ANURAK mengekor rapat di belakang majikannya. Dalam masa yang sama, anak mata helangnya melingas ke sekeliling dewan. Mahu memastikan keselamatan tuannya itu berada dalam keadaan baik-baik sahaja.
Di hadapan Anurak, Khen melangkah penuh gagah. Dengan bertuksedo hitam dan berkemaja putih di dalamnya, rambutnya yang berpomade kelihatan bersinar tatkala lampu chandelier dalam ruangan ballroom memancar terang. Bergaya santai, sebelah tangan disusup masuk ke dalam kocek. Anak mata mula diliarkan untuk memerhatikan satu demi satu wajah manusia yang membanjiri kawasan ballroom.
"Whisky, sir?" Seorang pelayan lelaki, mula berdiri di sisi Khen. Mempelawa Khen mengambil secawan whisky yang dihidang.
Tidak membalas pertanyaan lelaki itu, laju sahaja tangan Khen mengambil gelas itu dari dulang. Tidak berminat untuk meneguk terus minuman tersebut, sebaliknya selesa membiarkan kaki runcing gelas itu terselit di celah jari-jemari jantannya.
Dendangan muzik yang dimainkan oleh beberapa ahli muzik Eropah enak menjadi halwa telinga. Pukulan dram dan petikan gitar elektrik yang bertenaga menghidupkan ambien.
Satu perkara baru dikesan. Datuknya sudah tidak kedekut untuk mengeluarkan duit untuk mengadakan majlis lagi. Buktinya, datuknya sanggup menempah pemuzik dari luar negara untuk membuat persembahan sempena majlis menyambut ahli baru. Tidak seperti sebelum ini.
Malam ini, tiada lagu klasik yang dimainkan. Semuanya lagu-lagu antarangsa yang enak didengari oleh golongan anak muda masa kini. Senyum kecil terlarik dari bibir Khen. Lagu Dusk Till Dawn yang dimainkan oleh ahli muzik itu sungguh kena dengan seleranya.
Rancak dan auntentik.
Sukrit mula mengambil tempat di atas pentas. Kini, semua tumpuan audiens beralih pada figura bertuksedo emas itu. Hampir juling anak mata semua orang apabila melihat tuksedo yang tersarung pada tubuh Sukrit itu. Diperbuat seratus peratus daripada plat emas tulen. Ditempah khas daripada pereka fesyen antarabangsa.
Sudu diketuk pada permukaan gelas berulang kali. Berdiri tegak di atas pentas, Sukrit meminta semua tetamu memberi perhatian kepada ucapannya pada malam ini.
"Selamat datang kepada semua tetamu yang sudi hadir ke majlis pada malam ini. Sebelum kita menjamu selera, saya ada benda penting nak diumumkan kepada semua." Dengan senyuman di bibir, penuh karisma Sukrit berucap.
Di belakangnya, berbaris kesemua anak buahnya berpakaian sut hitam. Atas dasar menghormati majlis, segala senjata milik ahli Dragon tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam majlis pada malam ini.
"Pada malam ini, saya ingin memperkenalkan kepada anda semua ahli Dragon yang baru. Dengan segala hormatnya, dipersilakan..."
Tepukan dan sorakan orang ramai gamat menghiasi suasana. Pukulan dram dan bass juga rancak dimainkan memenuhi segenap ruang ballroom.
Satu figura bertuksedo hitam dan bertali leher merah garang yang terikat dengan rantai besi di udara, mula diturunkan secara perlahan-lahan. Sebaik sahaja kedua belah kaki galah itu mencecah lantai pentas, sorakan dan tepukan semakin kuat kedengaran. Dalam masa yang sama, semburan serbuk emas mula bertemperas ke udara.
"Songkarn Wattana!"
Sebaik sahaja dirinya diperkenalkan, Songkarn menemukan kedua belah tangan ke hadapan dan menundukkan sedikit tubuh, membuat gaya wai. Bibir merahnya tidak lekang dari senyuman. Anak matanya tidak lepas memandang seluruh wajah tetamu yang hadir ke dalam majlis yang diadakan untuk meraikan dirinya pada malam ini.
YOU ARE READING
Darkest Moment (TERBIT)
Mystery / ThrillerKHEN THANAWAT@AHMAD ZAHEEN | RATNA ANGGUN Terbitan : Fajar Pakeer Nukilan kehidupan manusia tidak semuanya tercoret indah. Adakalanya, ada garis hitam yang terconteng membuatkan dirinya larut dalam sunyi. Lontaran kata-lata nista sudah sebati dengan...