Nuraisha menyambut kepulangan suaminya dari pintu. Peluh yang ada di dahi suaminya dilapkan oleh sehelai tuala dengan penuh kasih sayang. Tidak sabar mendengar berita tentang pencarian kerja suaminya. Dia memberikan suaminya peluang untuk duduk dan bercerita."Macam mana abang hari ini?" Soal Nuraisha.
Hasril mengeluh dan bersandar di belakang kerusi. Dia tak mahu mengecewakan Nuraisha. Tetapi ada masanya dia perlu berterus-terang.
"Masih belum ada rezeki lagi Aisha. Puas abang mencari kerja di kampung Serendah tapi satu pun tidak mahu mengambil abang bekerja. Kata mereka abang ini hanya orang luar. Tidak layak untuk bekerja di kampung ini." Adakalanya dia rasa menyesal kerana telah meninggalkan kampung Semarak, tempat asalnya. Dia ada kebun pisang seluas satu hektar, terasa rugi kerana membiarkan kebun itu tidak diusahakan dengan baik.
Air muka Nuraisha berubah riak. Sudah puas dia berdoa siang dan malam supaya suaminya mudah mendapat rezeki pekerjaan. Tidak kisahlah kerja apa pun, asalkan mendatangkan duit yang halal untuk mereka. Itu belum lagi tentang dia disahkan mengandung anak Hasril, jadi semakin bertambahlah duit yang perlu mereka gunakan.
"Abang minta maaf sebab tidak berikan nafkah dengan baik untuk Aisha..." Belum sempat Hasril menyambungkan ayatnya, isterinya mencelah. Dari getaran suara itu Hasril dapat meneka hati isterinya menahan sedih. Dia tidak salahkan perkahwinan mereka tetapi dia salahkan dirinya sendiri kerana terlalu ikutkan emosi Nuraisha dulu. Kalaulah benda ini boleh diputarkan kembali, sejujurnya dia relakan Nuraisha berkahwin dengan Makruf meskipun dia insan yang paling kecewa.
"Aisha redha apa yang sudah terjadi. Aisha masuk dalam bilik dulu, nak lipat kain. Kalau lapar, abang makanlah dulu kat dapur. Hari ini Aisha masak ala kadar sahaja sebab lauk tak banyak yang ada dalam almari." Nuraisha bingkas bangun tanpa mempedulikan reaksi mata suaminya. Tipulah jika dia tidak sedih. Sudah sebulan lebih mereka berkahwin tetapi rezeki tidak memihak kepada mereka. Tanpa sedar, air matanya mengalir laju tanpa diminta mungkin kerana dia sudah lama menahan rasa.
Nuraisha terkejut apabila bahunya disentuh seseorang. Seingatnya suaminya yang datang rupanya sangkaannya meleset. Mak Jamilah datang bersama buah jagung yang sedang enak baunya. Dia terasa lapar waktu ini.
"Bila Mak Jamilah pulang?" Soal Nuraisha mempelawa Mak Jamilah duduk di atas katil miliknya. Selesai Mak Jamilah duduk dia memberikan empat buah batang jagung untuk santapan petang mereka suami isteri.
"Baru." Jawab Mak Jamilah sambil meraih tangan Nuraisha. Dia ada perkara yang perlu dia sampaikan kepada Nuraisha dan telinganya mendengar setiap butir bicara pasangan baru berkahwin itu tadi.
Nuraisha terus mengambil jagung yang suam panas singgah ke mulutnya sebelum itu dia mengambil bau dahulu. Sedap rasanya jika dimakan. Mak Jamilah membiarkan Nuraisha makan dahulu sebelum dia memulakan bicara.
Setelah Nuraisha menghabiskan satu batang jagung barulah Mak Jamilah bersuara.
"Kenapa Aisha kahwin lari dengan Hasril? Maaf jika soalan Mak Jamilah ini terlalu berterus-terang tetapi Mak Jamilah nak sangat tahu apa yang terjadi sebenarnya? Dan kenapa Mak Jamilah rasa Aisha macam murung sejak akhir-akhir ini." Mak Jamilah mengurut lengan Nuraisha supaya menceritakan perihal sebenar.
Nuraisha menelan sisa kunyahan tadi masuk ke dalam perut. "Seingat Aisha bukan ke Hasril sudah ceritakan semuanya kepada Mak Jamilah tentang masalah kami dulu?" Suaminya ada kata yang dia sudah beritahu semuanya kepada mak saudaranya tentang masalah mereka sebelum berkahwin tetapi kenapa Mak Jamilah seolah tidak tahu apa-apa langsung?
Mak Jamilah menggariskan senyuman. "Tahu sikit. Hasril ada cerita tentang keluarga Aisha tak terima lamaran Hasril. Sebab itu Hasril ada minta tolong Mak Jamilah carikan tok kadi. Sebenarnya kalau Aisha nak tahu dekat kawasan kampung sini ada sahaja orang luar yang kahwin lari. Boleh dikatakan sini tempat senang untuk kahwin dan dapatkan wali kepada perempuan. Jadi itulah Mak Jamilah nak tahu kenapa Aisha dan Hasril nak kahwin lari sedangkan kamu berdua boleh berfikir dengan bijak sebelum mengambil sebarang keputusan yang sewajarnya. Mak Jamilah bukanlah nak meletakkan kesalahan di atas bahu Aisha dan juga Hasril tetapi sebagai seorang yang banyak makan garam, Mak Jamilah rasa terpanggil nak berikan nasihat dan teguran. Walau apa jua masalah yang berlaku, kena ingat setiap masalah ada jalan penyelesainnya. Jangan berhenti berdoa, Aisha."
YOU ARE READING
KEBAYA
Mystery / Thriller"Kita kena cepat-cepat kebumikan Mak Sarinah sebelum lewat malam, Pak Wan. Jenazah Mak Sarinah biar saya yang uruskan dengan kawan saya. Pak Wan kena banyak-banyak bersabar. Allah sentiasa ada dengan hamba-Nya yang banyak bersabar." Kata Makruf penu...