AK 7

37 7 1
                                    

Sudah dua hari dia diserang di saluran media sosial, tiktok, kerana komen tanpa perasaannya mendapat perhatian netizen. Bila seseorang membalas komennya, Aisya cuba membawa orang itu berfikir bagi pihak yang satu lagi. Cuba membuatkan orang itu faham, pihak yang satu lagi itu juga manusia.

Tapi komen balasnya disalah ertikan dan makin mendapat perhatian ramai bila tuan empunya video membalas komennya itu dengan video yang baru. Dan video itu turut viral. Maka, lebih ramai yang mengecam apa yang dia katakan.

Namun, Aisya sedikit pun tak gentar. Langsung tidak berperasaan. Tetap tenang membalas komen-komen netizen itu. Walaupun ada netizen yang menyerang dan mendoakan kesihatan mentalnya terus terganggu, Aisya tetap membalas dengan tenang dan masih tanpa perasaan marah.

Rasa keperluan untuknya menyedarkan masyarakat untuk melihat sesuatu isu itu dari segala sudut. Bukan hanya apa yang terbentang dihadapan mata. Kerana apa yang kita lihat dan dengar, belum tentu ianya adalah cerita sebenar. Pasti ada sebab ketidaklangsungan sesuatu tindakan itu.

Hari ini, Aisya masih aktif di tiktok. Masih mengomen di video yang lain. Masih juga lagi membalas komen dari isu berkenaan. Sedang dia menghabiskan masanya menonton dari satu video ke video yang lain, sambungan cerita dari empunya video yang teruk dia dibelasah netizen muncul. Dia menonton dan tersenyum sinis.

"Play victim." Kata Aisya.

Dia meninggalkan komen sinis kepada empunya video tersebut.

Bila saya kata, nurse tu juga seorang ibu yang risaukan anaknya, akak kata apa? Sekarang, ternyata nurse tu ada urgent case, akak jawab apa? As a mother? Selfish tau tak? Sekarang apa? Play victim?

Dia langsung tak hirau dikecam netizen. Dia tahu, dia benar. Dari mula dia komen, dia bukan berniat mahu membela sesiapa. Yang salah tetap salah. Tetapi, dia mahu mengajar netizen yang membaca dan membalas komennya untuk berfikir pada perspektif sebelah pihak lagi.

Kalau pun betul orang sana salah. Dan ianya bertujuan personal bukan kerja, pada Aisya, kita tetap kena fikirkan bila kita dalam situasi dia. Sebab dalam dunia ni bukan hanya ada putih dan hitam. Betul atau salah. Ada pelbagai lagi warna yang menjelaskan keadaan sebenar. Dan putih belum tentu suci dan hitam belum tentu kotor.

"Ulama pun berbeza pendapat bila sesuatu isu timbul dan tiada dinyatakan dengan jelas dalam Al-Quran dan Hadis. Maknanya apa? Dalam dunia ni, ada grey area yang perlu dijelaskan. Bukan jatuh hukum terus." Kata Aisya sebelum menutup aplikasi tiktok dan seterusnya meletakkan telefon bimbitnya diatas tilam.

Dia bangun dan membuka luas pintu beranda. Menghirup udara pagi sambil ditemani bunyian burung menyanyi. Nyaman.

Dia terus mengikat langsir agar tidak menghalang cahaya masuk. Dia tak peduli akan mata-mata jiran didepan rumahnya andai mereka memerhatikannya. Dia mahu bebas didalam rumahnya. Dia mahu rasa luas. Lagipun, dia bukan berbogel. Dia mahu mengemas rumah kemudian menonton Netflix.

Oh. Menonton Netflix kena tutup langsir kerana dia hanya menggunakan projector. Dia rasa projector lebih selamat untuk kesihatan matanya berbanding telefon bimbit dan televisyen. Lagipun, dia tak mampu untuk membeli televisyen pintar. Sedangkan Netflix ini pun adalah akaun adiknya. Adiknya yang melanggan dan membayar setiap bulan. Dia hanya menggunakannya.

"Nasib orang tak bekerja. Tu lah kau Aisya. Nak keluar rumah pun, takut. Siapa suruh." Ejek Aisya kepada dirinya sendiri.

"I missed my old me." Kata Aisya lantas menjatuhkan dirinya ke atas katil setelah mengemas rumah studionya itu.

Aisya senyum segaris.

"Tak apalah. Ini dugaan untuk aku." Kata Aisya.

Hidup dengan seorang ibu yang terlalu menjaga keselamatan Aisya sehingga Aisya jadi terlalu selesa dengan dunia yang ibunya berikan.

