BAB 3

1K 9 0
                                    


Hasril menepuk nyamuk yang sudah singgah di lengannya. Baju lengan pendek yang dipakainya dirasakan tidak selesa untuk waktu ini. Mana tidaknya, nyamuk mula menggerumi setiap kulit putihnya. Jadi, dia menggaru untuk hilangkan rasa gatal. Dia tetap cuba bertahan untuk menunggu kedatangan Nuraisha di tempat biasa. Tempat yang jauh dari mata-mata orang kampung.

"Abang..." Bisik satu suara.

Hasril pusing ke belakang. Bibirnya menguntum senyuman tanda senang dengan kedatangan kekasih hatinya. Namun apa yang buat Hasril menarik kembali senyuman tatkala di tangan Nuraisha ada sebuah beg berisi pakaian.

"Apa yang Aisha cuba buat ini?" Ternaik kening Hasril dengan sifat berani Nuraisha. Bersungguh gadis itu mahu berkahwin lari dengannya. Tetapi bukankah cara ini yang dia rasa perlu mereka buatkan? Tetapi yang menjadi masalahnya Nuraisha pula sudah bertunang. Hatinya diburu rasa bersalah.

Nuraisha meletakkan beg di bawah dan kembali mendapatkan Hasril. Mereka berdua duduk bersama di sebuah bangku. Dia sudah fikir masak-masak, dia perlu ikut segala rasa hatinya. Selama ini memang dia terlalu menurut segala perintah mak dan abahnya sejak dari kecil. Tetapi tidak kali ini. Sebelum dia keluar, dia sudah meninggalkan sekeping surat dan sebentuk cincin di atas meja solek biliknya. Pandai-pandailah nanti mak dan abahnya mencarinya. Tidak sedikit pun rasa kesal.

"Aisha sudah fikir masak-masak. Aisha nak kita kahwin lari." Putusnya. Dia tidak mahu menoleh ke belakang lagi.

Hasril diam. Matanya terpejam rapat. Adakah ini satu tindakan yang betul?

"Aisha... Kadangkala memang kita mahu turutkan hati kita. Tetapi ada insan lain yang terluka kerana kita sudah tersilap langkah. Aisha ada mak dan abah lagi. Dan mereka masih hidup. Aisha kena ikut segala perintah mak dan abah." Entah kenapa mulutnya berkata lain sedangkan fikirannya tidak bersetuju dan selari. Benar, dia mahu ajak Aisha berkahwin lari tetapi kadangkala dia rasa serba-salah. Melarikan anak gadis oraang menjadi satu kesalahan besar buatnya.

Nuraisha mengeluh dan rimas dengan sikap tidak teguh Hasril.

"Ikut abanglah. Kalau abang tidak mahu kita kahwin malam ini, Aisha balik dan jumpa Makruf, bagitahu Aisha nak kahwin segera!" Telatah Nuraisha tidak ubah seperti budak-budak merajuk kerana tidak mendapat aiskrim.

Hasril garu kepala.

"Baiklah. Sini, ikut abang. Kita pergi ke pondok sana. Abang bagitahu kawan abang untuk hantarkan kita ke kampung seberang. Dekat sana nanti, abang akan bawa Aisha duduk dengan rumah mak saudara abang." sebenarnya, Hasril sudah pun membuat perancangan rapi memandangkan semua orang tidak tahu dia mempunyai mak saudara di belah kampung lain.

Nuraisha diam sebaik mendengar. Dia mahu hidup bersama Hasril di dalam rumah mereka sediri tanpa wujud orang lain.

"Tapi... Aisha tak nak tinggal dengan mak saudara abang apabila kita sudah kahwin nanti. Aisha nak kita tinggal berdua." Omel Nuraisha. Sempat lagi tangan kanan Hasril mencuit hidung bakal isterinya.

"Bersungguh betul Aisha nak kahwin dengan abang. Abang rasa sungguh terharu." Itulah apa yang dia rasai sekarang. Cinta itu memang buta, sanggup melakukan apa sahaja demi kepuasan sendiri. Sama seperti Nuraisha dan Hasril.

"Aisha sangat cintakan abang." Ucapnya telus. Dia rasa bahagia saat ini tanpa memikirkan nasibnya di kemudian hari.

MALAM itu, Makruf tidak senang duduk. Hatinya merasakan ada perkara buruk yang bakal melanda hidupnya. Firasat hatinya tidak pernah berbohong. Lantas di dalam kepalanya teringatkan Nuraisha. Apa yang sedang Nuraisha buat malam-malam ini? Matanya mengerling jam di dinding kayu rumah. Jarum jam sudah menjangkau pukul sebelas malam. Dia geleng kepala. Mungkin andaiannya sahaja sampaikan dia sukar untuk tidur malam. Namun, dia harus keluar juga untuk datang ke rumah Pak Ismail.

Selesai sahaja dia bersiap, Makruf menapak langkah perlahan kerana takut didengari orang tuanya. Dia tidak mahu orang tuanya risau.

Tuk... Tuk... Tuk...

"Assalamualaikum Pak Ismail? Assalamualaikum???"

Bergegar pintu rumah yang sudah uzur itu. Hati Makruf sudah tidak sedap hati. Dia mahu melihat tunangnya sekarang. Kalau boleh dia ingin menerjah masuk ke dalam rumah tanpa dipelawa. Tapi adab membatasi tindakannya. Akhirnya dia kena bersabar.

Beberapa minit barulah Pak Ismail bukakan pintu. Isterinya, Mak Faridahh juga menemani di sisi.

"Ada apa kamu datang ke mari malam-malam buta ini?" Soal Pak Ismail tidak senang dengan kedatangan bakal menantunya. Kalau hajat lelaki itu mahu berjumpa anaknya, dia akan berkeras. Malam-malam tidak elok berjumpa, nanti apa pula orang kampung mengata. Buruk kata orang kampung, muka mereka yang menahan tebalnya.

"Saya datang nak jumpa Aisha. Dia ada?" Soal Makruf sambil meninjau kepalanya di sudut pintu walaupun kelibat Nuraisha tiada.

Mak Faridahh geleng kepala. Apa yang dirisaukan agaknya? Sedangkan Nuraisha ada aje dalam bilik. Lampu bilik pun gelap menandakan dia sudah masuk tidur.

"Dia ada saja dalam bilik. Sudah tidur. Kamu tak payahlah nak jumpa dia malam-malam buta ini. Tak manis." Kata Pak Ismail berkeras.

Makruf menghela nafas. Jikalau itu yang Pak Ismail katakan, tidak mengapa. Tetapi kalau-kalau Nuraisha lari rumah? Dia sudah geleng kepala. Tidak sanggup dia kehilangan insan yang dia sayang. Gadis itu satu-satunya yang paling berjaya membuat hatinya tidak keruan siang dan malam.

"Tapi..."

"Sudah! Tiada tapi-tapi lagi! Dengar kata aku, kalau kau nak anak aku jadi isteri kau!" Jerkah Pak Ismail. Pantang betul jika sesiapa yang melanggar arahan dan segala perintahnya. Itu semua demi kebaikan mereka juga.

Makruf lambat-lambat angguk kepala walaupun tanpa kerelaan hati. Akhirnya dia meminta diri untuk pulang. Namun sempat lagi dia menoleh ke belakang. Berharap Nuraisha datang kepadanya mengucapkan kata cinta. 

KEBAYAWhere stories live. Discover now