Bab 14
Siang mula melabuhkan tirai. Malam mula menjelma menunjukkan purnamanya. Di atas katil, kaki Nuraisha diurut lembut oleh Mak Jamilah dan ditemani suaminya di sisi. Tangan Nuraisha mengusap perutnya yang belum menampakkan pembesaran. Mak Jamilah ada memberitahunya ada darah yang mengalir dari farajnya semasa dia didapati pengsan pada pagi tadi. Nasib baik kandungan masih sempat diselamatkan. Tetapi bagi Nuraisha pula, kalau boleh dia memang mahu anak ini mati sekali.
"Abang sudah mengambil keputusan untuk menjaga Aisha sahaja dalam rumah ini." Katanya buat isteri tercinta. Keputusannya tekad supaya isterinya selamat berada di sampingnya. Bukankah itu yang sepatutnya sang suami lakukan? Melindungi keselamatan isterinya?
Mata suaminya ditenung oleh Nuraisha.
"Abang mahukan yang terbaik untuk Aisha dan juga anak kita yang bakal lahir tidak lama lagi. Aisha perlukan rehat dan tidak perlu lagi membantu Mak Jamilah pergi ke pekan. Biar abang sahaja yang ambil alih urusan Aisha." Sambung Hasril tanpa meminta pendapat isterinya. Hati Nuraisha berteriak tanda tidak bersetuju.
"Aisha boleh jaga diri Aisha sendiri. Abang tidak perlu khuatir... Apa yang abang perlu buat sekarang adalah mencari kerja, tampung keluarga kita. Takkan selamanya kita mengharapkan Mak Jamilah bantu kita, abang? Aisha tidak mahu hidup susah lagi." Ulasnya. Nuraisha tetap dengan pendiriannya. Sebagai suami, Hasril perlu berusaha mencari kerja yang halal buat mereka sekeluarga. Dia berasa malu dengan Mak Jamilah kerana selama ini orang tua itu sentiasa menyediakan makanan dan tempat tinggal yang selesa buat mereka.
Hasril diam. Memang betul apa yang isterinya katakan sebentar tadi. Seharusnya dia perlu berusaha keras untuk mencari pekerjaan di luar sana ataupun dia berniaga sendiri di kampung ini.
Mak Jamilah sekadar mendengar perbualan mereka berdua tanpa masuk campur. Kaki Nuraisha perlu diurut dengan teliti untuk elak tersalah urat. Sudahlah emosi wanita itu tidak stabil waktu ini.
"Abang sudah usahakan Aisha. Tapi nampaknya bukan rezeki kita lagi. Allah bagi rezeki melalui anak yang Aisha kandungkan dahulu buat kita. Mana tahu selepas Aisha melahirkan anak kita, abang mendapat rezeki kerja? Kita tidak tahu Aisha..." Lembut Hasril memujuk hati isterinya yang enggan memandangnya. Walaupun payah tetapi dia berusaha agar isterinya memahami dirinya waktu ini.
Nuraisha menarik nafas sebelum dilepaskan. Sukar untuknya untuk memahami situasi yang berada di tempat suaminya. Kalau sukar sangat mendapat kerja, lakukan sahaja kerja kampung seperti bercucuk tanam. Jual sayur di pekan. Ramai pembeli dari dalam dan luar kampung akan membelinya untuk juadah tengah hari mereka.
"Sudahlah abang. kalau susah sangat abang nak dapat kerja, biar Aisha sahaja yang membanting tulang mendapatkan wang bagi menyara kita sekeluarga." Kata Nuraisha seraya mengurut lengannya. Mendengarkan jawapan dari isterinya buatkan Hasril terkejut.
"Apa kerja yang boleh Aisha lakukan di kampung ini? Aisha kan mengandung. Duduk diam sahaja di rumah, masak untuk abang. Aisha tidak perlu mengikut emosi. Nanti pandai-pandailah abang fikirkan jalan untuk mendapatkan wang untuk sara Aisha dan anak kita." Pujuk Hasril. Dia mengerling Mak Jamilah agar membantunya namun tidak berjaya. Orang tua itu seakan tekun mengurut kaki isterinya. Langsung tidak membantu. Sudahlah beberapa hari isterinya tidak bercakap mahupun bersenda dengannya. Kepalanya diraup perlahan.
Mak Jamilah menutup botol minyak panas. Kaki Nuraisha sudah pun diurut bagi mengelakkan angin masuk. "Aisha baring aje selepas Mak Jamilah urut. Jangan kerap berjalan. Kalau mahukan apa-apa minta sahaja pada Hasril ataupun Mak Jamilah." Kata Mak Jamilah buat Nuraisha. Nuraisha sekadar membalas senyuman di hujung bibir. Waktu ini kakinya sudah segar semula. Badan pula tidaklah terasa lenguh. Teringatkan Makruf membuatkan dia menjadi geram. Disebabkan lelaki itulah dia jadi begini.
YOU ARE READING
KEBAYA
Mystery / Thriller"Kita kena cepat-cepat kebumikan Mak Sarinah sebelum lewat malam, Pak Wan. Jenazah Mak Sarinah biar saya yang uruskan dengan kawan saya. Pak Wan kena banyak-banyak bersabar. Allah sentiasa ada dengan hamba-Nya yang banyak bersabar." Kata Makruf penu...