kota itu juga menurun dengan sangat drastik. Manakala Jalan Bulan Gelap, Jalan Bulan Indah dan Jalan Pejuang Berdarah sudahpun dikuasai sepenuhnya oleh Pejuang Pohon. Setiap daripada Tentera Merah yang mereka lihat pasti akan hilang dibunuh tanpa jejak sehingga tiada lagi Tentera Merah yang sanggup berada di kawasan itu. Pada malam harinya, Luft berjumpa dengan Sufi di Penjara Merah melalui kotak hitam. Masih terdapat sebilangan Tentera Merah yang berada di sana atas perintah daripada Nephila untuk mengawal Sufi dan Ezyr yang berkewujudan seperti Panjiey.

"Ketua..." Panggil Luft.

Sufi yang sedang berbaring didalam selnya menoleh ke arah Luft.

"Mmm... Luft. Semakin sunyi kawasan di sekitar penjara." Balas Sufi.

Luft tergelak kecil mendengar ucapan Sufi yang berbaur pujian itu.

"Ketua tidak ingin keluar daripada penjara?" Tanya Luft.

"Belum lagi." Jawab Sufi.

"Tapi ketua... Jalan Pejuang Berdarah sudah aman. Di setiap tempat ada Pejuang Pohon yang bersedia untuk membunuh setiap daripada Tentera Merah. Ketua boleh keluar pada bila-bila masa." Balas Luft.

"Tenang..." Balas Sufi dengan tenangnya.

Luft menundukkan wajahnya. Bibirnya mula membuka bicara mengenai Maya dan juga maklumat yang diberikan oleh Lufis. Dia juga menerangkan mengenai bilangan Pejuang Pohon yang sudahpun mencecah 2000 orang dan ramai daripada mereka berasal daripada bekas Tentera Merah yang mula melihat sinar.

"Mmm... Kejayaan bagi raja mereka." Puji Sufi.

"Ada lagi satu perkara yang menjadi tanya kepada anggota-anggota Hiyar Ayil. Apa sebenarnya kelebihan yang Maya perolehi ketua?" Tanya Luft.

Sufi menyilang jarinya seperti biasa sebelum memulakan penyampaian suatu ilmu yang mengasyikkan.

"Jantung kedua aku adalah jantung yang sama seperti yang aku miliki. Sebenarnya, Lufis tidak memerlukan tambahan jantung penduduk kota yang lain untuk memindahkan pemilik Tunggal Hantu Salju. Yang mereka perlukan hanyalah jantung pemiliknya. Syaratnya terakhir terdapat pada kata Tunggal itu sendiri." Jawab Sufi.

"Maksudnya... Pemindahan pemilik Tunggal Hantu Salju tidak mungkin berlaku selagi pemilik yang pertama belum mati. Sebab itu pemujaan itu gagal. Kata Tunggal yang bermaksud... Hanya seorang pemilik." Sambung Luft.

"Meski Maya tidak berubah menjadi Tunggal Hantu Salju. Jantung itu sudah cukup untuk mengubah dia menjadi seorang Tunggal yang sama kuatnya sepertimana Tunggal Hantu Salju. Itulah petunjuk yang bicara hati ini berikan." Terang Sufi lagi.

"Petunjuk... Patutlah ketua tidak ragu-ragu untuk mencipta jantung kedua Tunggal Hantu Salju. Jika sama kuat... Maksudnya Maya juga seperti ketua. Mempunyai kebolehan Tunggal yang berunsurkan Salju?" Tanya Luft lagi.

"Mmm... Dan kemungkinan Maya adalah Tunggal Ratu Serigala Salju. Salah satu ketua bagi serigala jadian." Jawab Sufi.

"Patutlah... Wujud manusia Maya berbentuk separuh serigala." Sokong Luft.

"Lindungilah gadis itu sepertimana permintaan Lufis. Sekiranya Maya menganggap Radyah sebagai ibunya. Hormatilah keputusan gadis itu." Arah Sufi.

Ulfun AinWhere stories live. Discover now