"ISHA, nanti bila kita berjauhan, aku harap kita tetap setia satu sama lain. Aku janji tak akan curang dengan kau." Darwish memberi janji.
"Aku rasa lebih baik kita buat macam biasa je. Takut aku nak berjanji dengan kau. Buatnya aku mungkiri janji tu macam mana. Lagipun kalau kita berjanji, kita macam tak bebas. Kita kena pegang janji entah sampai bila."
Bukan niat Falisha untuk fikir mudah, cuma dia tidak mahu mereka bergaduh kemudian hari hanya sebab melanggar janji setia. Dia mahu hubungan dia dan Darwish kekal bahagia dan mengikut ketetapan.
Tidak perlu melampaui takdir Allah Swt. Bagi Falisha jika ada jodoh mereka, pasti mereka akan bersatu juga walau apa pun yang terjadi.
"Kenapa kau cakap macam tu. Kau dah tak percaya dengan aku ke?" Darwish yang sedikit tersinggung dengan kata-kata Falisha, lantas bangun dari duduk. Dia mendekati gadis kesayangannya itu.
Kedai bunga Falisha menjadi tempat pertemuan mereka. Pertemuan terakhir sebelum Darwish menaiki pesawat pada malam nanti.
"Aku percaya dengan kesetiaan kau. Cuma aku tak percaya dengan diri aku sendiri. Kalau kita beria berjanji setia dalam masa yang sama, kita tak tahu apa akan jadi dimasa depan. Aku takut nak berjanji dengan kau. Aku tak mahu ada kecewa andai kita tak berjodoh." Lantai tempat dia berdiri ditatap. Wajahnya sedikit muram.
"Bukan kau dah janji ke dengan aku untuk setia dalam hubungan kita? Hari ini kau dah cakap lain pulak," keluhan kasar dilepaskan oleh Darwish.
Kembali dia duduk sambil meraup rambut kerintingnya.
"Ya,aku akui itu, tapi aku rasa serba salah dan berdosa kalau mungkiri janji aku sendiri dengan kau. Lebih baik aku tarik balik janji yang aku lafazkan dulu," ujar Falisha. Itu adalah lebih baik bagi mereka berdua.
Darwish mengalih pandangan ke luar kedai melalui dinding cermin. Satu lagi keluhan nipis keluar dari bibirnya.
"Habis tu kau nak kita buat apa? Isha, aku sayangkan kau Sha. Kenapa kau tak mahu pertahankan cinta kita. Setia dengan aku Sha, sampai kehidupan aku stabil dan aku akan balik ke sini untuk melamar kau. Berikan aku masa untuk tunaikan janji, hmm?" Kembali dia menoleh ke arah Falisha. Lemah suaranya menuturkan kata.
"Aku pun tak mahu benda tak elok jadi pada hubungan kita. Aku tetap sayang dan cintakan kau Darwish. Aku akan cuba untuk setia pada cinta kita. Cuma aku tak mahu kita bebankan diri kita dengan janji."
"Hurmm, aku tak fahamlah dengan kau Sha..." Tangannya sekali lagi naik melurut rambut sehingga ke belakang tengkuk. Dia mendongak memandang siling kedai.
"Maksud aku, kita bebas untuk berkawan dengan siapa sahaja. Kalau memang ada jodoh kita, kita tetap akan bersatu dengan izinNya." Dia akui dia sendiri tak mampu untuk berpisah lama dengan orang yang dia sayang. Harapannya semoga Darwish faham dengan tindakannya.
"Apa-apalah Isha. Aku tetap akan kembali dan tunaikan janji. Aku akan pastikan kau tetap jadi milik aku."
Darwish menyeluk poket seluar.
"Isha...," panggilnya perlahan. Dia bangun dari duduk lalu melangkah setapak di hadapan Falisha.
Sebentuk cincin dikeluarkan dari poket seluar. Jari Falisha dicapai. Cincin itu disarung ke jari manis Falisha. Cincin yang comel itu nampak cantik dan kena dengan jari pemakainya.
