🦋 35 - Jeffrizal

131 6 0
                                    





SUASANA di dalam dewan pameran agak riuh rendah dengan pengunjung. Beberapa buah booth milik pemaju hartanah, pemaju perumahan dan juga beberapa booth milik pengusaha-pengusaha yang terlibat secara lansung dan tidak lansung dalam perniagaan hartanah turut dipenuhi oleh orang ramai.

Sudah masuk hari ketiga, Falisha menjaga booth bunga-bungaan segar dan gubahan bunga artificial. Dia dipelawa oleh Razin yang menjadi salah seorang dari penaung pameran yang di adakan di sebuah hotel terkemuka di selatan tanahair.

Awalnya, Falisha menolak. Namun hasil paksaan dan pujukan Razin dan juga mendapat keizinan dari ayahnya, baharu dia setuju untuk turut serta.

Falisha sedang leka mengemas kawasan booth yang comel dan dipenuhi bunga segar di bahagian depan. Di sini dia dibantu oleh Jeff yang ditugaskan untuk menemani Falisha sepanjang pameran berlansung. Fazli yang mahu Jeff membantu sambil mengawasi Falisha.

"Hai Isha."

Falisha menegakkan kepala. Sudah dia tahu tuan punya suara. Siapa lagi kalau bukan Razin Carlos. Jejaka kacak idaman para gadis. Perlahan dia menuju ke depan boothnya.

Mata Falisha beralih dari wajah Razin ke arah seorang wanita tinggi lampai yang berdiri di sebelah Razin. Kelihatan sangat bergaya dan elegen. Wanita itu memakai kemeja dari kain satin kosong polos dipadan dengan blazer berwarna gelap dan berseluar palazo yang agak besar dan singkat separas buku lali. Sebuah beg tangan berjenama mewah digalas dilengan.

Yang jelas wanita itu nampak sedikit berusia tetapi sangat cantik. Kulitnya licin cerah dengan fesyen rambut sedikit ikal dan dipotong pendek separas tengkuk.

"Isha, kenalkan ini mummy saya Datuk Roseta Carlos. Top Director, Roseta Carlos Internal Home Decor," suara Razin memecahkan suasana yang bagai jeda seketika.

"Mummy, ini Falisha salah seorang rakan niaga kita. Pemilik kedai bunga Sweet Isha Florals." Wanita itu lantas menghulurkan tangan. Segera disambut oleh Falisha.

Datuk Roseta memandang Falisha dengan senyuman.

"Selamat berkenalan Datuk, saya Falisha Fazli." Dia kenalkan dirinya. Senyuman kekal dibibir.

"Ya selamat berkenalan juga," balas wanita anggun itu mesra. Mata Datuk Roseta tidak lepas dari merenung Falisha.

Gadis dihadapannya ini boleh tahan cantik. Wajahnya mulus dan mempunyai alis mata lentik dan tebal. Agak ringkas penampilannya dengan dress labuh separas lutut diganding dengan seluar denim slim cut. Kakinya pula tersarung kasut Converse berwarna pink.

"Razin, mummy tak boleh lama di sini. Tolong temankan mummy ke bilik meeting ya?"

Datuk Roseta menoleh ke arah Falisha.

"Cik Falisha, saya minta maaf ya. Saya tak boleh lama. Ada meeting. Mungkin Razin boleh aturkan sesi makan tengahari untuk kita makan bersama jika ada kesempatan."

Wanita anggun itu berbicara penuh karisma. Sangat menjaga ketrampilannya sebagai seorang ahli perniagaan yang terkenal.

"Baik Datuk. In syaa Allah."

Datuk Roseta tersenyum manis menatap wajah Falisha.

"Okay, Isha. Saya pergi dulu. Anything awak boleh call atau send WhatsApp pada saya."

"Baik Encik Razin."

"Hey, berapa kali nak bagitahu, tak payah nak ber'Encik' sangat! Panggil je nama saya, Razin. Tak susahkan?" Razin mengenyit mata.

"Err aa ye, baiklah!" Serba salah pula apabila Razin kenyit mata padanya.

Datuk Roseta yang masih berdiri di situ ditoleh. Wanita itu sedang membelek sebuah pasu yang sudah siap digubah. Lansung tidak menyedari akan ulah anaknya di sebelah.

"Okay nanti petang tunggu saya di sini. Saya akan hantarkan awak balik ke hotel. Tunggu tau!"

