ANURAK tidak senang duduk. Sejak tadi dia mundar-mandir di dalam pejabat Khen sambil tangan sibuk menekan telefon.
Sejak semalam dia menghubungi telefon majikannya, malangnya tidak berangkat. Mahu memastikan Khen telah selamat tiba di Lampang. Anurak turut menelefon beberapa ahli Dragon yang mengiringi Khen semalam. Sama juga, hanya suara operator telefon yang menyambut panggilan.
Meraup wajah, Anurak cuba menjejaki lokasi telefon Khen menggunakan location tracker. Dia sendiri yang memasangkan alat itu di dalam telefon Khen sebagai persediaan jika terdapat sebarang perkara yang tidak diingini berlaku. Maklumlah, mereka ramai musuh. Diserang secara tiba-tiba itu sudah biasa bagi mereka.
LAMPANG: Beberapa ahli kongsi gelap Thailand mati selepas helikopter dinaiki mereka terhempas di wilayah Lampang semalam. Helikopter peribadi itu terhempas berhampiran Kem Tentera Chiraprawat pada 5 petang (waktu tempatan). Menurut saksi kejadian, helikopter itu terbakar sebelum terhempas di lokasi kejadian.
Anurak yang sewaktu itu sedang duduk, berdiri serta-merta apabila berita tersebut terpapar di skrin televisyen di hadapannya. Menggenggam telefon dengan kuat, tubuhnya bergemelugut halus tatkala melihat serpihan helikopter yang dirakam oleh pihak wartawan di dalam kaca televisyen. Entah mengapa, hatinya berasa tidak sedap apabila mendengar berita tersebut.
Apabila melihat serpihan yang dikumpulkan itu sama rekaannya dengan helikopter milik Khen, Anurak bergegas keluar dari pejabat majikannya itu.
Membunyikan siren, seluruh ahli Dragon yang sewaktu itu sedang membuat latihan dalam gelanggang terus meluru ke tempat berkumpul. Dada masing-masing berombak deras. Penat setelah membuat latihan masih belum reda, tiba-tiba siren kecemasan berbunyi nyaring.
Menggenggam mikrofon di atas pentas, anak mata Anurak menombak keras satu demi satu wajah ahli Dragon yang berkumpul di bawah.
"Sekarang ni, aku nak kau orang semua keluar cari Tuan Khen di tengah-tengah hutan Nakhon Sawan. Helikopter yang Tuan Khen naik semalam, terhempas di sana. Selagi tak jumpa Tuan Khen dalam masa 24 jam, kau orang semua akan dibunuh hidup-hidup. Faham?" Bergema suara Anurak di seluruh pelosok dewan.
"Faham, tuan!"
"Move."
Sebaik sahaja menerima arahan, ribuan ahli Dragon mula meluru ke bilik persalinan. Menukar pakaian ke uniform rasmi. Kapal terbang yang membawa mereka sudah siap berbaris di luar dewan. Menunggu masa sahaja untuk berlepas.
Membawa pedang dan senjata masing-masing, langkah diatur deras masuk ke dalam kapal terbang. Sebaik sahaja semua sudah mengambil bahagian, pintu kapal terbang segera dikatup rapat dan kini berlepas segera ke lokasi kejadian.
Duduk dalam keadaan bersedia, masing-masing sedang menunggu arahan. Selepas ini, mereka semua akan melakukan terjunan di tengah-tengah hutan besar Nakhon Sawat.
"Take off, now!"
Sebaik sahaja arahan kedengaran dari pembesar suara, kesemua ahli Dragon melakukan terjunan. Tiada rasa gentar. Masing-masing mempunyai semangat juang yang tinggi.
Mereka tidak akan pulang selagi ketua mereka tidak dijumpai. Sanggup berlapar dan tidak berehat. Sejak sesi rekrut lagi, sikap taat kepada barisan kepimpinan ketinggian Dragon sudah tersemat di dada.
Sukrit. Khen. Kla. James.
Tiada sesiapa dibenarkan menyentuh seinci pun kulit empat orang tersebut. Sesiapa yang mahu mencari masalah, perlu melalui mereka semua terlebih dahulu. Meskipun perlu bermandi darah, mereka sanggup.
"APA yang kecoh-kecoh tadi?"
