BAB 9

265 26 0
                                    

DERUMAN kereta yang kedengaran dari luar rumah, menandakan bahawa orang ramai mula membanjiri kawasan rumah. Mengenangkan itu, Anggun pasti bahawa mesti ramai kenalan arwah ibu dan ayahnya turut hadir pada malam ini. Malangnya, semua kenalan rapat arwah ayahnya tidak tahu bahawa dirinya terkurung di sini.

Sejak dia hilang deria penglihatan, adik-beradik ayahnya membuat keputusan untuk menyorokkan Anggun dari pengetahuan rakan-rakan ayahnya tanpa sebab yang dia tahu sendiri. Dia juga tidak dibenarkan untuk keluar dari daerah. Hanya terperap di rumah ataupun dibawa keluar ke kawasan berhampiran. Mujurlah teknologi pada masa kini semakin maju. Tempoh hari, Amani mengajarkan dirinya untuk menggunakan Youtube jika dia terasa ingin mendengar suara hiruk-pikuk di kota.

Duduk di birai katil, bibir Anggun mula meligih halus menahan airmata dari gugur ke pipi. Kerongkongnya bagai dirodok pasir menahan gelodak perasaan yang membedil sukma. Sakit! Namun apakan daya, kudratnya tidak mengizinkan dirinya untuk mempertahankan haknya sendiri.

Mengheret langkah keluar dari kamar, Anggun melabuhkan duduk di bendul pintu rumah. Mendengar bunyi suara riuh-rendah yang semakin galak kedengaran, bibirnya mula menyurih senyuman. Kendatipun tidak mampu melihat, dia cuba menyusun satu demi satu imaginasi dalam fikiran berdasarkan bunyi yang menampan pendengaran.

Orang ramai yang berbaju kurung dan berbaju melayu, membawa naskhah Yasin di tangan. Sebelum masuk ke rumah, pasti pakcik dan makciknya akan menyambut ramah dan menyalami setiap orang yang hadir. Bunyi keriuhan dan suara gelak tawa yang bertingkah pastinya daripada sepupu-sepupunya yang masih kecil.

Akhirnya, airmata yang ditahan sejak tadi mula mengalir membasahi pipi mulus Anggun. Sepupunya yang masih kecil langsung tidak berani dekat dengan dirinya. Disebabkan terlalu membenci, ibu dan bapa saudaranya melarang mereka bergaul dan berbual dengan Anggun. Takut terpalit dengan nasib malang yang dibawa olehnya.

"Anggun, maksu panggil kau datang rumah dia sekarang. Katanya ada hal penting." Sapaan dari seseorang yang dia kenali itu membuatkan tangan Anggun lekas naik menyapu air mata yang berbekas di birai mata dan pipi. Menutup kepala dengan selendang putih miliknya, dia mula berdiri tegak di juring pintu rumah.

"Betul ke, Ishaq? Tapi aku mana boleh pergi ke sana. Kau tahu kan yang semua makcik dan pakcik kita bencikan aku..." Perlahan suara Anggun melantun kata. Dalam masa yang sama, jari-jemarinya mula bermain di hujung selendang. Resah apabila tiba-tiba sahaja dia dipanggil ke sana.

"Betul. Jomlah cepat," ajak Ishaq seraya memeluk tubuh memerhatikan figura berkurung Kedah di muka pintu itu.

Apabila sepasang matanya naik pada wajah polos tidak berias itu, naluri lelakinya mula berkocak hebat. Walau sering kali melihat wajah wanita lain bermekap dan melaram, entah mengapa dia langsung tidak terpaut dengan semua itu. Hanya kecantikan Anggun sahaja yang membuatkannya tidak tidur malam.

"Sekejap ya. Bagi aku tutup pintu rumah sekejap." Anggun menarik daun pintu lalu dikatup rapat. Langkah kaki mula dibawa memijak satu demi satu anak tangga. Menyauk selipar, langkah mula diatur berhati-hati agar tidak terjatuh.

"Lambatlah kau ni." Tanpa meminta izin, Ishaq terus mencengkam sisi pinggang Anggun lalu langkah kaki gadis itu dibawa menyaingi langkah kakinya. Apabila bau haruman tubuh Anggun yang manis itu menyentuh mukus hidung, terkejip-kejip matanya menikmati haruman tersebut.

"Le... lepaskan aku, Ishaq. Aku... aku tahu jalan sendiri." Anggun mula berasa tidak selesa apabila merasakan tiada jarak yang berbaki antara tubuh genitnya dan tubuh kekar Ishaq. Tambahan lagi, bau haruman maskulin yang menyengat rongga penafasan, membuatkan dia berasa resah-gelisah.

Darkest Moment (TERBIT)Where stories live. Discover now