"SU, anak kita sudah dewasa. Cepat atau lambat Isha akan bertemu dengan jodohnya. Selama ini rahsia Isha tersimpan kukuh. Abang tak tahu bagaimana jika tiba hari pernikahan Isha nanti. Abang tak sanggup hendak menceritakan hal yang sebenar. Abang takut Isha tak boleh terima."
Fazli bermonolog.
Biarpun Fazli tidak bersalah dalam hal ini, namun dia kasihankan Suraya juga. Bagaimana penerimaan Falisha terhadap ibunya apabila rahsia itu sudah tidak lagi menjadi rahsia.
Ianya terluah hanya di dalam hati. Bukan pada isterinya Suraya.
"Hmmm...."
Keluhan panjang dilepaskan. Matanya memanah dinding bilik.
Lama dia berteleku di atas sejadah. Fikirannya saat ini hanya tentang Falisha. Belum lagi dia mahu memutuskan untuk membongkar rahsia yang disimpan rapi sejak hari pertama dia menyambut kelahiran Falisha sehingga kini Falisha sudah berusia dua puluh satu tahun.
Dari pandangan mata, dia tahu Falisha dan Darwis punya hubungan lebih dari bekas rakan sekolah. Bagaimana nanti penerimaan keluarga Darwis jika mengetahui hal sebenar. Adakah mereka dapat menerima atau akan menyingkirkan Falisha?
"Maafkan ayah, Isha." Dia mengurut-urut dahi. Fikirannya kacau.
Zikir istighfar dilagukannya perlahan. Dia harus berbuat sesuatu sebelum ada perkara yang lebih buruk berlaku. Dia tidak mahu Falisha dibenci oleh sesiapa pun. Tiada siapa pun yang boleh melukakan hati anak kesayangannya itu.
Dia bangun sambil menarik sekali sejadah dari atas lantai, lalu disidai. Kopiah hijau kehitaman yang dipakai dibuka dan diletakkan diatas meja hiasan.
Dia akan berbincang hal ini dengan Suraya dalam masa terdekat. Tubuhnya dibawa ke katil. Suraya masih di ruang tamu. Biarpun Suraya selalu menjauhkan diri, kasih dan sayangnya pada Suraya tetap utuh dan segar.
Dia sudah mangli dengan sikap isterinya itu. Harapannya biarlah suatu masa nanti Suraya akan menerima dirinya sebagai suami dengan rela hati. Itu lebih baik dari memaksa-maksa. Itu jugalah doa-doa yang sering dipanjatkan kepada yang Esa.
Dia tidak jadi untuk merebahkan diri, lantas dia bangun dan menuju pintu bilik. Setelah itu kakinya melangkah ke ruang tamu. Tanpa sebarang kata dia labuhkan punggung sebelah Suraya yang sedang leka menonton tv.
"Su, dah makan?" Lembut suaranya menyoal. Sisi kiri wajah isterinya di tatap. Hanya anggukkan sebagai jawapan.
Tangan isterinya dicapai. Diletakkan diatas paha. Dirangkai jari jemari itu dan digenggam erat. Suraya hanya membiarkan. Dia sudah biasa.
Dulu masa mula-muka kahwin, setiap kali Fazli mahu berbuat begitu, Suraya akan menyentak tangan nya. Hanya selepas kerap kali Fazli mengulangi begitu, Suraya sudah jadi malas. Lama kelamaan dibiarkan sahaja tanpa apa-apa perasaan.
"Buat apa je hari ni?"
Pancingnya lagi. Berharap agar Suraya mahu membuka mulut. Dia sudah terlalu rindu untuk berbual dan bergurau dengan isterinya itu.
Sepi...
Suraya tidak memberikan tindak balas. Masih tangan itu diusap mesra. Ditatapnya tangan yang sedang bergenggaman, Fazli tersenyum. Kemudian jari-jemari itu dilepaskan. Kali ini tangan kanannya naik dibelakang bahu Suraya. Dipicit-picit bagi lembut wanita itu perlahan-lahan.
Suraya kekal mematungkan diri.
Bahu Suraya digoncang sedikit. Wanita itu mendengus kecil. Kedua tangannya disilangkan, sebagai isyarat menolak.
"Su, abang ada benda nak bincang dengan Su. Benda yang sangat penting tentang anak kita Fa..."
