Bab 18
Suasana pagi itu sungguh cerah. Semua penduduk kampung Serendah keluar untuk mencari rezeki. Tidak ketinggalan, Hasril juga sudah keluar bercucuk tanam di belakang rumah. Nasibnya terlalu baik apabila mendapat mak saudaranya yang sering membantunya tatkala susah mahupun senang. Sudah beberapa kali dia memikirkan nasihat mak saudaranya, akhirnya dia bersetuju untuk menanam sayur-sayuran kampung untuk dijual ke pekan bagi mendapatkan wang.
Nuraisha mengintai suaminya dari pintu dapur. Satu senyuman singgah di bibirnya. Tangan kanannya mengusap perut yang belum membesar. Tidak lama lagi mereka akan mempunyai anak yang sangat comel.
Sedang asyik leka melihat suaminya berkebun, bahunya ditepuk halus dari belakang.
"Mak Jamilah beli apa di pekan? Aisha lihat ada ulaman dan akar kayu dari bungkusan itu." Mata Nuraisha ralit melihat barang yang telah dibeli. Kakinya menapak perlahan mendekati Mak Jamilah yang sibuk mengeluarkan akar kayu dari bungkusan kertas.
"Akar kayu ini memang sesuai untuk ibu mengandung macam Aisha. Nanti bila Aisha sudah makan nasi, Aisha kena minum air rebusan ini. Mak Jamilah buatkan." Ujar Mak Jamilah bersama senyuman.
Wajah Nuraisha berubah riak. Bau pun dia tidak suka apatah lagi mahu meminumnya. Hendak menolak, dia risau Mak Jamilah terasa hati. Akhirnya dia turuti juga.
"Suami kamu di mana?" Soal Mak Jamilah seraya duduk di atas kerusi. Ada sesuatu yang perlu dia beritahu kepada Nuraisha. Dia tidak mahu Hasril dengar perbualan mereka berdua.
"Ada di belakang rumah. Lega rasanya, Hasril mahu bercucuk tanam. Hasil dari menanam itu jugalah nanti kami hantar ke pekan untuk dijual." Beritahu Nuraisha. Dia juga tidak terkecuali duduk di atas kerusi. Tiba-tiba lengannya dipegang oleh Mak Jamilah.
"Cuba beritahu Mak Jamilah, benarkah Aisha sertai pertandingan ratu kebaya?" Mak Jamilah anggap keputusan yang dibuat Nuraisha ini bakal membuatkan kehidupannya menjadi malapetaka. Teringatkan perbuatan Marisa, hatinya menjadi gusar. Melihatkan wajah Nuraisha yang polos buatkan hatinya bertambah kasihan.
Lambat-lambat Nuraisha mengganguk wajah. Lambat-laun berita mengenai dirinya menyertai pertandingan ratu kebaya bakal diketahui oleh suaminya juga.
Mak Jamilah memicit dahinya. Keluhan berat dilepaskan. "Kenapa Aisha sertainya? Bukankah Mak Jamilah sudah pesan awal-awal tentang Marisa. Perempuan itu bahaya. Angkara dia, Melur mati tanpa sebarang pembelaan. Kamu tahu bukan sebab apa Melur mati?" Mak Jamilah memandang Nuraisha yang tertunduk. Sedikit kesal atas keputusan yang dibuat Nuraisha.
"Ajal maut itu Aisha berserah kepada Allah. Aisha lakukan semua itu atas mahukan wang. Aisha malu dengan Mak Jamilah sebenarnya. Aisha mahukan wang untuk menyara kehidupan kami." Terang Nuraisha. Air matanya menitis.
Mak Jamilah menggeleng kepalanya. "Mak Jamilah sudah anggap Aisha tidak ubah seperti anak kandung Mak Jamilah sendiri. Mak Jamilah tidak kisah sekiranya Aisha dan Hasril tinggal di sini buat selamanya, sekurang-kurangnya kamu berdua boleh menemani Mak Jamilah di sini. Lagipun, usia Mak Jamilah ini sudah tua, Aisha. Rasanya, tidak terlambat sekiranya Aisha menarik diri, bukan?" Pujuk Mak Jamilah. Dia sudah sayangkan Nuraisha dari awal Hasril membawanya ke mari.
Nuraisha mengeluh. Permintaan Mak Jamilah terlalu berat untuknya. "Agak sukar jika Aisha menarik kembali untuk sertai pertandingan itu. Mak Jamilah tidak perlu khuatir sangat tentang Aisha. Pandailah Aisha jaga diri." Putus Nuraisha.
"Tidak boleh, Aisha. Sekali kamu masuk ke jerat Marisa, mustahil kamu dapat keluar. Pertandingan ratu kebaya tidak asing lagi di kalangan penduduk kampung di sini. Marisa sudah tentu-tentunya mahukan dia di tempat pertama. Saban tahun, Aisha... Marisa tetap kekal menjadi juara. Dia memang bahaya. Sebab itulah Mak Jamilah melarang keras kamu sertai pertandingan itu."
YOU ARE READING
KEBAYA
Mystery / Thriller"Kita kena cepat-cepat kebumikan Mak Sarinah sebelum lewat malam, Pak Wan. Jenazah Mak Sarinah biar saya yang uruskan dengan kawan saya. Pak Wan kena banyak-banyak bersabar. Allah sentiasa ada dengan hamba-Nya yang banyak bersabar." Kata Makruf penu...