BAB BONUS 2

190 9 0
                                    

DUDUK melangut di tangga rumah Pak Samad, Khen menyedut rokok daun di tangan. Hari ini, dia terpaksa memakai kain pelekat dan berbaju T-shirt.

Andailah ada ahli Dragon yang melihat dirinya yang berpakaian sebegini, jatuh martabatnya kelak. Tapi hendak buat bagaimana, dia juga tidak jangka situasi ini akan berlaku.

Mahu meminjam telefon untuk menghubungi Anurak, tiada pula. Hampir pusing Khen dibuatnya. Tak tahu bagaimana mahu meminta tolong.

Dalam masa yang sama, Khen mengatur satu demi satu strategi untuk membalas dendam atas perlakuan datuknya. Untuk membalas dendam kepada Sukrit, dia tidak boleh melakukannya secara terang-terangan. Dia perlu melunaskan dendamnya dalam keadaan senyap-senyap tanpa dihidu oleh sesiapa. Mungkin, dia perlu berbaik dengan Sukrit terlebih dahulu. Kononnya ingin memohon maaf dan memilih jalan berdamai sedangkan...

Dia ingin membunuh lelaki itu.

Soal darah daging, Khen tolak tepi. Sesiapa yang mencari masalah dengannya, harus menerima nasib yang sama. Bahkan, lebih teruk lagi. Khen mahu Sukrit sedar bahawa dia jenis lelaki yang mengotakan kata. Bukan bercakap ikut sedap mulut tetapi tiada hasil.

"Tak sejuk ke duduk dekat luar tu?"

Sapaan daripada Puan Sabariah membuatkan lamunan Khen terputus serta-merta. Menyedut rokok daun dalam-dalam, abu rokok tersebut dijentik jatuh ke tanah. Khen hanya bersikap bersilengah. Pertanyaan Puan Sabariah dibiarkan tidak bersambut.

Duduk di bendul pintu, senyum halus mula terselit di celah ulas bibir Puan Sabariah. Sedikit pun dia tidak ambil hati dengan sikap Khen itu. Ini bukan kali pertama dia berhadapan dengan manusia sedingin ais seperti anak muda itu.

"Dulu makcik ada anak, perangai dia sama macam kamu," cerita Puan Sabariah seraya memandang tunak ke hadapan. "Tapi... makcik tak pernah salahkan dia atas apa yang jadi. Dia jadi macam tu disebabkan kami yang tak bagi dia kasih sayang yang cukup." Birai mata yang basah, pantas diseka. Puan Sabariah tidak mahu Khen mengesan kedukaan di hatinya.

"Sejahat mana pun ibu bapa tu, percayalah mesti ada sekelumit rasa kasih sayang dalam hati mereka buat seorang anak. Kalau dia benci, dia takkan izinkan kelahiran kamu ke dunia."

Khen jongket senyum sinis. Seakan terhibur dengan kenyataan yang meluncur keluar dari bibir Puan Sabariah.

"Kalau bayi tu mampu bercakap, aku rasa sejak awal-awal lagi dia dah bersuara minta parents mereka bunuh sahaja dia. Lagi bagus mati sebelum dilahirkan. Dunia ni, tersangat kejam. Tak semua orang sanggup hidup dekat sini."

Mencampak puntung rokok ke tanah, terus sahaja kakinya memijak-mijak kuat. Dalam masa yang sama, meluahkan rasa benci yang menyarat di jiwa. Bayangan wajah Razak kian menari di dalam mindanya.

"Sebenarnya... kamu sendiri yang bersetuju untuk lahir ke dunia. Itu bukan kuasa orang tua kita. Sebaliknya ketentuan Allah Taala..." Lembut sahaja Puan Sabariah menutur kata.

Memanggungkan wajah ke arah Puan Sabariah, alis Khen terjongket tinggi. Meminta penjelasan lanjut daripada wanita itu.

Menghela nafas panjang, wajah Khen di bawah sana ditatap lembut oleh Puan Sabariah. Dia tahu, hati anak muda itu terlalu sukar untuk dilentur. Sudah menjadi sekeras batu.

"Sebelum manusia dilahirkan ke dunia, mereka mempunyai perjanjian dengan Sang Pencipta. Apabila kita bersetuju dengan perjanjian itu, barulah DIA mengizinkan kelahiran kita ke dunia. Mungkin ada sesetengah orang, menyesal sebab diizinkan hidup di dunia yang terasa amat kejam ni. Tetapi, bukanlah namanya hidup jika semuanya indah belaka."

Darkest Moment (TERBIT)Where stories live. Discover now