Tujuh Belas

17 4 2
                                    

Suara merdu Muddatthir menusuk kalbu. Terasa segala masalah dan kesakitan hilang begitu sahaja. Buat pertama kali dalam hidup, aku solat berjemaah. Pertama kali juga bersama Muddatthir, abi dan ummi. Tidak, ini pertama kali aku solat selepas ibu tiada.

"Assalamualaikum warahmatullah... Assalamualaikum warahmatullah..." Zikir subhanallah, alhamdulillah dan allahhuakhbar dibaca sebanyak 33 kali setiap satu. Surah al-Fatihah diiringi dengan ayatul kursi.

"Ya Allah, Yang Rahman, Ya Rahim. Tidaklah kami menyujudkan dahi ini di atas sejadah yang suci kalau tidak kerana kasih dan sayangMu yang memilih kami." Tangisan yang tidak diundang telah datang sedikit demi sedikit.

"Tiadalah kami di sini kalau bukan kerana nikmat iman dan Islam yang telah Engkau berikan kepada kami. Jadikanlah kami ini pemimpin orang bertakwa, yang menjulang tinggi panji agamaMu iaitu Islam. Yang menyambung dakwah kekasih mulia iaitu Rasulullah SAW. " Nafas yang berbolak balik cuba untuk dikawal.

"Sesungguhnya kami hina Ya Allah, kami lemah tanpaMu. Maka ampunilah dosa-dosa kami dan seluruh umat Islam di dunia ini, yang masih hidup atau pun yang telah meninggal dunia." Bayangan ibu mula terpancar dalam kotak memori.

"Kau tempatkanlah Maimunah Binti Saad dan Kalstum binti Abdullah Umar dikalangan orang-orang yang beriman. Sesungguhnya tiadalah yang mampu menolong kami kecuali Engkau, maka perkenanlah permohonan kami." Air mata mengalir deras.

"Jauhkanlah kami dari seksa yang bakal membakar setiap anggota tanpa ada belas kasihan Ya Allah. Tempatkanlah kami di dalam syurga firdausMu Ya Allah. Bersama wali-waliMu. Rabbana ãtinaa fildunya hasanah wafilaakhirah hasanah, waqiinaa azaabannar. Wasallallahuala saidina Muhammad Waala Aalihi Washbihi Wasallim, Walhamdulillahirabbilaalamin."

Doa Muddatthir diaminkan. Hidung aku terasa merah dan banyak kali menyedut hingus yang cuba ingin menikmati udara luar. Aku hanya menundukkan kepala. Masih lagi kaku. Entah, mengapa?

"Abang, salam?" Muddatthir menghulurkan tangannya. Aku menyegerakan diri untuk bangun dan masuk ke dalam bilik. Punat kunci ditekan perlahan. Tombol pintu digenggam erat. Songkok hitam dikepala diambil tangan kiri.

Badan rebah bersama dengan kesedihan yang bermain di dalam hati. Habis basah seluruh muka dengan air mata dan hingus. Wajah ditekup, perlahan-lahan bunyi tangisan yang sepatutnya menggegarkan rumah agam itu diperlahankan.

Tok tok tok

"Muzammil? Are you in there?" Muddatthir mengetuk pintu. Gaya-gaya Anna mengetuk pintu bilik kakaknya Elsa dalam cerita Frozen 1. Dia juga menyanyi seperti Anna.

"Kau nak apa?" Soal aku sambil menyedut-nyedut hingus.

"Rindunya daku
Kepada bumi madinah
Takkan terubat walau sudah ziarah
Sekalipun menangis berair mata darah
Hatikan tetap rindukan Rasulullah"

Muddatthir mengalunkan qasidah Rindu Madinah. Qasidah yang kami sering mengalunkan bersama-sama sewaktu kecil. Aku benci membesar, sebab segala memori sewaktu kecil membuatkan aku rindu segala perkara.

Tombol pintu dibuka perlahan. Wajah Muddatthir tersenyum lebar apabila aku akhirnya membuka pintu selepas 2 kali qasidah itu diulang. Dia masuk tanpa sempat aku menahan.

"Abang tahu pasal Bilal Bin Rabbah?" Muddatthir menyoal lalu duduk di atas kerusi belajar. Aku  pula mengangguk dan mengambil tempat duduk di birai katil.

"He choose Islam walaupun diseksa teruk oleh tuan dia. Padahal dia boleh je untuk keluar Islam waktu tu. Tapi demi mempertahankan Islam, dia lebih rela dia yang sakit dari nama agama yang tercemar." Aku mendengar dengan penuh minat.

"Bila dia dibebaskan, dialah yang menjadi salah seorang sahabat yang rapat dengan Rasulullah. Jadi muadzin Rasulullah lagi." Dia tersenyum apabila menceritakan tentang sahabat nabi ini. Terasa seronok menyebut nama ahli syurga.

"Sampaikan Rasulullah kata dia dengar telapak kaki Bilal dalam syurga. Manusia pandang dia hina, tapi disisi Allah dia mulia. Nak dapat syurga, Allah tak tengok luaran, Allah tengok hati." Dia menegakkan duduknya.

"Iman takkan terlepas kalau kita genggam erat. Macam mana nak genggam erat? Of course dengan ikut apa yang Allah suruh dan tinggalkan apa yang Allah larang." Dia menyambung.

"Bilal choose Allah sebab dia yakin sungguh, Allah akan tolong dia. Bukti? Saidina Abu Bakar bebaskan dia. Kita tak kena seksa, cuma kena lawan dengan syaitan dan nafsu dunia." Bibir dia yang sentiasa mengukir senyuman itu dibawa pergi bersama dirinya  keluar dari bilik itu.

Hafiz Yang Dipinjam [ C ]Where stories live. Discover now