Sekitar tahun 1956
Hasril melepaskan segala batuk dan lelahnya dan duduk melunjur di atas hamparan kekeringan daun pisang. Mindanya dihambat rasa berkecamuk berbakul-bakul saat merisiknya kali ketiga buat keluarga Nuraisha ditolak keras oleh ayah gadis itu. Dia tidak tahu apa punca Pak Ismail tidak senang dengannya. Pada akalnya, jika dia tidak memiliki Nuraisha dengan cara baik, dia akan dapat juga gadis itu dengan cara apa sekalipun. Asalkan dia dapat berkahwin dengan Nuraisha.
Peluh menitik hebat di atas dahinya, lantas dia menyeka. Pekerjaannya sebagai pekebun tegar di kebun milik arwah mak dan abahnya menjadikan dia betah dengan hidup susah. Lagipun, dia hidup dengan sebatang kara, tiada sesiapa. Kalau ada pun, hanya sebilangan kawan kampung sahaja yang sudi berkawan.
Satu tepukan singgah tepat di kedua bahunya, pantas dia menoleh. Alis keningnya terangkat sebaik mengetahui pemuda itu datang mahu berjumpa dengannya di sini. Lantas dia bangun dan huluran tangan diberikan namun tidak disambut oleh pemuda itu.
Makruf menghemburkan ketawa sinis. Bola matanya memandang Hasril atas bawah seakan tidak suka dengan lelaki itu. Baginya, dia tidak akan memberikan sebarang peluang buat lelaki itu bagi mendapatkan cinta Nuraisha.
"Aku datang sini hanya nak berikan engkau satu amaran." Makruf tidak menghabiskan ayatnya. Dia mahu buatkan pekebun itu tertanya-tanya apa yang bakal dia sampaikan sekejap lagi.
Hasril berkerut dahi.
"Apa amaran kau?" Soal Hasril mahukan kepastian. Selama ini, jika dia bertembung dengan Makruf pun hanya berlaga bahu. Itu pun Makruf sahaja yang mulakan. Dia tidak tahu kenapa Makruf seakan tidak menyukai dirinya dari dahulu. Sedangkan mereka membesar bersama-sama dengan rakan kampung yang lain.
Makruf menyandar badannya di batang pokok pisang. Matanya beralih meratapi kebahagiannya hidup bersama dengan gadis impiannya.
"Aku tak nak kau bermimpi untuk berkahwin dengan Nuraisha. Dia milik aku! Selamanya hak aku! Aku dah bincang dengan Pak Ismail pasal tarikh perkahwinan aku dengan Nuraisha. Tidak lama lagi aku akan berkahwin dengan gadis pilihan aku. Jadi aku harap sangat, kau menyerah sahajalah. Buang masa dan tenaga kau saja nak menambat hati Pak Ismail itu. Sedangkan dia dekat rumah itu langsung tak kisah pasal kau!" Juih Makruf berlagak sombong seolah dia sudah merencanakan tepat masa hadapannya dengan teliti sekali.
Jantung Hasril seperti gagal mengepam darah. Seluruh darahnya hilang membuatkan dia berpinar seketika. Nasib baik tangannya sempat memaut batang pokok pisang di sebelahnya. Terus dia teringat segala kata janji Nuraisha untuknya seketika lalu. Gadis itu berjanji mahu bernikah dengannya sahaja. Habis kali ini, apa pula alasan Nuraisha? Tidakkah gadis itu menentang habis-habisan untuk tidak berkahwin dengan Makruf? Dia sungguh terasa hati dan dihambat rasa kekecewaan yang tidak bertepi.
"Jadi apa yang Nuraisha cakap? Dia setuju kahwin dengan kau?" Soal Hasril lemah.
Soalan itu mencabar pangkal hati Makruf. Runcing matanya menikam mata Hasril. Soalan yang dia ada jawapan. Ya, dia tahu cinta hati Nuraisha hanya untuk Hasril. Nuraisha gadis yang sangat cantik di kampung ini, hatinya sudah terpaut dari zaman remaja lagi. Namun setiap kali dia cuba menghampiri gadis itu, dia tidak beroleh peluang apatah lagi bermesra. Nuraisha bagaikan membuat satu sempadan hubungan untuk mereka berdua.
"Dia tak cakap apa-apa. Dia diam. Dan diam selalunya orang kata setuju, bukan? Kalau sudah namanya aku dengan Nuraisha ada jodoh, pasti tidak akan kemana." Katanya sinis. Sengaja mahu menambah hati Hasril yang membara.
Hasril menundukkan wajah. Dia tidak tahu apa yang dia rasa sekarang. Membalas pandang wajah Makruf pula terasa segan dan malu. Dia sedar siapa dirinya jika dibandingkan dengan usahawan muda seperti Makruf. Jadi pasti Pak Ismail menerima pinangan daripada Makruf dengan berlapang dada. Kalau dirinya, usah mahu dipandang malah dihina dan dicaci habis-habisan seolah dia pula berhutang dengan Pak Ismail. Itulah adat manusia. Jika ada harta dan pangkat dipandang tinggi tanpa pedulikan orang yang tiada berharta dan miskin.
YOU ARE READING
KEBAYA
Mystery / Thriller"Kita kena cepat-cepat kebumikan Mak Sarinah sebelum lewat malam, Pak Wan. Jenazah Mak Sarinah biar saya yang uruskan dengan kawan saya. Pak Wan kena banyak-banyak bersabar. Allah sentiasa ada dengan hamba-Nya yang banyak bersabar." Kata Makruf penu...