Anesa berjalan mundar-mandir di hadapan pintu bilik Encik Zamarul. Dia perlu mencari jalan lain agar pertandingan ratu kebaya itu dapat diteruskan. Kalau mengharapkan si Hana seorang memang tidak berjalanlah pertandingan ratu kebaya itu nanti sedangkan setiap tahun dia mengharapkan pertandingan itu dijalankan di universiti ini. Dagunya dikuis perlahan-lahan seolah memikirkan sesuatu. Kemudian barulah dia mengambil keputusan untuk membuka tombol pintu pensyarah itu tanpa sebarang ketukan. Tetapi baru sahaja dia memulas, pintu itu ditarik dari dalam.
"Ada apa-apa ke Anesa nak jumpa saya?" Soal Encik Zamarul. Anesa sudah terkebil anak mata memandang renungan Encik Zamarul kemudian barulah Anesa angguk kepala.
"Masuklah. Biarkan pintu itu terbuka. Jangan tutup." Arah Encik Zamarul. Anesa bagaikan terkunci apabila kedatangannya seolah tidak mendapat layanan yang diharapkan. Tiba-tiba ingatannya teringat cara mata dan tubuh badan Encik Zamarul sedang berbual dengan Hana pada pagi tadi. Tampak mesra. Perlahan-lahan perasaan cemburu menyelinap masuk ke dalam hatinya. Anesa mengeluh dan terus duduk di kerusi tanpa dipinta.
Encik Zamarul mengerling wajah Anesa sekilas sebelum mengambil tempat duduknya. Sempat lagi matanya melihat sepintas di muka pintu. Dia masih mengharapkan Hana datang ke sini.
"Ada apa yang Anesa tak faham dengan subjek yang saya ajar tadi?" Tembak Encik Zamarul. Dia amat mengetahui masalah setiap pelajar yang mencarinya sampai ke pejabat. Tiada yang lain adalah kesukaran memahami apa yang dia ajarkan. Sesetengah pelajar ada memberitahunya tentang cara penyampaiannya terlalu berat dan ada yang kata 'pensyarah syok sendiri'!
Anesa diam namun sempat lagi dia mengutuk pensyarah itu dalam hati. "Saya datang sini bukan seperti apa yang Encik Zamarul fikirkan. Saya datang ini ada perkara penting yang saya nak beritahu." Kata Anesa.
Encik Zamarul memandang tepat wajah Anesa. Tekaannya sama sekali salah.
"Apa dia?" Soal Encik Zamarul serius. Kini penumpuannya kembali terarah kepada Anesa. Fikirannya tentang Hana perlahan-lahan hilang.
Anesa menelan liur sebelum bersuara perihal ideanya."Errr... Macam ini..." Belum sempat dia menyambungkan ayatnya, dia terdengar suara Hana, Ameera dan Zana di luar muka pintu. Mata Anesa mendarat ke atas. Sakit hati. Boleh pula minah tiga ekor itu datang waktu ini. Di pejabat Encik Zamarul pula itu! Jika Ameera dan Zana berjumpa dengan Encik Zamarul, dia tidaklah kisah sangat. Tetapi Hana juga ada sekali. Lalu dia memandang sekilas wajah pensyarah itu yang sudah menggariskan senyuman. Dan dia tahu senyuman itu khas untuk Hana. Kenapa Hana begitu mendapat perhatian istimewa di mata pensyarah itu? Gumamnya bersama perasaan yang sangat cemburu.
"Apa Anesa? Apa yang awak cakap tadi?" Celah Encik Zamarul seraya menggangkat tangan kanan kepada tiga pelajar perempuan itu supaya menunggunya di luar pintu. Dia berharap isyarat itu dapat difahami.
Anesa mendengus seraya menyarungkan beg di bahu. "Tak mengapalah, Encik Zamarul. Its not important anymore!" Ulasnya segera bangkit meninggalkan pensyarah itu yang sedikit terkejut dengan tindakannya. Sampai sahaja di muka pintu sempat lagi dia menjeling ke arah Hana yang kebetulan memang ada di luar pintu.
"Aku nak ingatkan kau supaya tidak lebih-lebih dengan Encik Zamarul! Faham?!" Ugutnya dengan nada perlahan di telinga Hana sebelum beredar. Ameera dan Zana melihat Anesa pergi meninggalkan mereka dari ekor mata. Hana mengeluh perlahan.
Encik Zamarul memanggil tiga pelajar itu agar segera masuk. "Tutup pintu itu sekali." Arahnya. Zana menutup pintu sebagai orang terakhir. Kemudian mereka duduk di kerusi. Encik Zamarul bangun dan mencapai satu naskah akbar yang sudah lama kepada mereka. Sempat lagi dia mengibas surat khabar itu bagi menghilangkan debu.
Hana, Ameera dan Zana terkebil saat Encik Zamarul memberikan surat khabar yang sudah lama kepada mereka. Penulisannya juga banyak yang sudah hilang dakwat. Tetapi tajuk muka hadapan surat khabar itu masih jelas dan boleh dibaca.
YOU ARE READING
KEBAYA
Mystery / Thriller"Kita kena cepat-cepat kebumikan Mak Sarinah sebelum lewat malam, Pak Wan. Jenazah Mak Sarinah biar saya yang uruskan dengan kawan saya. Pak Wan kena banyak-banyak bersabar. Allah sentiasa ada dengan hamba-Nya yang banyak bersabar." Kata Makruf penu...