Selepas kematian bapanya, Aisya kemurungan. Semangatnya seolah dibawa pergi bersama bapanya. Sehingga dia berhenti kerja. Menjadikan kesedihan ibunya sebagai alasan untuk dia menjaga dan menemani ibunya.

Bila dia mahu bangkit, ibunya selalu menghalang. Dan dia terima alasan ibunya itu kerana dia sendiri takut. Dia takut dengan pelbagai perkara. Lagipun, 4 tahun dia bazirkan masanya melayan perasaan sakit kehilangan seorang bapa yang sentiasa menyokongnya. Bila dia pergi temuduga kerja, soalan yang paling sukar dia jawab, 'kenapa tak bekerja selama tempoh itu?'

Sudahlah mahu pergi temuduga itu sudah menjadi satu pemaksaan yang besar. Mahu dapat janji temu untuk ditemuduga pun, tak mudah. Bila dapat, adakalanya dia sudah pergi, sudah sampai tetapi kakinya tidak mahu melangkah keluar dari kereta dan akhirnya, dia hanya hantar email mengatakan ketidakhadirannya.

Suatu hari, kakaknya mengajaknya ke satu seminar. Kemudian, pihak penganjur menghantar mesej menjemput untuk menjadi sukarelawan. Dari situ dia berkenalan dengan orang-orang yang mempunyai hati yang kuat dan cekal. Berniaga dari kosong hingga mereka berjaya membuat jualan berjuta ringgit setahun.

Aisya cuba beberapa kali untuk berniaga. Dari tanpa modal ke modal yang sedikit. Tapi tak pernah menjadi. Dia belajar dan buat. Tetap juga tak menjadi. Sehingga satu saat, ibunya sendiri menghalang dia untuk bertemu kawan-kawan yang selalu memberi galakan untuk dia terus berusaha.

Suatu hari, dia mendapat tawaran bekerja. Dia diterima kerana pengalamannya sebagai sukarelawan. Setahun dia bekerja dengan syarikat itu. Dua kali dia mengalami kemalangan di pejabat dan mengakibatkan kecederaan pada lututnya. Doktor merehatkannya selama 3 bulan.

Dia cuba melakukan kerja dari rumah tetapi jiwanya hancur kerana kecacatan yang dialami. Walaupun tidaklah sampai dia terpaksa berkerusi roda atau bertongkat seumur hidup, tetapi ketidakupayaannya untuk bergerak bebas sangat meruntuh hatinya. Dia juga tidak boleh solat seperti biasa. Perlu sujud secara duduk diatas kerusi.

Bila dia kembali bekerja, surat pemecatan diberikan kepadanya kerana kegagalannya melakukan tugasnya dengan baik. Dia terima alasan itu kerana dia sendiri sedar prestasi kerjanya yang makin teruk sejak dia kemalangan mula-mula dulu. Tetapi semangatnya makin lemah. Hidupnya seakan tiada harapan lagi.

Akhirnya, hidupnya hanya ada ibunya dan adik-beradiknya. Dia mula menjauhkan dirinya dari semua orang. Tiada lagi kawan-kawan. Tiada lagi dunia luar. Dunianya hanya didalam rumah. Keluar pun, hanya dengan keluarganya. Dan dia mula mencipta ketakutan demi ketakutan.

Dan sejak ketiadaan ibunya, hidupnya jadi sendirian. Adik-beradik semua ada hidup mereka sendiri. Dan dia baru mahu memulakan hidupnya. Dia mula memberanikan dirinya. Menerima penolakan bila karya yang selama ini diperam, dihantar ke syarikat penerbitan.  Alhamdulillah. Setelah beberapa kali jiwanya runtuh dan merundum kerana karyanya ditolak, ada satu syarikat penerbitan yang agak ternama sudi menerbitkan karyanya.

Dari situ, karyanya diterima dan ada pembacanya sendiri. Yang sentiasa menyokong setiap karya yang dia hasilkan. Sama ada karya yang meletop atau tidak. Dan hasil jualan novel nya, dia 2.5% dikeluarkan untuk bayar zakat walaupun tak cukup haul dan nisab. Dia hanya mahu mengeluarkan zakat. Sebagai semangat untuknya terus berkarya.

Kemudian, sebahagian dari pendapatan itu, dia ambil untuk dirinya. Sebahagian lagi di wakafkan atas nama ibu, bapa dan dirinya sendiri. Dan sebahagian lagi, dia guna untuk belanja ahli keluarganya makan. 

"Banyak-banyak duit pun, nak buat apa? Tapi, tak cukup duit pun payah juga." Keluh Aisya.

Akukah?Where stories live. Discover now