BAB 14

274 21 0
                                    

TUAN Razlan menghempas fail tepat-tepat ke atas meja yang diduduki oleh ASP Haiman. Rahangnya terkacip-kacip menahan amarah yang menggelegak di dada.Wajah ASP Haiman yang nihil dengan emosi itu, membuatkan darahnya semakin mendidih.

"Apa semua ni? Kau sedar tak tindakan kau ni berbahaya? Sekarang ni, Zakwan dah meninggal disebabkan kebodohan kau. Apa yang aku nak jawab dengan pihak atasan?"

ASP Haiman hanya diam membisu. Hanya membiarkan sahaja dirinya dimarahi.

"Aku dah cakap, jangan usik fail tu. Jangan usik fail tu!"

Bum!

Bergegar meja tersebut ditumbuk oleh Tuan Razlan. Anak matanya mencerun hebat ke wajah pegawai polis di hadapannya itu.

"Anak mangsa sendiri yang datang ke balai merayu supaya kes disiasat semula. Takkan..."

Buk!

Kata-kata yang mahu meluncur keluar dari bibirnya terhenti apabila tiba-tiba sahaja Tuan Razlan menarik rambutnya lalu menghentakkan mukanya ke meja dengan kuat.

"Kau jangan nak berlagak hebat boleh tak? Sekarang ni, bukan kau seorang sahaja pegawai polis. Ramai lagi dekat sini yang menjawat jawatan sama macam kau. Tapi, bila aku cakap sekali mereka dengar. Tak macam kau. Kepala batu!" jerkah Tuan Razlan tepat-tepat di telinga pegawai polis bawahannya itu.

"Lain kali, kalau kau nak kerja sini, kau kena dengar cakap aku. Faham tak? Dasar tak sedar diri! Kau ingat, kau dah pegang jawatan tinggi dekat sini, kau boleh tunjuk hebat?" Tawa sinis dimuntahkan oleh Tuan Razlan buat pendengaran ASP Haiman. Jarinya menunjal-nunjal kasar kepala pegawai polis itu. Bibir tidak henti-henti menyumpah saranah.

Jari Tuan Razlan yang menunjal kepalanya, lantas dipegang kemas. Anak mata ASP Haiman, kini menentang keras wajah ketuanya itu. Rahang terkacip-kacip menahan amarah. Urat leher terasa menegang.

Tuan Razlan tergemap apabila ASP Haiman berani memperlakukan dirinya begitu.

Bangkit dari duduk, tangan ASP Haiman lantas dinaikkan pada bahu baju. Segala lencana paku yang tersemat di sisi uniform polisnya, ditanggalkan satu persatu. Tidak lupa juga, topi yang dipakainya diletakkan bersama di atas meja ketuanya itu.

"Saya lebih rela dilucutkan jawatan daripada terus menjadi pegawai polis yang mementingkan diri sendiri. Keselamatan orang awam, tanggungjawab saya juga. Bila tuan mengambil keputusan untuk membutakan mata dan mentulikan telinga apabila ahli keluarga mangsa meminta tolong... maaf, saya tak boleh terima sikap tuan yang begini. Saya akan hantar surat perletakan jawatan nanti." Sebaik sahaja menuturkan kata-kata itu, langkah terus diorak keluar dari pejabat ketuanya itu.

Dia sudah tidak mampu bertahan lagi. Cukuplah sampai di sini. Dia tidak mahu membiarkan diri bekerja dalam situasi toksik sebegitu.

Semua anggota polis yang sedang melakukan tugas di meja masing-masing, hanya memerhatikan kejadian yang berlaku dengan mulut yang terpelongo. Tidak berani mahu membuka mulut bertanya apa-apa setelah mendengar pertelingkahan yang berlaku.

Selama ini, tiada siapa yang berani menentang Tuan Razlan sedangkan sudah jelas lelaki itu tidak menghormati diri mereka. Walaupun mereka tidak mempunyai jawatan yang tinggi, itu bukan satu tiket untuk dilayan seperti sampah.

Tuan Razlan naik berang. Habis semua fail dan kertas siasatan di atas meja kerjanya diselerakkan lalu dicampak ke lantai. Dengan kedua-dua belah tangan mencengkam permukaan meja, dadanya berombak kasar menahan amukan yang menggila.

Darkest Moment (TERBIT)Where stories live. Discover now