Rantau Panjang, Kelantan.
2001
Mendudukkan tubuh genit itu di atas kerusi, sikat yang berada di atas meja solek kini dicapai. Penuh kelembutan, rambut ikal mayang milik puterinya itu disikat dengan mata yang bersinar. Anak mata tunak merenung wajah kudus buah hati pengarang jantungnya itu.
"Ibu, hari ni ayah balik tak?"
"Balik, sayang."
"Yeah, ayah balik. Yeah!" Gadis kecil yang berusia enam tahun itu, bersorak suka. Disebabkan ayahnya selalu bekerja dan jarang sekali berada di rumah, dia jarang berpeluang meluangkan masa bersama hero hatinya itu.
"Ayah bawa balik hadiah untuk Anggun, tak?" Berkemilau anak matanya merenung raut wajah si ibu.
"Mestilah ada. Kan ayah dah janji nak belikan patung barbie untuk Anggun." Setelah siap Rohana mengikat ekor kuda rambut Anggun, pipi gebu itu lantas dicuit. Terburai tawa si kecil itu apabila diperlakukan sebegitu.
"Tapi... ayah tak tipu kan? Dulu, ayah pernah cakap nak belikan hadiah untuk Anggun. Tapi, ayah tipu..." Anggun menggeleweh bibir. Pandangan mula rebah ke lantai. Merenung jari kaki sendiri.
"Anggun... pandang ibu, sayang." Dagu Anggun, Rohana tolak lembut dengan ibu jari. Automatik, sepasang nayanika milik puterinya itu menjadi penghias bingkai pandangan.
"Ayah bukan tipu, Anggun. Cuma... ayah sibuk kerja, sayang. Kadang, ayah tak dapat balik. Anggun kena faham, ayah cari duit untuk kita," pujuk Rohana, lembut.
"Ayah orang lain kerja jugak. Tapi ayah dia orang ada je dekat rumah. Selalu ayah dia orang bawa pergi jalan-jalan. Pergi zoo, pergi makan dekat luar, macam-macam lagi." Petah mulut Anggun bercerita. Namun, sepasang matanya masih beriak sedih seperti tadi.
Rohana tungkap seketika. Tidak tahu bagaimana mahu mencari modal untuk membujuk Anggun. Sedikit-sebanyak, apa yang dikatakan oleh anaknya itu ada benarnya jua.
Sejak suaminya itu bekerja di Thailand, suaminya jarang sekali dapat meluangkan masa bersama keluarga di rumah. Tidak seperti dahulu.
Pernah juga mereka suami isteri bertikam lidah disebabkan masalah ini. Memikirkan dapur tidak berasap jika tiada duit yang dihulurkan oleh Zahari, Rohana hanya mampu pejam mata sahaja. Sudah tiada kudrat untuk menyoal apa-apa lagi.
Tipulah jika tiada lompong di hati Rohana tatkala Zahari jarang meluangkan masa bersama keluarga mereka. Dia juga seorang isteri. Mahu diberi perhatian dan kasih sayang daripada suami. Dek memikirkan keringat Zahari berhempas-pulas mencari nafkah buat keluarga, dia hanya mampu menjeruk perasaan sendiri.
Hanya Ratna Anggun, tempat untuk dia mencurahkan kasih sayang. Satu-satunya harta kepunyaan dia dan Zahari ada.
Bunyi hon kereta yang kedengaran dari luar rumah membuatkan lamunan Rohana putus serta-merta. Anggun pula, terus sahaja terjun dari kerusi. Langkah kakinya diatur deras ke juring pintu rumah. Anak mata mula tertinjau-tinjau mahu mencari susuk tubuh ayah yang sudah lama tidak berjumpa.
"Ayah!" Anggun menjerit kegirangan apabila melihat raut wajah ayahnya. Bola matanya berkemilau indah lagi-lagi melihat sebuah kotak mainan yang berisi patung Barbie di dalamnya.
Tidak sempat menyauk selipar, Anggun lantas mengatur langkah panjang-panjang ke halaman rumah. Terus tubuh kekar itu dipeluk seerat mungkin. Mahu melampiaskan rasa rindu yang menggebu dalam jiwa.
"Anak ayah ni, dah mandi ke belum ni? Bucuk ni..." usik Zahari tatkala tubuh Anggun terhenyak dalam pelukannya.
"Ayah tak baik tau cakap Anggun busuk! Anggun dah mandi wangi-wangi tau tadi. Baju pun, lawa lagi," protes Anggun seraya memeluk tubuh. Wajah bercemberut hebat apabila diusik sebegitu rupa oleh ayahnya.
YOU ARE READING
Darkest Moment (TERBIT)
Misterio / SuspensoKHEN THANAWAT@AHMAD ZAHEEN | RATNA ANGGUN Terbitan : Fajar Pakeer Nukilan kehidupan manusia tidak semuanya tercoret indah. Adakalanya, ada garis hitam yang terconteng membuatkan dirinya larut dalam sunyi. Lontaran kata-lata nista sudah sebati dengan...