Dari awal lagi Anuar mencari kehadiran Zana dan Ameera namun bayangan mereka masih belum kelihatan. Jarum jam sudah menghampiri ke pukul lapan setengah pagi. Sepatutnya mereka berdua akan berada di depan pintu kelas professor Kaj. Anuar resah dari malam semalam kerana mendapat berita yang tidak elok yang berlaku ke atas diri Hana. Waktu itu dia sedang berada di luar kawasan kolej. Namun sekurangnya dia lega apabila Zana dan Ameera memberitahu tentang keadaan Hana meskipun mereka jarang bertemu.
Satu tepukan menyinggah di atas bahu Anuar membuatkan Anuar berpusing ke belakang. "kau cari siapa Anuar?" Tegur salah seorang kawannya yang juga akan masuk ke kelas professor Kaj tidak lama lagi.
"Aku cari Zana dan Ameera. Kau ada nampak dia orang tak?" Soal Anuar mengundang ketawa di bibir Sufian selaku ketua kelas bagi subjek pengurusan pemasaran. Mestilah dia tahu!
"Aku rasa kau baliklah, Anuar. Kelas pagi ini batal. Professor Kaj sakit kaki, tak dapat nak berjalan." Jawab Sufian. Anuar mengeluh. Bukan rezekinya untuk berjumpa dengan Zana dan Ameera hari ini.
Sebelum kaki Anuar melangkah telinganya terdengar ada suara memanggilnya. Rasanya suara itu bukan dari suara Sufian. Dia menoleh ke belakang. Sufian sudah pun berjalan menuju ke ruangan tempat letak kereta. Dia mengecilkan matanya.
Kelihatan Ikmal menyandang beg galasnya sambil merenung ke arahnya.
"Aku nak jumpa Hana."
Anuar mengeluh sebaik nama Hana disebut oleh Ikmal. Dari hari itu lagi Ikmal mahu berjumpa dengan Hana mustahil mereka tak berjumpa langsung? Kenapa Ikmal mahu bertemu dengannya seperti mahu meminta keizinan darinya untuk berjumpa dengan Hana?
"Aku tahu apa yang kau fikirkan, Anuar." Ujar Ikmal. Anuar menarik nafas dalam-dalam kemudian dihembuskan keluar. Berhadapan dengan Ikmal seperti dia berhadapan dengan ahli nujum. Semua perasan dan kata hatinya dapat dibaca oleh Ikmal sendiri.
"Aku tahu kau ada bakat membaca isi hati orang. Tetapi jangan sampai buatkan aku rimas." Keluh Anuar.
Ikmal masih merenung wajah Anuar seraya langkahnya mendekati Anuar dengan lebih dekat.
"Sudahlah Ikmal. Baik kau terus-terang saja dengan aku. Kenapa kau nak jumpa dengan aku hari ini?" Kata Anuar yang sudah malas melayani karenah Ikmal.
Ikmal menundukkan wajah sebelum memandang Anuar. "Hari itu aku ada nampak Hana tertekan sangat sewaktu berjumpa dengan Encik Zamarul."
Anuar diam. Dia memandang ke kanan di mana Ikmal sudah berada di sebelahnya. "Kenapa kau nak beritahu semua ini?"
Ikmal tidak menjawab. "Aku cuma nak kau jagakan Hana dengan elok. Sekarang ini dia terdedah dalam bahaya. Maksud aku, roh jahat yang bakal dia seru nanti akan menjadikan pelajar perempuan yang menyertai ratu kebaya akan menemui ajal. Aku tak mahu semua itu terjadi."
Dahi Anuar berkerut. Dia memang tidak percayakan benda-benda tahyul, hantu dan jin semua ini. Dia masih teguh dengan prinsipnya. Rasional dan fakta!
"Kau kata hari itu, Hana seolah suspek kematian arwah Sofia. Tetapi kenapa hari ini lain pula yang aku dengar? Apa yang kau cuba nak sampaikan sebenarnya?" Anak mata Anuar bertentang dengan mata Ikmal. Dia mahukan penjelasan dan kejujuran.
Ikmal mengalih ke tempat lain. "Memang aku ada deria rasa keenam. Tapi aku bukan tuhan untuk siapa tahu pembunuh di sebalik kejadian yang berlaku." Kata Ikmal namun Anuar membalasnya dengan ketawa.
"Tahu pun. Dan aku rasa kau tak perlu susah-susah lagi nak jumpa aku untuk ceritakan tentang Hana. Dia aku punya. Aku tahu apa masalah yang dia hadapi berbanding kau, Ikmal! Jangan ingat aku tak tahu yang selama ini kau sering sangat mencuri pandang Hana semasa aku ada." Beritahu Anuar. Wajah Ikmal serta-merta berubah.
YOU ARE READING
KEBAYA
Mystery / Thriller"Kita kena cepat-cepat kebumikan Mak Sarinah sebelum lewat malam, Pak Wan. Jenazah Mak Sarinah biar saya yang uruskan dengan kawan saya. Pak Wan kena banyak-banyak bersabar. Allah sentiasa ada dengan hamba-Nya yang banyak bersabar." Kata Makruf penu...