"Ini cincin tanda. Aku mahu kau tunggu aku kembali dan berjumpa keluarga kau. Kau pakailah. Kiranya jodoh antara kita tak kesampaian, cincin itu kau pulangkan kat aku balik."
"Darwish...," anak mata lelaki itu direnung dengan tubir matanya sendiri hampir menitiskan airmata.
"Terima kasih sebab sayangkan aku. Walaupun kita tak pernah tahu akan takdir kita, tapi aku akan cuba pertahankan cinta ini," ujar Falisha perlahan.
"Aku akan dapatkan restu dari keluarga aku dan keluarga kau. Aku percaya mereka tidak akan membantah dengan kehendak kita. Kau tunggu aku ya?"
Falisha mengangguk sambil melebarkan senyuman pada Darwish dan semerta dibalas dengan kenyitan mata oleh lelaki itu. Mereka berdua ketawa kecil. Jari-jari mereka bertaut erat.
Pintu kedai terbuka. Fazli melangkah masuk. Cepat-cepat masing-masing bertindak meleraikan pegangan tangan. Falisha menyembunyikan dua tangan di belakang badan. Sementara Darwish bergerak menjauhi Falisha.
Fazli hanya berlagak selamba. Dia sudah nampak sejak awal sebelum masuk ke dalam kedai. Di tangannya dia membimbit beberapa utas tali rafia yang kelihatan bersimpul.
"Assalamualaikum pakcik." Tangan kanan diangkat sedikit.
"Waalaikumusalam. Dah lama ke sampai? Pakcik tak perasan pulak kamu ada dekat sini." Anak mata Fazli mengerling Falisha.
"Dah lama jugak pakcik. Saja datang nak jumpa Isha kejap. Oh ye, sebenarnya saya dah nak balik Australia malam ni," beritahu Darwish.
"La iye ke. Rasa macam baru aje kamu balik bercuti, tup tup dah nak balik sana dah."
"Itulah. Tapi nak buat macam mana kena balik jugalah." Darwish ketawa kecil. Fazli juga ikut ketawa.
"Err pakcik. Saya nak minta izin..." Tengkuknya di usap perlahan.
"Nak minta izin untuk apa tu?" Soal Fazli semula. Tangannya ralit meleraikan tali rafia yang bersimpul.
"Nak minta izin kahwin dengan Isha," antara dengar dan tidak Darwish menuturkan.
"Ye, apa dia, cuba cakap kuat sikit," tegas Fazli sambil dekatkan tubuh pada Darwis.
"Err, nak minta izin bawa Isha keluar jalan-jalan kejap kat taman," kalut-kalut dia menjawab. Falisha ketawa sambil tutup mulut.
'Mujur bakal pak mentua tak berapa dengar tadi. Selamat aku,' bisik hati Darwish.
"Ohh.. ha ye lah. Pergilah. Tapi jangan lama-lama sangat dah nak gelap ni. Isha terus tutup kedai je ya. Ayah ada kerja lain nak buat." Fazli memberi keizinan.
"Baik ayah."
"Terima kasih pakcik. Saya minta maaf dengan pakcik kalau ada silap salah saya. Doakan saya selamat sampai ya." Darwish menghulurkan tangannya. Fazli menyambut dengan senyuman mesra.
"Kamu tak ada salah pun tak perlulah nak minta maaf. Pakcik doakan kamu selamat sampai sana. Sampaikan salam kami pada keluarga kamu di sana ya." Tangan kirinya menepuk-nepuk lembut bahu anak muda itu.
"In syaa Allah, pakcik," balas Darwis. Senyumannya melebar.
YOU ARE READING
Isha ✔
RomanceSinopsis SURAYA ketika usia remaja lapan belas tahun adalah seorang gadis yang agak liar. Berasal dari keluarga kelas pertengahan dari kalangan orang yang berada. Bapanya seorang yang tegas dan agak terkenal dalam komuniti setempat di taman tempat m...