BAB 9

339 3 0
                                    

Anuar puas mencari Hana di sekeliling universiti ini. Rasanya jadual Hana hari ini ada kelas pagi sampai ke tengah hari. Jarang-jarang sekali Hana penteng kelas ataupun ada perkara yang mustahak. Gadis itu memang terkenal dengan sifat dedikasi dan amanah. Puas dia menelefon Hana sejak malam tadi lantaran dia mahu meminta maaf kerana tidak dapat mengambil gadis itu di syarikat Gemilang. Jalan yang sesak akibat banjir kilat membataskan dia membantu gadis itu.

Dari kejauhan, dia melihat Ameera dan Zana sedang berbual rancak. Ketiadaan Hana menjadi tanda-tanya. Selalunya mereka selalu bertiga. Pantas dia mengejar mendapatkan mereka berdua.

"Hai Meera? Zana? Mana Hana?" Soal Anuar memandang wajah Ameera dan Zana silih berganti.

Ameera dan Hana mendiamkan diri.

"Hana ada dekat rumah. Dia pengsan semalam. Sekarang ini dia dah okey sikit." Balas Ameera. Dia dan Zana memang terkejut melihat Hana tidak sedarkan diri di hadapan rumah sewaktu mereka pulang. Nasib baiklah, tiada apa-apa yang berlaku. Susah nanti nak menjawab dengan papa Hana.

Anuar mengurut dadanya tanda lega. Dia juga risau dengan Hana sejak panggilannya tidak terjawab.

"Semalam Hana ada minta aku jemput di dekat syarikat papa dia. Tapi kau orang berdua sendiri tahu kan yang semalam banjir kilat dekat bandar besar. Air naik sampai ke atas jalan raya. Semua kereta sangkut. Sebab itulah aku tak dapat nak tolong Hana." Beritahu Anuar. Dia juga terkilan dengan apa yang terjadi. Bila Ameera ada menceritakan tentang Hana pengsan membuatkan dia bertanyakan soalan.

"Tadi kau kata Hana pengsan? Sebab apa dia pengsan? Dia demam kena hujan semalam ke?" Soalannya bertalu-talu.

Ameera dan Zana memandang sesama sendiri sebelum mengajak Anuar makan ke kafe. Seperti biasa nasi ayam popular yang menjadi santapan mereka saban hari tanpa jemu. Anuar sekadar memesan air sirap sahaja.

Selepas sahaja punggung mereka melabuhkan di atas bangku, barulah Ameera kembali menceritakan detik cemas malam semalam. Waktu itu hujan sudah berhenti. Berkali-kali Ameera dan Zana mengejutkan Hana namun Hana tidak menunjukkan reaksi yang dia akan tersedar. Lalu mereka membawa Hana ke hospital. Doktor kata Hana perlu banyak berehat. Terlalu banyak berfikir membuatkan Hana tertekan. Mereka sangkakan mungkin Hana terbeban menjadi ketua acara pertandingan ratu kebaya yang bakal dianjurkan.

"Sebab itulah Hana pengsan. Hari ini baru papa dia ambil dia pulang." Sambung Ameera dan Zana sekadar mendengar.

Beberapa pesanan makanan yang mereka pesan tadi sudah selamat tiba. Selera Ameera dan Zana menambah apabila melihat nasi ayam itu panas-panas dihidang.

"Aku pun ada perasaan juga perubahan dia sejak kematian arwah Sofia. Dia dah jarang keluar malam. Muka pun kalau kau orang perasan macam pucat. Aku tak tahulah kalau dia ada pendam masalah dia seorang diri." Kata Anuar sambil menghirup air sirap.

Mendengar penjelasan Anuar juga, Zana juga ada melihat perubahan Hana. Muka Hana pucat sejak kebelakangan ini. Puas ditanya, jawapannya sebab penat.

"Entahlah. Aku malas nak menambah cerita. Mungkin apa yang doktor kata memang Hana tertekan sampai tak makan." Jawab Ameera.

Anuar angkat bahu. Bila keadaan Hana semakin pulih, barulah dia telefon bertanya khabar. Kalau sekarang mungkin Hana memerlukan rehat tanpa diganggu.

"Okeylah aku balik dulu. Apa-apa berita pasal Hana, kau dengan Zana bagitahu aku, okey?" Pesan Anuar semasa mengeluarkan duit membayar air sirapnya. Sempat lagi dia melambai tangan ke arah Ameera dan Zana. Sekembalinya dia menoleh ke hadapan, Ikmal sedang berdiri tepat di hadapannya. Dari mana datangnya Ikmal dia sendiri tidak tahu.

"Ikmal? Apa kau buat dekat sini?" Soal Anuar buat-buat ramah walaupun dia agak kekok sebenarnya. Ikmal menjeling ke arah Ameera dan Zana sebelum memandang tepat muka Anuar. Dia tahu ada perkara yang tidak kena.

"Aku datang ini nak jumpa Hana. Mana dia?" Soal Ikmal membuatkan muka Anuar berubah. Hana tidak pernah rapat dengan Ikmal. Macam mana pula Ikmal mahu berjumpa dengan Hana? Tentang apa?

Anuar berdehem menghilangkan segala andaian.

"Hana dekat hospital. Dia pengsan semalam. Mungkin esok dia datang universiti. Ada apa kau nak jumpa dia?" Soal Anuar. Ada sedikit perasaan cemburu.

Ikmal ketawa kecil apabila membaca apa yang bermain di kepala lelaki itu. Cemburu? Aku bukan mahu mendapatkan Hana, cuma ada beberapa amaran buat perempuan itu agar lebih berhati-hati. Rambut sama hitam tetapi hati lain-lain. Hati manusia kita tidak dapat menduga apatah lagi orang itu kawan baik kita sendiri yang kita percaya.

"Ada benda yang aku nak sampaikan. Kalau dia tiada, tak mengapa. Besok aku jumpa dia. Aku pergi dulu!" Jawab Ikmal sudah berlalu pergi meninggalkan dirinya keseorangan. Anuar bercekak pinggang mula pelik dengan sikap Ikmal.

PINTU bilik dihempas kuat. Perasaan marahnya meluap tinggi. Dendamnya semakin hari semakin membara. Matanya dialihkan ke sebuah kotak di atas meja belajarnya. Pantas dia mendekati dan menyelongkar kotak itu. Ada beberapa keratan akhbar tentang kematian insan yang dia paling sayangi. Air matanya mula menitis laju. Setiap kematian insan yang dia sayanginya pasti dia akan membalas dengan titisan darah. Darah mesti dibayar dengan darah. Maut pasti akan datang.

Perlahan-lahan dia menarik laci di sebelahnya. Ada beberapa kepingan gambar pelajar perempuan yang bermusuhan dengan arwah dahulu. Baru sahaja tadi dia terserempak dengan perempuan itu di universiti. Lalu dia mencapai marker merah dan memangkah muka perempuan itu. Engkau orang seterusnya.

KEBAYAWhere stories live. Discover now