"Ye, saya tunggu. Jangan risau."

Razin mengundur lalu bergerak meninggalkan booth. Falisha mengekori langkah Datuk Roseta yang sudah melangkah dua tiga tapak di hadapan.

"Tak lepas pandang nampak?"

Tiba-tiba satu suara lain berbisik ditepi telinga Falisha.

Falisha sedikit melompat akibat terkejut.

"Haish abang Jeff ni. Terkejut saya tahu. Ni dari mana ni? Tak lekat kat booth. Merayap jer kerjanya."

"Alah bukan abang pergi mana pun. Abang pergi beli ini tadi."

Sebuah beg kertas ditayang depan Falisha. Sengaja dibuai-buainya beg kertas yang entah berisi apa itu, sehingga anak mata gadis itu ikut bergerak sama.

"Apa ni?" Falisha terhidu aroma yang membuatkan perutnya mula bergetar.

"Makanan la."

Jeff atau nama sebenarnya Jeffrizal meletakkan bungkusan di atas meja bulat di sudut belakang booth.

"Alaa abang Jeff, kenapa tak bagitahu saya nak beli makanan. Saya nak kirim juga." Rungut Falisha tidak puas hati. Sudahlah perutnya sudah mula mengaktifkan gendang perang akibat kelaparan.

"Meh duduk sini, abang ada beli banyak ni ha. Kita makan sama-sama. Hari ini abang belanja Isha." Keningnya di gerak-gerakkan dengan sambil tersengih menampakkan baris gigi yang teratur dan putih bersih.

"Yeay, bahagianya ada orang belanja makan. Thank you abang Jeff."

Cepat-cepat Falisha melabuhkan punggung dikerusi yang tersedia di sebelah Jeffrizal.

"Sorry tak ada pinggan." Jeffrizal menghembus dua tapak tangannya.

"Ehh apa abang ni. Selekeh lah!"

"Ada abang kisah. Orang dah lapar ni. Jom makan sekarang." Seketul ayam sebesar setengah tapak tangan dikeluarkan dari dalam beg kertas.

"Ini untuk Isha." Sehelai tisu dari dalam kotak tisu ditarik keluar dan dihamparkan atas lantai meja. Ayam tadi di letak atas kertas tisu.

Seketul lagi dikeluarkan.

"Yang ini untuk abang Jeff." Seketul paha ayam di pegang kejap. Tanpa isyarat, paha ayam itu di gigit dengan penuh selera. Dinding pipi lelaki itu bergerak-gerak mengikut rentak kunyahan.

"Mana abang beli ayam goreng ni. Sedaplah. Lagi sedap dari ayam KFC." Daging ayam digigit rakus. Dua jari kiri dan kanan diguna untuk memegang ketulan ayam goreng itu.

"Dekat luar dewan pameran ini ada banyak gerai jualan makanan dan minuman. Sejak dari awal lagi abang memang beli makanan dekat situ."

"Kenapa saya tak tahu? Abang tak cakap pun dengan saya."

"Ye lah. Macam mana nak bawa Isha pergi makan dekat gerai. Tiap-tiap hari mamat hensem tu bawak Isha keluar makan dekat restoren mewah." Sindirnya tanpa melihat gadis didepan. Buat-buat sibuk menikmati paha ayam gorengnya.

Falisha berhenti mengunyah daging ayam.

"Habis dah dia selalu datang sini, nak buat macam mana. Lepas tu ajak makan. Buat apa nak tolak. Nak harap abang Jeff tu, kejap ada kejap takde dekat booth."

"Abang ada je. Isha tu je yang tak nampak abang. Maklumlah abangkan tak sehensem Encik Razin. Dah la kacak bergaya, kaya pulak tu."

Riak wajah Jeffrizal tidak menunjukkan dia cemburu. Malahan lelaki itu sempat ketawa.

"Ha laahh abang ni. Takkan cemburu dengan Razin kut," giat Falisha.

"Sorry naik lorry, abang Jeffrizal tak main la nak cemburu. Banding Encik Razin dengan abang Jeffrizal bagai langit dengan bumi. Abang lagi empat belas ribu kali lagi hensem dari mamat tu, okay!"

Falisha tidak jadi meneruskan kunyahan. Matanya dijulingkan keatas.

Isha ✔Where stories live. Discover now