Bab 16 - Pejuang Pohon

1 0 0
                                    

            Pagi Hari Pada Hari ke-17 Bulan Ke Enam, Tahun ke-1000 Ulfun Ain - Luft yang ditugaskan berjumpa dengan Laviant tiba dirumah Myla tempatnya berkumpul para Pejuang Pohon bersama dengan Sofea. Di rumah itu, mereka berdua dapat melihat Isac yang dikatakan sebagai penasihat di raja itu sedang menghadap ke dinding berbicara sesuatu yang tidak tersusun dikelilingi dengan Laviant, Alim dan Myla.

"Khianat... Kaum... Penawar... Khianat... Kaum... Penawar..." Ucap Isac dengan wajahnya yang ditundukkan.

"Laviant." Panggil Luft.

Laviant, Myla dan Alim memandang ke arah Luft dan Sofea.

"Laviant?" Soal Sofea.

"Apa arahan Sufi?" Tanya Laviant.

Sofea mengerutkan dahinya. Kedua matanya keliru melihat tingkah Lokh yang berubah sepenuhnya itu.

"Pembelot?" Soal Luft.

"Mmm... Jawapan." Balas Laviant.

Luft bergerak mendekati mereka sambil mencapai salah sebuah kerusi yang ada dirumah itu. Sofea pula terus kaku melihat perubahan daripada tingkah Lokh tersebut.

"Sufi meminta kita semua untuk berkumpul pada malam ini di Kedai Khamar. Aku akan menyampaikan segala maklumat berdasarkan bukti-buktinya sekali." Terang Luft.

"Ehem. Aku masih tidak faham mengapa Lokh berubah secara tiba-tiba dan maklumat yang dirahsiakan Sufi. Tapi... Mengapa penasihat di raja ini seakan-akan gila?" Soal Sofea.

"Dia memang gila kak." Terang Myla sambil bergerak duduk disebelah Luft.

Alim dan Laviant mengikuti tingkah Myla duduk membentuk sebuah bulatan diantara mereka.

"Duduklah Sofea. Banyak yang Laviant berjaya bongkar bagi cerita yang aku bawa sebelum diselamatkan oleh Abang Rahman." Pelawa Alim.

Sofea menuruti arahan itu dengan persoalan yang berlari-lari pada mindanya.

"Dengar baik-baik. Aku malas mahu mengulang maklumat yang panjang banyak kali. Sewaktu aku dan Alim berjumpa dengan Myla dan Isac. Ada sesuatu yang menarik tentang fikiran penasihat di raja ini. Dia terus memikirkan bagaimana caranya membawa Raja Terakhir kepada Lufis. Gadis ini pula terus memikirkan tentang kebangkitan semula Negeri Zamrud Mulia." Terang Laviant.

"Laviant. Kau... Kau merungkai persoalan yang Sufi tidak mampu jawab. Persoalan bagaimana cerita sebenar yang dibawa oleh Raja Terakhir itu bertentangan dengan apa yang Esfarza katakan." Ucap Luft.

"Maksudnya?" Tanya Sofea.

"Aku bukannya merungkai. Aku menyokong apa yang Sufi katakan. Cerita itu sememangnya mengelirukan kerana Nephila membunuh Lily lalu mengutipnya semula tanpa sebarang sebab. Kekeliruan ini menunjukkan bahawa cerita daripada Tiga Segi Berdarah dan Raja Terakhir kedua-duanya dimanipulasi. Kamu semua cubalah berfikir sedalam mungkin. Mengapa bodoh sangat akal itu untuk mempercayai sebuah cerita tanpa sebuah bukti yang sebenar." Marah Laviant.

Tergamam mereka semua mendengar teguran daripada Laviant itu. Meski menyakitkan hati, tapi ucapan itu ada benarnya.

"Sewaktu aku meminta Alim dan Myla menyampaikan maklumat pada Hiyar Ayil, aku sudah mula membaca kisah silam pembelot ini. Dia hanyalah seorang penduduk kota yang dikutip oleh Lufis untuk dijadikan sebagai orang suruhan. Pembelot ini ditugaskan untuk memastikan cerita yang dimanipulasi oleh Lufis masih berpaut pada keturunan raja terakhir bersama cerita tambahan yang direka-reka dimana keturunan penasihat dan mata-mata sewaktu Raja Alaf memerintah pada masa dahulu juga berlangsung sehingga sekarang." Terang Laviant.

Ulfun AinWhere stories live. Discover now