"Along royak doh key ko sek mung mulo. Tino tu meme bowok bala daley keluarga kito. Tapi sek mung degil. Pah loni dio tinggal pulok budok ni ko kito, suruh kito jago. Aish, nyusoh la!" (Dari dulu along dah cakap dah dengan kau orang, perempuan tu memang bawa sial dalam keluarga kita. Tapi, kau orang degil. Sekarang ni, dia tinggalkan pula budak ni untuk kita jaga. Hesy, menyusahkan betul!)
Suara Zaiton iaitu kakak sulung Zahari kedengaran kuat di segenap ruang wad yang diduduki Anggun. Tidak senang duduk dia dibuatnya apabila melihat anak saudaranya itu tidak sedarkan diri sejak tadi.
"Abang Zahari dan Kak Roha dah takde dah, kak. Akak janganlah cakap macam tu..." Zaleha yang merupakan adik bongsu Zahari, mula memberi nasihat. Dalam masa yang sama, rasa kasihannya tumpah buat Anggun yang terbaring lesu di atas katil hospital itu dengan keadaan mata dan beberapa bahagian tubuh yang berbalut.
Adik-beradik Zahari yang lain, hanya tungkap. Tidak berminat untuk mencampuri ketegangan yang berlaku pada ketika ini.
Baru sahaja tadi mereka adik-beradik menguruskan pengebumian arwah Zahari dan Rohana. Disebabkan Rohana hidup sebatang kara, mahu tak mahu terpaksalah mereka uruskan sekali jenazah kakak ipar mereka sedangkan hati mereka tidak ikhlas melakukan semua itu.
"Dok eh, loni budok ni boto, mung pehe dok? So hal pulok keno nok keno jago budok ni kekgi. Malah baso aku! Sek mung nok jaga ko? (Sekarang ni, budak ni dah buta kau tahu tak? Lagi satu hal kalau aku yang kena jaga budak ni nanti. Tak ingin aku nak jaga. Kau orang, nak jaga ke?)
Tidak menjawab, tidak mengeyakan. Semuanya masih dalam keadaan membisu.
"Kelih muko pun aku tau doh. Mung tak soh duk nawok la." (Tengok muka je pun aku dah tahulah! Tak payah nak berdalih.) Duduk memeluk tubuh di kerusi, terjuih-juih bibir Zaiton memandang satu demi satu adik-beradiknya. Ada empat orang semuanya. Masing-masing sudah berkahwin.
"Alang pun ada anak, along. Macam mana nak jaga anak Abang Zahari tu. Along kenalah faham. Bukan Zul tak nak..." Giliran Zul iaitu adik pertama Zahari masuk mencelah.
"Zack pun sama, along. Along tahu kan Mira tu jenis macam mana. Mira tak boleh terima kalau Anggun duduk dengan kami..." Zakaria selaku adik kedua Zahari, turut sama mencipta alasan.
"Mung kelik, semo pakat wak alasan. Royak je la sek mung tak se pero budak cacat ni!" (Tengok, masing-masing dah siap dengan alasan. Cakap jelah yang kau orang berdua tak suka bela budak cacat!) Zaiton menyembur laju.
"Along, sudahlah tu..." Sekali lagi, Zaleha menasihati kakaknya supaya tidak bercakap sembarangan. "Sebenarnya, Kak Roha pernah cakap dengan Leha dulu. Andai kata kalau ada apa-apa jadi, dia minta Leha jagakan Anggun. Kak Roha dah wasiatkan dah hak penjagaan anak tu kepada Leha dulu..." Rendah sahaja suara Zaleha menutur kata.
Sungguh dia tidak sangka gurauan kakak iparnya ingin membuat wasiat suatu masa dahulu, kini menjadi kenyataan. Apabila melihat segala kemelut yang melanda pada ketika ini, keputusan memilih dirinya sebagai penjaga Anggun merupakan keputusan yang sangat tepat. Sejujurnya, dia berasa sebal mengenangkan bicara yang menghunjam pendengarannya sejak tadi. Seolah-olah, keluarga abangnya itu menjadi beban buat adik-beradiknya.
Zaleha sudah maklum sebenarnya apa puncanya adik-beradiknya membenci kakak iparnya itu. Disebabkan tidak mendapat restu dari kakak sulung mereka untuk berkahwin dengan Rohana, abangnya telah mengambil keputusan untuk menikahi kakak iparnya itu di Thailand. Tindakan Zahari yang membelakangkan keluarga itu, telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan adik-beradiknya. Tambahan pula, Rohana itu hidup dalam keadaan sebatang kara. Tidak diketahui dari mana asal-usulnya secara jelas.
"Bakpo dok royak awal-awal? Aish, sakit palo otak sek aku mikir," (Kenapa kau tak cakap awal-awal dengan aku? Hesy, pening kepala otak kita orang ni berfikir) selar Zaiton seraya memandang wajah adik bongsunya itu dengan mata yang sedikit terjegil.
YOU ARE READING
Darkest Moment (TERBIT)
Mystery / ThrillerKHEN THANAWAT@AHMAD ZAHEEN | RATNA ANGGUN Terbitan : Fajar Pakeer Nukilan kehidupan manusia tidak semuanya tercoret indah. Adakalanya, ada garis hitam yang terconteng membuatkan dirinya larut dalam sunyi. Lontaran kata-lata nista sudah sebati dengan...