Kegelapan merupakan syurga bagi seorang penghidap nyctophilia. Melapangkan atma yang berselirat dengan seribu duka. Hanya senandika yang merdu berdenyut di setiap aliran darah. Berbisik sendiri tiada siapa yang tahu kecuali Yang Esa. Mungkin ada sesetengah manusia bencikan akan kegelapan kerana tiada satu warna yang mampu diserakkan melaluinya. Tetapi, tidak bagi aku.
Aku sukakan warna hitam dan segala perkara berkaitan gelap dan sunyi. Mungkin bagi aku, tempat sebegitu merupakan tempat yang paling selamat untuk aku bernafas. Mencari bumantara yang sesuai dengan jiwa wanitaku. Hitam dan gelap diibaratkan asmaraloka yang menarik aku hanyut bersama mereka.
Aku, seorang petualang ini tidak mungkin akan lelah berkelana. Mendaki ancala sehingga mencecah mega, merenung bimasakti yang bergantungan pada kaki jumantara, kirana bintang membuatkan aku terbuai seketika. Renjana ini, terlalu kuat untuk semua itu. Tidak mampu dinukilkan menjadi aksara yang tersusun rapi. Diberikan sahmura sekali pun, aku tidak mampu menyusun bait-bait menjadi satu luahan atma. Perasaan ini, bagaikan niskala. Hanya insan yang dilahirkan sebagai sujana layak melukiskan semua itu dalam kanvas mereka.
Thailand.
Kota yang penuh warna-warni dan terserlah dengan budaya mereka tersendiri. Namun tiapa siapa yang tahu... di sebalik gahnya, ada hitam dan gelapnya tersendiri.
Terpacak di sini, aku selesa memeluk tubuh dan memerhatikan lampu-lampu yang datangnya dari bangunan-bangunan di sini. Sesekali angin malam mencuit uraian rambutku jatuh menutup dahi. Alahai, nakalnya kamu wahai bayu!
"Ceritakan kepada abang, apa yang tee rak nampak."
Suara garau yang berada di belakangku memecahkan monologku yang berlagu di sukma. Menarik tangannya kejap ke perutku, tangan kasarnya aku tindihkan dengan tanganku sendiri. Anak mata mula melinggas memerhati keadaan kesibukan kota Chiang Mai di malam hari melalui beranda rumah kami. Nampaknya, candra bersinar elok pada malam ini.
"Bangunan bank tu, hari ni gelap je. Mungkin lampu mereka rosak. Banyak kereta berbaris dekat seberang jalan sana. Macam biasa, mereka suka parkir kenderaan tak ikut petak letak kereta yang disediakan. Ramai orang yang membanjiri kawasan street market. Ada juga kanak-kanak yang tersenyum bahagia sambil pegang belon gambar gajah. Langit malam bercahaya cantik. Malam ni bulan cerah dan banyak bintang. Tak ada tanda-tanda nak hujan," ceritaku sambil anak mata tunak menandang langit yang diselimuti dengan cakerawala nan indah.
"Makcik yang bawa beca tu, dia ada lagi tak hari ni?" soalnya lagi seraya menyangkutkan dagunya ke atas bahuku. Bibirnya mengucup pipiku sekilas.
"Ada, ramai yang beli Som Tam dia hari ni. Alhamdulillah rezeki dia..."
"Alhamdulillah..." Seperti aku, dia juga turut memanjat rasa syukur kepada Illahi.
"How's baby? Aktif tak dia hari ni?" Tangan kasar itu mengelus perutku yang membukit di sebalik sweatshirt.
"Alhamdulillah, baby aktif je dalam perut ni. Dia rindukan papa dia tu. Lama tak bacakan doa Rabithah," ucapku seraya tersenyum bahagia. Mujurlah kandungan kedua ini aku tidak mengalami morning sickness yang teruk.
Sesaat, deraian tawanya menjadi simfoni menyerkup suasana.
"Minggu depan dah raya, balik Malaysia nak?" soalnya apabila tawa beransur reda. Mengejapkan pelukan, aku tahu dia tidak mahu aku terkesan dengan soalan itu. Hakikatnya, soalan itulah yang bakal menggerodak atmaku ini.
Apabila soalan itu menerpa pendengaran, aku mula memejamkan mata sejenak. Automatik puing-puing memori lama menghentam ruang ingatan. Deras dan memeritkan.
"Semua orang tunggu kita balik kampung. Mereka selalu tanyakan kepada abang tentang tee rak." Suara garau itu berlagu lagi. Tiada bau-bau mahu mengalah seperti selalu.
Orang yang dahulunya terlalu membencikan aku menunggu aku untuk pulang ke kampung?
Patutkah aku berasa gembira?
Patutkan aku melompat bintang sehingga mencecah mega?
Wajarkah aku menari indah di bawah rintikan hujan yang menenangkan?
"Nantilah, saya fikirkan semula ya. Jom masuk. Saya rasa mengantuk dah ni." Memaut kemas tangan kasarnya, pintu gelangsar dibuka dan kami berdua memboloskan diri ke dalam bilik tidur kami. Seketika, keadaan antara kami mula berjeda.
"Tak apa, kalau tee rak tak bersedia nak balik Malaysia, abang takkan paksa..."
Aku tersenyum kecil apabila suara itu menyapa kokleaku kembali. Seperti biasa, dia tidak pernah memaksa aku membuat perkara yang aku tidak suka.
Menghadapnya, airpod sudah pun diselitkan ke telinganya dan juga telingaku. Dengan cahaya bangunan pencakar langit di sebalik pintu gelangsar yang memisahkan ruang balkoni dan kamar kami, wajah tampannya jelas kelihatan dalam bingkai pandangan. Sambil berpelukan, kami selesa membisu dan membiarkan lagu dari corong airpod mendominasi suasana. Lagu kegemaranku dan dia yang bertajuk Run to You nyanyian Lee Michele mula menyusup lembut koklea kami.
"Again?" soal dia seraya melabuhkan ciuman ke pelipisku.
Tidak membalas, aku terus sahaja membenamkan wajah ke dadanya. Rasa malu menempel bertubi-tubi pada wajah.
Pada malam itu, kami hanyut dan terus hanyut. Mahu menenggelamkan diri bersama-sama ke dalam memori yang ada hitam dan putihnya.
Semoga kisah ini mampu dihayati oleh kalian yang membaca hikayat ini...
YOU ARE READING
Darkest Moment (TERBIT)
Mystery / ThrillerKHEN THANAWAT@AHMAD ZAHEEN | RATNA ANGGUN Terbitan : Fajar Pakeer Nukilan kehidupan manusia tidak semuanya tercoret indah. Adakalanya, ada garis hitam yang terconteng membuatkan dirinya larut dalam sunyi. Lontaran kata-lata nista sudah sebati dengan...