14

367 58 16
                                    

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.


KERUSI meja makan ditarik sebelum punggung dilabuhkan di situ. Tali leher miliknya yang sekadar dipegang sejak dari dalam bilik itu diletakkan di atas meja. Tangan mencapai satu set cawan sebelum air kopi buatan Puan Nadira dituang sendiri. Sambil menyisip cawan berasap nipis itu, sambil itu mata dan tangan sibuk menatal telefon. Sibuk benar gayanya pagi-pagi begini.

“Anak pungut! Hantar aku pergi kolej sekejap lagi.”

Hampir sahaja Amar tersedak dek sapaan gurau kasar dari belakangnya. Siap kena tumbuk pula belakang tubuhnya. Cemas, berhati-hati Amar meletakkan semula cawan di atas meja. Kalau tumpah kopi dan terkena baju kemeja yang sudah segak tersarung di badannya, memang dia saman manusia seorang ni!

“Firaun betul perangai kau, kan?” Senada sahaja Amar menyoal. Tidak terlalu keras namun tidaklah terlalu mesra. Hanya yang faham sahajalah akan faham bagaimana emosi si empunya suara yang berbicara.

Tertongkat sebelah kening Aidan sebelum terkekeh dia ketawa mengejek. Tempat duduk di depan Amar, diambil.

“Kalau aku anak pungut, habis kau? Tiba-tiba muka sama dengan aku jatuh dari langit?” Masih tidak berpuas hati, Amar meledakkan serangan balas.

“Hah, ghisau kadang! Sebab macam pelik sikitlah, aku ni helok lagi,” ujar Aidan beserta tawa mengejek. Pagi-pagi cara fasal baru meriah hidup seharian ini nanti.

Amar menjeling. Menyampah! Aidan Nadim ini sejenis mulut puaka jikalau berada di kalangan keluarga dan saudara-mara mereka. Cuba kalau di depan manusia lain di luar sana, muka nak acah terpaling imam muda! Lebih-lebih lagi kalau di depan bakal bapa mertuanya, Chef Nordin Ahmad yang terkenal dengan senduk kayu turun-menurunnya itu.

“Mar, sekejap lagi hantar aku pergi kolej.” Sekali lagi Aidan meminta.

Amar menyambung semula membelek-belek telefonnya. Serius sahaja tampang mukanya. Soal kerja tidak habis-habis. “Mana motor kau?”

“Syeefa pinjam.”

Mendengar sahaja nama Syeefa, kepala Amar laju sahaja terpanggung memandang Aidan yang sedang bersahaja menikmati sarapan paginya dan saat matanya tiba-tiba bertemu dengan pandangan Aidan, keningnya yang berkerut digaru-garu perlahan menyembunyikan riak. Tersenyum senget sahaja Aidan yang dapat menangkap.

“Kenapa pulak Syeefa pinjam? Skuter dia mana?” Amar buat-buat seperti tidak ada apa-apa. Cawan disisip ke bibir. Walhal di dalam hati, mulai kurang senang.

Aidan bagi pinjam skuter harga sebiji Axia full spec tu dekat Syeefa macam itu sahaja? Amar sendiri tak pernah dapat sentuh ‘awek simpanan’ Aidan itu!

Puan Nadira muncul dari dapur. Satu mangkuk kecil yang terisi dua biji telur separuh masak khas buat suaminya diletakkan di atas meja, kedua-dua orang kembar itu dipandang sekilas.

Yours, JebatWhere stories live. Discover now