BAB 8

293 27 0
                                    

"MANA Si Amani ni Leha oi? Beli barang ke buat barang?" soal Zaiton seraya menyeka peluh di wajah.

Membakar ayam di waktu matahari tegak di atas kepala ini sungguh mendera jiwa dan raganya. Panas berdenting! Meskipun sudah memakai Rexona, dia masih tidak mampu mengawal peluhnya yang berjejeran di bawah lengan. Tunggu tadah baldi sahaja ni.

"Itulah... Leha pun pelik juga tu, long. Entah kenapalah tak balik-balik lagi si budak berdua tu." Puan Zaleha berdiri di juring pintu dapur. Kepalanya terjenguk-jenguk ke luar pintu mahu melihat bayangan kereta Myvi milik anak bongsunya masuk ke pekarangan rumah. Sudahlah dia mahu menanak nasi kerabu untuk kenduri doa selamat yang akan diadakan pada malam ini.

Sewaktu berbelanja barang dapur semalam, dia terlupa mahu membeli air mawar sekali. Ingatkan boleh mengharapkan anaknya itu membeli barang tersebut dengan segera di kedai runcit berdekatan, Ini sudah satu jam masih tidak nampak lagi bayang anak bertuahnya itu. Seperti Zaiton, dia juga tertanya-tanya.

Adakah Amani membeli air mawar ataupun memproses mawar untuk dijadikan air? Hesy, pening Abang Jamil dibuatnya!

"Panjang umur anak kau Leha! Muncul dah dia. Mari ah cepak, Amani oi."

Laungan Zaiton dari luar rumah membuatkan hati Puan Zaleha sedikit lega. Apabila melihat wajah anak bongsunya itu menyeringai semacam, tangannya terus naik mencekak pinggang di dapur.

"Kamu ni beli air mawar ke buat air mawar, Amani oi? Berjanggut dah ma tunggu ni," omel Puan Zaleha dengan mata yang sedikit terjegil.

Meletakkan plastik berisi barangan ke atas meja makan, Amani terus menghampiri emaknya. Menundukkan wajah sedikit dengan mata tidak lepas merenung wajah Puan Zaleha yang berkeringat halus itu, kerutan halus mula menghiasi dahi luas Amani.

"Kamu ni dah kenapa buang tebiat pandang ma dekat-dekat macam ni?" soal Puan Zaleha hairan.

"Tak adalah. Tadi ma kata berjanggut tunggu Amani. Itulah Amani nak tengok mana janggutnya. Kot janggut halimunan ke kan." seloroh Amani.

Pap!

"Adoi ma, sakitlah!" Amani mengaduh kesakitan apabila punggungnya dipukul oleh Puan Zaleha. Malu!

"Mana Anggun?" Puan Zaleha menyoal sambil menuangkan air mawar ke dalam rendaman air bunga telang. Air tersebut akan dimasak bersama beras untuk dijadikan nasi kerabu.

"Amani dah hantar dia balik tadi, ma."

"Alahai, kenapa tak bawa je dia datang sini?" soal Puan Zaleha sedikit resah.

"Macam biasa, ma..." Perlahan suara Amani menutur kata. Bukan kali ini sahaja. Setiap kali keluarganya membuat majlis keramaian, pasti sepupunya itu tidak akan memunculkan diri dan duduk terperap sahaja di rumahnya.

"Hari ni kan ada buat majlis tahlil untuk mak dan ayah Anggun. Mesti dia teringin nak datang tu..." Puan Zaleha mati kata. Tiada kudrat untuk meneruskan kata-katanya. Dia tahu Anggun melakukan semua ini kerana tidak mahu menimbulkan kekecohan di majlis pada malam ini.

Tetapi persoalannya, sampai bila anak saudaranya perlu menyembunyikan diri sebegini? Setiap kali keluarga mereka berkumpul waima hari raya sekalipun, Anggun pasti tidak dapat turut serta menyertai mereka semua.

Seperti emaknya, Amani juga tidak berani mahu mengatakan apa-apa. Dia tahu, kesemua pakcik dan makciknya tidak suka akan kehadiran Anggun. Daripada Anggun disakiti oleh kata-kata pedas bapa dan ibu saudaranya itu, dia lebih sanggup melihat Anggun duduk terperap di rumah sahaja.

Hati sepupunya itu sangat lembut. Dia mengenali Anggun sejak kecil lagi. Walaupun usia Anggun tua dua tahun daripadanya, dia selesa bergaul dengan sepupunya itu. Tidak diletakkan jurang umur dalam hubungan mereka.

Darkest Moment (TERBIT)Where stories live. Discover now