BAB 12

255 22 4
                                    

DUDUK di birai katil, jari-jemari yang kurus itu terus dicapai lalu digenggam erat. Wajah pucat itu tidak lepas menjadi persinggahan anak mata Khen. Menunduk sedikit, Khen tidak mampu mengawal gejolak yang menyucuk dada.

"Kaseh, aku datang ni. Aku harap kau cepat sedar dari koma," bisik Khen lembut di sisi cuping telinga wanita itu.

Kaseh Imani. Cucu angkat arwah tok meknya. Kata Tok Mek Mai, Kaseh hidup sebatang kara tanpa ahli keluarga. Kaseh diambil di sebuah rumah anak yatim di kampungnya dahulu sebelum Khen duduk bersama Tok Mek Mai.

Kasehlah tempat arwah Tok Mek Mai menumpah kasih sayang. Wanita itu sudah dianggap seperti anaknya sendiri. Setelah dewasa, Kaseh memilih untuk mengejar cita-citanya. Mahu menjadi seorang tentera.

Sebulan yang lepas, dia dikejutkan dengan berita Kaseh hampir terbunuh oleh suaminya sendiri di Malaysia. Tidak banyak soal, Khen mengambil keputusan untuk membawa wanita itu ke kediaman rahsianya yang terletak jauh di kawasan pendalaman. Beberapa jururawat dan pengawal keselamatan turut diletakkan di dalam rumah ini untuk menjaga Kaseh. Dia berharap, Kaseh akan sembuh seperti sediakala.

Disebabkan cinta kepada suaminya, Kaseh mengambil keputusan untuk berkahwin dan hidup bersama suaminya di Kelantan. Selama ini, Khen fikir wanita itu hidup bahagia tanpa sengsara. Tetapi apabila mengetahui hakikat sebenar yang terjadi, rasa amarah kian membentak dalam dada Khen.

Kalaulah Rafizi masih hidup, Khen pasti akan cari lelaki itu sehingga ke lubang cacing. Tidak terus dibunuh, dia tekad untuk menyeksa dahulu. Mahu membuatkan Rafizi merayu-rayu minta dilepaskan.

"Anurak, kalau suatu hari nanti ada apa-apa jadi dekat aku, aku nak kau jaga Kaseh. Walau terpaksa mati sekalipun, aku nak kau lindungi nyawa dia. Aku dah anggap dia macam adik aku. Boleh kau lakukannya?" soal Khen kepada pembantu peribadinya.

"Boleh, tuan. Aku janji akan laksanakan amanat tuan sebaiknya." Berdiri tegak, Anurak membuat janji di hadapan Khen.

Bangkit dari duduk, Khen membutangkan kot pada tubuh. Sebelum keluar dari bilik, sekali lagi wajah pucat Kaseh ditenung tidak lepas.

"Aku tak nak ulangi salah lama aku. Aku tak nak kau jadi macam Tok Mek Mai," gumam Khen seraya berlalu pergi.






BALIK sahaja dari melawat Kaseh, Khen bergegas menuju ke kediaman bapa saudaranya sebaik sahaja mendapat panggilan. Disebabkan tidak mahu sesiapa tahu yang dia berada di luar Chiang Mai, Khen memandu Mustang miliknya dengan laju. Mahu tiba di rumah pakciknya dengan lebih awal.

Sebaik sahaja turun dari kereta, Anurak lantas memperkemaskan rambut dan kot yang tersarung pada tubuhnya. Mahu memastikan penampilan majikannya itu sempurna tanpa sedikit pun cacat cela.

Berpenampilan kemas. Tidak mudah untuk menjatuhkan kaki kepada sesiapa. Berjalan mendabik dada. Tidak menunduk kepada sesiapa. Tidak melafazkan kata maaf atas kesalahan sendiri.

Jika salah satu perkara tersebut dilakukan, tidak layaklah seseorang itu berada dalam barisan tampuk kepimpinan tertinggi Dragon. Itulah prinsip yang dipegang oleh mereka sampai mati. Termasuk, Khen Thanawat.

Melangkah masuk ke dalam kediaman Khun Kla, Khen mengatur langkah dengan kemas dan penuh karisma. Apabila batang tubuhnya melalui laluan itu, bodyguard yang menjaga kawasan terus menunduk hormat kepadanya. Selagi tubuh Khen tidak menelurusi lorong itu sehingga ke hujung, selagi itu mereka tidak akan menegakkan tubuh. Bukan Khen sahaja, mana-mana ahli tertinggi Dragon juga akan dilayan sebegitu rupa.

Darkest Moment (TERBIT)Where stories live. Discover now