Hai! 🙋🏻♀️ Orait tak orait tu?
KEPALA diangkat memandang depan setelah telinga mendengar bunyi hon kereta yang ditekan. Airpod yang tersumbat di kiri dan kanan telinganya itu kemudiannya lekas-lekas dicabut dan diletakkan semula di dalam bekasnya sebelum diseluk masuk ke dalam beg.
“Hai!” Syeefa menegur mesra. Bibir merekah dengan senyuman sambil-sambil tangan menarik seatbelt menyilang di dada. Setelah itu tubuhnya disandarkan, melepaskan rasa lelah. Angin sejuk dari penghawa dingin kereta tika ini sangat melegakan dia yang kepanasan menunggu di pondok teksi tadi.
Gear ditolak turun ke ‘D’ dan pedal minyak ditekan. Mata mengerling sekilas ke arah Syeefa yang sudah terpejam matanya. Gaya terlalu penat pula budak kecil ini!
“Kita nak pergi mana ni?” Amar menyoal tanpa memandang. Fokus dengan pemanduannya.
Barulah Syeefa mencelikkan semula matanya. Haish! Hampir nak terlena pula. Mata bundarnya mencari Amar di sebelah. Air muka Amar nampak serius sedikit hari ini. Sebenarnya sudah seminggu mereka tidak bertemu. Berbalas pesanan di WhatsApp pun boleh dikira dengan jari apatah lagi bercakap di dalam telefon. Langsung tiada tetapi Syeefa tak hairan sangat sementalaah dia dan Amar bukannya ada apa-apa hubungan istimewa pun.
“Kau nampak penat. Bila sampai Malaysia?” Soalan dijawab dengan soalan oleh Syeefa. Mata masih terpaku pada wajah Amar. Amar santai dengan t-shirt berkolar bulat dan berseluar jeans sahaja. Entah bila lelaki itu pulang ke Malaysia setelah seminggu berada di UAE atas dasar kerja.
“Dua hari lepas.” Amar menjawab ringkas sambil sebelah tangannya naik, siku ditumpangkan ke pintu dan jari menggaru-garu kening hitamnya.
Terjungkit kedua-dua belah kening Syeefa. Sejak tadi dia perasan yang walau sesaat pun Amar tidak menoleh, memandang ke arahnya. Ah, dia bukan terasa hati kalau Amar balik awal tetapi tidak menghubunginya tetapi Syeefa jadi sebal pula melihat muka tiada mood Amar. Terasa diri sendiri semacam menyusahkan dan tidak diperlukan oleh Amar.
“Abang Han kata minta kita cari baju untuk majlis persandingan dia dengan kakak nanti. Kakak dah WhatsApp contoh baju. Sekejap aku…”
“Iya… tahu… tapi dekat mana?”
Suara Amar yang membentak sedikit itu benar-benar mengundang kejut di hati Syeefa. Dipandang Amar yang riak mukanya sangat tegang. Buktinya, rahang lelaki itu sedang bergerak-gerak dan kerutan di sepasang kening hitamnya juga pecah berjuta.
Syeefa merasa tidak senang dengan diam dan dingin yang dirasakan terlalu janggal. Mengenali Amar Jebat, dia seorang lelaki yang riuh dan mudah menghiburkan dan juga mudah terhibur. Membentak-bentak hatinya mahu tahu apa yang sedang dilalui oleh Amar sehinggakan moodnya bertukar menjadi puting beliung.
YOU ARE READING
Yours, Jebat
Romance2022. Jangan tunggu sangat ya. Slow update. *** "Do you see a future with me?" - Amar Jebat "Tak langsung." - Syeefa Balqis "Aku tak tahu macam mana nak ucapkan selamat tinggal." - Amar Jebat "Try this... Pergi aje. Jangan fikir." "Kau degil, kan...