Hai korang.
JAKET kulit berwarna hitam yang tersarung di tubuh, ditanggalkan sebelum dilemparkan sahaja di atas sofa mewah jenis chesterfield berangkai tiga rumah banglo tiga tingkat milik keluarganya itu. Berat kaki diheret melangkah ke arah dapur. Tekak yang terasa sangat kering perlu dibasahkan segera sebelum penyakit tonsilnya kembali menyerang.
Pintu peti sejuk dibuka dan mata meliar meneliti setiap isinya sebelum akhirnya tangannya mencapai satu botol besar air Tropicana berperisa oren. Tukar rancangan saat-aat akhir dengan menyingkirkan air mineral yang sepatutnya dia teguk untuk kesihatannya malah memilih air masam itu agar dia terus kekal bertenaga. Kerja pejabatnya masih banyak dan sangat-sangat memerlukan perhatian dia di saat-saat kritikal begini.
Dateline tak lama lagi oi!
Gelas yang mulanya berisi penuh dengan air buah bervitamin C itu kini sudah licin diteguk dengan sekali nafas sahaja. Rasa masam yang menyengat deria rasanya menyegarkan terus biji matanya. Tersenyum puas bibirnya. Ha, baru boleh sambung kerja!
Berlari-lari anak kembali menuju ke ruang tamu, beg komputer ribanya disambar dan dibawa semula ke arah dapur. Meja pulau menjadi meja kerjanya untuk pagi ini. Malas nak mendaki tangga ke tingkat dua atas sana.
Satu gelas jus oren dipenuhkan lagi dan diletakkan di sisi komputer ribanya yang sudah terang bernyala dan terpampang software 3Ds Max untuk kerja-kerja lukisan binaannya. Jari-jemarinya diletup-letupkan, dagu ditolak ke tepi kiri dan kanan dan segala otot-ototnya diregang-regangkan sebagai senaman ringan.
“Assalammualaikum, Amar Jebat.”
Mata terpejam dan jari-jemarinya terhenti di udara. Tak sempat langsung menyentuh kekunci komputer!
Nafas digali dalam-dalam dan dilepaskan tenang sebelum mata dicelikkan semula. Bibir dicarik senyum ikhlas ke arah seorang wanita bertudung labuh dan berjubah cantik yang juga sedang berjalan ke arahnya sambil tersenyum-senyum.
Alah, macam mana boleh cair dengan umi sendiri ni?
“Waalaikumussalam, umiku yang terpaling bidadari dunia!” sahut Amar. Suaranya seperti biasa, girang dan ceria sedangkan muka sudah serupa mayat hidup tak tahu malam atau siang untuk tidur dan berehat.
“Baru sampai? Dah subuh ke tadi? Subuh dekat mana?” Puan Nadira menyoal. Lembut sahaja gayanya namun kedengaran sangat sinis sebenarnya untuk telinga yang faham dengan intonasi suara wanita pertengahan 50-an itu.
Amar tersengih sehingga hilang mata. Sepet habis!
“Ha, Amar jangan macam-macam ya? Dah besar panjang, tua bangka…”
“Dah umi! Halah, Amar saja nak usik sikit. Solat dekat pejabat sebelum gerak balik tadi.”
Puan Nadira menjeling. Bukan tak percaya tapi perangai nakal Amar Jebat ini lebih mencabar dari dua lagi orang anak lelakinya yang lain. Entah menurun perangai siapa agaknya?
YOU ARE READING
Yours, Jebat
Romance2022. Jangan tunggu sangat ya. Slow update. *** "Do you see a future with me?" - Amar Jebat "Tak langsung." - Syeefa Balqis "Aku tak tahu macam mana nak ucapkan selamat tinggal." - Amar Jebat "Try this... Pergi aje. Jangan fikir." "Kau degil, kan...