Ramadhan Kareem! ✌️
PUTRI memerhatikan Syeefa yang sejak tadi ralit bergaya di depan sebuah cermin tinggi yang terdapat di sudut penjuru biliknya. Sesekali tangannya naik mengusap-usap perutnya yang membulat. Dia kini duduk berdua dengan Syeefa di rumah sewa Azhan sementara rumah mereka masih di dalam proses pembinaan semula setelah kejadian kebakaran tempoh hari. Amar pula kembali menetap di rumah keluarganya sehinggalah rumah keluarga Putri siap.
“Bukan main adik kakak ni bersiap cantik-cantik.” Tidak betah memerhati dan berdiri terlalu lama, akhirnya Putri melangkah masuk.
Terangkat bahu Syeefa. Terkejut tiba-tiba sahaja ada suara yang menegur, terus sahaja dia berpaling menghadap ke arah pintu. Diperhatikan sahaja Putri yang sudah siap duduk di birai katilnya. Syeefa hanya tersenyum sebelum kembali berpaling menghadap cermin. Anak rambutnya yang sudah dipotong gaya bang dibetul-betulkan.
“Syeefa nak keluar ke?”
Syeefa tidak menoleh. Sekadar mengangguk memberi jawapan.
Putri melepaskan perlahan helaan nafasnya. “Dengan Aidan?”
Kening Syeefa berkerut sedikit. Putri yang berada di atas katil dipandang hanya melalui cermin di depannya. “Dah kenapa Syeefa nak keluar dengan Aidan? Apa pula kata Aisy kalau selalu sangat Syeefa jumpa Aidan. Lagi pun bukan ada apa-apa kepentingan pun.”
Putri agak terasa sedikit. Nada suara yang digunakan oleh Syeefa agak keras di pendengaran telinganya tetapi Putri cuba untuk membiasakan diri kerana beginilah Syeefa semenjak kebelakangan ini. Ya, Syeefa Balqis sudah agak berubah sedikit.
“Oh, Syeefa keluar dengan Amar…”
“Adoi, tolonglah!”
Tidak sempat Putri hendak menghabiskan andaiannya, Syeefa terlebih dahulu meninggikan oktaf suaranya seraya berpaling kasar memandang Putri. Terkejut sungguh Putri lebih lagi apabila melihat cerlungan mata Syeefa.
“Rimas tahu tak? Amar! Amar! Syeefa pun tak faham. Apa kena-mengena Amar dengan Syeefa sampai semua benda nak kaitkan dengan dia, eh?”
“Kakak… er…” Putri kelu. Masih terkejut dengan sergahan Syeefa. Air muka Syeefa jelas menunjukkan yang dia sangat meluat. Entah meluat kerana nama Amar atau meluat dengan Putri sendiri?
Syeefa merengus. Dia kemudiannya menapak ke arah kabinet berlaci tiga. Beg silang dicapai dan disilangkan ke dada. Kasar sungguh semua pergerakannya. Keberadaan Putri di situ seakan-akan tidak diendahkan.
“Syeefa, kakak minta maaf. Kenapa Syeefa suka marah-marah sejak kebelakangan ni? Syeefa ada masalah apa-apa? Syeefa cakap dengan kakak.” Putri memujuk. Syeefa dihampiri dan belakang tubuh Syeefa digosok-gosok.
“Syeefa tak ada masalah apa-apa pun.” Senada sahaja Syeefa menjawab. Tidak berpaling pun memandang Putri di belakangnya, malah tubuhnya yang digosok lembut oleh Putri diganjakkan sedikit ke depan, menjauhi Putri.
YOU ARE READING
Yours, Jebat
Romance2022. Jangan tunggu sangat ya. Slow update. *** "Do you see a future with me?" - Amar Jebat "Tak langsung." - Syeefa Balqis "Aku tak tahu macam mana nak ucapkan selamat tinggal." - Amar Jebat "Try this... Pergi aje. Jangan fikir." "Kau degil, kan...