"Dia bukan anak kau!" Potong Suraya tiba-tiba.
Spontan kata-kata itu diungkapkan oleh Suraya. Membuatkan Fazli terjeda seketika. Namun dia cuba mengawal perasaannya.
Fazli menunduk.
"Ya, abang tahu dia bukan anak abang. Dia anak kandung Su. Tetapi abang sudah anggap Isha seperti anak kandung abang sendiri. Abang sayangkan dia sejak dari hari dia dilahirkan sehinggalah ke hari ini, saat ini," lembut suara Fazli menuturkan kata.
Suraya menoleh dengan riak muka marah.
"Maafkan abang. Abang ada hal penting yang perlu kita selesaikan berkait dengan Falisha, tapi bukan malam ini," ujarnya perlahan. Tidak mahu dia memanjangkan gaduh.
"Dah, jom masuk tidur. Dah malam sangat ni." Dia senyum lantas tangan isterinya kembali digenggam. Fazli bangun sambil menarik tangan Suraya supaya ikut bangun.
Mulanya Suraya tidak mahu bangun. Dikeraskan badannya seolah melekat punggungnya di sofa. Fazli mencapai alat kawalan jauh televisyen, lantas menekan butang off. Sebelah tangan lagi masih memegang tangan Suraya.
Mahu tidak mahu, Suraya bangun dengan malas. Satu patah perkataan pun tidak terbit dari bibirnya melainkan bunyi dengusan kecil tanda protes. Fazli lantas meletakkan tangan di pinggang Suraya. Begitu wanita itu tidak suka dan cuba meleraikan pegangan Fazli, namun dia tidak mampu mengalihkan tangan lelaki itu yang sengaja dikeraskan.
Mereka beriringan masuk ke bilik tidur. Fazli menghantar Suraya sehingga sampai dikatil, barulah pegangannya dilepaskan. Suraya memanjat naik dan terus baring.
Fazli mematikan lampu bilik sebelum menghidupkan lampu tidur di sebelah katil. Kemudian terus dia merebahkan badan. Seperti biasa kepala Suraya diangkat sedikit, lalu diletakkan di atas lengan. Tidak dikisahkan walaupun isterinya itu tidur mengiring membelakanginya.
Belakang kepala Suraya dikucup perlahan. Tangan kanan mula melingkari pinggang, namun diendahkan sahaja oleh wanita itu. Sudah biasa begitu sejak lama dulu.
"Selamat malam sayang..." lingkaran dipinggangnya terasa dieratkan oleh Fazli.
Bisikan itu perlahan sahaja namun masih dapat didengari oleh Suraya. Dia membatukan diri.
Fazli terus lena. Mungkin kerana keletihan akibat bekerja sepanjang hari.
'Hal apa yang dia mahu bincangkan,' desis Suraya. Hatinya tertanya-tanya.
'Berkait hal Falisha. Hal penting apa pula?' Kotak fikirannya cuba mencerna.
Dipusingkan tubuh untuk menghadap wajah Fazli yang kelihatan sangat nyenyak tidur sehingga dapat didengar Fazli berdengkur halus.
Seluruh wajah itu diamati.
'Kenapa kau terlalu baik dengan aku,' suara itu hanya bergema di dalam kepalanya.
'Maafkan aku kerana tidak mampu untuk menyayangi kau. Aku tak ada hati, tak ada rasa cinta lansung pada kau. Aku masih tidak boleh lupakan apa yang berlaku terhadap aku dulu. Aku bukan wanita suci yang layak untuk kau.'
'Aku tahu kau sangat baik pada aku. Sayang pada anak aku sepenuh hati kau, tapi hati aku tidak terbuka untuk sesiapa setelah kejadian hitam itu.'
Suraya kembali mengalihkan posisi tubuh. Matanya cuba dipejamkan. Fazli turut bergerak sedikit. Pelukan dipinggangnya semakin dieratkan.
Diendahkan sahaja oleh Suraya.
YOU ARE READING
Isha ✔
RomanceSinopsis SURAYA ketika usia remaja lapan belas tahun adalah seorang gadis yang agak liar. Berasal dari keluarga kelas pertengahan dari kalangan orang yang berada. Bapanya seorang yang tegas dan agak terkenal dalam komuniti setempat di taman tempat m...