Sukrit yang sewaktu itu baru sahaja berbual di telefon bersama rakannya, terus mendapatkan Anurak. Meninjau keadaan sekeliling, rasa hairan mula memanjat diri apabila melihat kawasan latihan Dragon kosong tidak berpenghuni.
"Mereka semua dikerahkan untuk mencari Tuan Khen di tengah hutan Nakhon Sawat, tuan. Helikopter yang dinaiknya dilaporkan terhempas semalam." Dengan keadaan menunduk hormat, terus sahaja insiden yang menimpa ketuanya itu diceritakan kepada Sukrit.
"Terhempas?" soal Sukrit disulami tawa sinis. "Pandailah-pandailah dia survive. Aku yakin cucu aku takkan mampus semudah tu. Kalau dia mati mampus pun, baguslah masuk neraka terus. Dah lama dah malaikat tunggu mayat dia tu untuk diseksa."
Anurak mula mengepal penumbuk di sisi. Sungguh kata-kata Sukrit itu telah berjaya membangkitkan kemarahan di dalam jiwanya. Khen itu, ketuanya. Pantang Anurak jika ada sesiapa merendahkan majikannya itu.
"Apa yang jadi, Anurak? Aku dengar ada siren kecemasan bunyi tadi. Ada apa-apa jadi ke?" Kla yang kebetulan lalu di situ, terus menyapa Anurak. Dalam masa yang sama, dia perasan raut wajah Sukrit hanya masam mencuka. Seperti ada ketegangan yang menyerkup suasana pada ketika ini.
"Maafkan aku, tuan. Aku tak sempat nak maklumkan kepada tuan keadaan Tuan Khen. Pagi tadi, aku dapat berita helikopter yang Tuan Khen naik semalam jatuh terhempas dekat hutan Nakhon Sawat."
"Apa? Helikopter Khen terhempas?" soal Kla dengan suara meninggi. Membuntang anak matanya mendengar perkhabaran yang meluncur keluar dari bibir Anurak.
"Betul, tuan. Aku dah arahkan semua ahli Dragon keluar cari Tuan Khen. Dalam masa 24 jam dia tidak ditemui, kita akan ambil tindakan lanjut."
"Tak boleh jadi. 24 jam masanya agak lama. Aku akan call semua polis dan askar untuk cari dia. Kalau apa-apa jadi dekat Khen, aku takkan maafkan diri aku sendiri." Langkah dibawa deras menuju ke pejabat. Kini, dia ingin meminta bantuan pihak tentera dan polis dalam misi mencari anak saudaranya itu.
Sebaik sahaja bayang Kla menyirna, bibir Sukrit menjongket sinis. Dengan kedua belah tangan menyeluk kocek seluar, wajah Anurak yang tidak beremosi dipanah dengan anak matanya.
"Kenapa kau baik sangat, hah? Kenapa tak biarkan dia mati je? Cucu derhaka macam dia, patut mampus awal. Aku dah malas nak ambil tahu pasal dia lagi sejak dia buat onar dekat majlis aku malam tu." Sukrit melangkah penuh angkuh. Sikit pun dia tidak ambil kisah mengenai keadaan cucunya pada ketika ini.
Luka di hatinya masih basah apabila mengingati insiden yang berlaku sewaktu majlis menyambut ahli baru Dragon. Sejak insiden itu, ramai orang yang memandang rendah kepadanya. Kini, semua kenalan rapatnya telah beralih arah dengan memihak kepada Khen.
Rahang Anurak terkacip-kacip kuat. Kalau difikirkan orang tua itu bukan datuk kepada majikannya, sudah lama dia ingin merodok perut Sukrit dengan pedang. Biar mati terbelalak di situ. Atas dasar hormat, dia hanya mampu mendiamkan diri dan berpura-pura tidak terkesan.
Entah mengapa, Anurak dapat merasakan punca insiden helikopter terhempas itu mempunyai kaitan dengan Sukrit. Seakan orang tua itu telah merancang untuk membunuh cucunya sendiri.
YOU ARE READING
Darkest Moment (TERBIT)
Mystery / ThrillerKHEN THANAWAT@AHMAD ZAHEEN | RATNA ANGGUN Terbitan : Fajar Pakeer Nukilan kehidupan manusia tidak semuanya tercoret indah. Adakalanya, ada garis hitam yang terconteng membuatkan dirinya larut dalam sunyi. Lontaran kata-lata nista sudah sebati dengan...