Duduk berjuntai di birai kolam renang, anak mata naik memanjat hamparan langit kelam yang disinari butiran bintang dan bulan. Angin malam berpuput sepoi-sepoi bahasa. Helaian rambut yang tadinya basah, kini sudah kering.
Melihat Khen yang bersandar di dinding kolam, Anurak pantas menyelitkan sebatang rokok pada bibir majikannya lalu menyalakan api. Berdiri tegak semula di pinggir kolam, Anurak kembali menjalankan tugasnya.
Rutin dirinya apabila selesai sahaja tugas mencabut nyawa mangsa, Khen pasti akan merendamkan diri di dalam kolam renang. Membebaskan fikiran dan memujuk diri bahawa setiap perilakunya merentap nyawa manusia itu adalah wajar dan tidak salah sedikit pun.
Rokok disedut dalam-dalam lalu dihembus perlahan. Setiap sedutan dan hembusan membuatkan dadanya berasa lapang. Asap rokok yang bertemperas ke udara ditenung tidak lepas.
"Anurak, pernah tak kau terfikir nak cuci tangan dari kerja kau sekarang?" soal Khen kepada pembantu peribadinya.
Anurak berdeham sedikit. Tidak sangka bahawa majikannya akan menanyakan soalan sebegitu.
"Buat masa ni aku nak terus berkhidmat, tuan. Tuan dan Dragon dah banyak bantu aku. Aku takkan pergi selagi tak balas budi tuan." Penuh yakin Anurak menutur kata.
Khen tergelak kecil tatkala jawapan itu menampan pendengarannya. Mengiringkan wajah ke sisi, sisi wajah Anurak mula menjadi bingkai pandangannya.
"Kalau suatu hari nanti kau nak berhenti kerja, aku izinkan. Tapi, buat masa ni kerjalah dengan aku. Aku tak percayakan ahli Dragon yang lain kecuali kau, Anurak."
Bayangan peristiwa pada malam dia bertemu dengan Anurak di lorong kedai kini menjengah fikiran. Bertumbuk dengan ceti haram kerana tidak membayar hutang seperti yang dijanjikan. Disebabkan melihat tubuh tegap dan kemahiran berlawan Anurak, Khen sanggup melangsaikan segala hutang yang bernilai berbilion baht dan membawa Anurak berkerja dengan Dragon.
Anurak hanya mampu menunduk seraya tersenyum nipis. Terharu hati kecilnya apabila bait-bait bicara itu meniti dari bibir Khen. Walaupun Khen itu ketuanya, lelaki itu agak berat untuk memuji atau mengucapkan sesuatu seperti itu. Bukan dia sahaja, waima mana-mana ahli Dragon sekalipun. Seperti mendapat rahmat Tuhan apabila kata-kata mahal itu menjadi halwa telinga.
"Mak kau sihat, Anurak?"
"Sihat, tuan. Aku dah gunakan dah duit tuan bagi tu untuk pembedahan jantung dia. Esok lusa dia dah boleh keluar hospital."
Disebabkan bantuan Khen, Anurak mampu membayar kos pembedahan jantung ibunya. Dek perlu menanggung beban hutang yang banyak, Anurak terpaksa menangguhkan pembedahan jantung ibunya sebelum ini.
Pertemuan dia dan Khen, merupakan satu takdir yang indah bagi dirinya. Segala hutang-piutang dan beban yang ditanggung, terasa ringan kerana majikannya itu tidak lokek untuk menghulurkan wang. Jika tidak, pasti pada hari ini dia hanya mampu meratap sahaja kematian ibunya di tepi pusara.
Sejak bapanya melarikan diri, Anurak dan emaknya yang perlu menanggung segala beban. Hampir saban hari rumah mereka sentiasa didatangi oleh kehadiran ceti haram yang menagih hutang. Jika tidak menghulurkan wang, pasti barang-barang di dalam rumah akan menjadi mangsa hentaman mereka. Jika tidak bernasib baik, Anurak dan ibunya juga dipukul tanpa belas kasihan.
"Baliklah berehat. Waktu kerja kau dah lama tamat. Aku lama lagi ni nak berendam dalam kolam ni," arah Khen.
Tatkala dersik angin terasa sejuk menggigit kulit, Anurak pantas mencapai bathrobe dan tuala mandi lalu meletakkannya berhampiran kolam. Menunduk hormat, dia mula meminta izin untuk pulang berehat.
YOU ARE READING
Darkest Moment (TERBIT)
Mystery / ThrillerKHEN THANAWAT@AHMAD ZAHEEN | RATNA ANGGUN Terbitan : Fajar Pakeer Nukilan kehidupan manusia tidak semuanya tercoret indah. Adakalanya, ada garis hitam yang terconteng membuatkan dirinya larut dalam sunyi. Lontaran kata-lata nista sudah sebati dengan...