Hujan turun lebat. Diora merenung sejenak ke luar jendela. Titisan air hujan deras membasahi bumi membuatkan dia terasa sesuatu. Tenang. Namun di sebalik rasa tenang, ada sesuatu rasa lain tersembunyi di sudut hati perempuan itu. Dingin. Di kala ini, fikirannya menerawang ke memori semalam.
Pada waktu itu, hujan turut lebat pada kadar yang sama. Tetapi yang berbeza ketika itu adalah langit gelap lagi gelita. Rasa kedinginan deruan angin hujan tidak terasa sangat dek kardigan yang menutup lengannya.
Hati Diora galau. Tangan yang menggenggam sebatang pena menggeletar. Entah apa la yang dijawabnya dia di atas kertas kuiz tadi. Kalau tidak disebabkan dia pergi menyertai program perkhemahan Jumaat minggu lepas, pasti waktu ini dia tidak berada di situ. Fikirannya kusut dan keroyok.
"Tak balik kolej lagi?" satu suara garau menyapa Diora dari tepi. Dia mendongak sedikit kepala menoleh ke sisinya. Pandangannya disapa oleh wajah tampan lagi kacak Osiris. Diora tertanya-tanya dari mana jejaka itu datang.
"Kenapa kau ada di sini?"
"Soalan aku, kau tak jawab."
"Kau sendiri pun tak jawab soalan aku." kata Diora selamba. Riak serius Osiris diendahkan sahaja.
"Ada payung?"
"Tak ada." Diora menunjuk sebatang pen yang berada di tangannya.
"Kuiz?"
Diora mengangguk.
"Senang?"
Diora menggeleng.
Senang? Langsung tak! Susah nak mati ada la soalan-soalan tadi. Teringat pula dia dengan soalan-soalan yang terlukis kemas di atas kertas putih diedarkan oleh pensyarah kepadanya di dalam kelas beberapa detik tadi.
"Tak study?" Diora menjeling tajam Osiris. Sedap mulut sahaja jejaka itu tuduh dia tidak buat ulang kaji. Osiris tak nampak dia bersengkang mata sampai matahari terbit dua tiga hari sebelum menjawab kuiz.
Osiris cepat-cepat angkat tangan ke atas. "Oops, sorry." Tak ikhlas bunyi maaf Osiris.
"Kau buat apa dekat sini?" Soalan tadi diulang semula ke jejaka itu.
"Sesi tutor. Kau lupa ke hari ini hari apa? Hari Rabu malam?"
"Ingatlah. Tapi bila masa pula kau ada dalam kelas tutor tadi? Aku tak nampak kau pun."
Sebaik sahaja Diora menjawab kuiz, dia sengaja membawa diri ke kelas tutor. Ini kerana ikut pada jam, kelas tutor masih berbaki masa 30 minit. Boleh la dia cedok sikit-sikit info atau tip yang berguna daripada senior yang boleh diguna masa jawab peperiksaan hujung tahun nanti.
"Aku tahu la kau pakai cermin mata tapi aku tak sangka pula kau punya tahap rabun sampai buta."
"Osiris!" laju tangan Diora menampar bahu Osiris. Geram punya pasal.
"Apa? Kau duduk depan aku tadi, Diora."
Dahi Diora berkerut.
"Itulah kau... sibuk sangat bergayut dengan entah siapa dekat telefon sampai tak sedar kewujudan aku depan mata kau." Intonasi bicara Osiris kedengaran berjauh hati dengan Diora.
"Sorry, aku tadi stres sangat dengan soalan kuiz Puan Maria." Memang dalam kelas tutor tadi dia ada telefon seseorang meluahkan rasa tidak puas hati dengan soalan susah tahap apa kuiz yang dia jawab dalam kelas tadi.
"Kau tak study... maksud aku, kau tak tanya sesiapa ke soalan kuiz sentuh topik apa?" Osiris membetulkan susunan ayat sebaik menangkap jelingan amaran Diora.
"Semua tak nak beritahu aku. Kata dia orang, kalau aku tahu nanti tak adil la. Maklumlah masa kuiz hari tu kan, aku seorang je yang tak ada. Padahal aku bukan tanya soalan apa keluar. Aku tanya bab dan topik mana yang akan keluar sahaja." Rungut Diora tidak berpuas hati dengan sikap rakan sekelasnya.
YOU ARE READING
Diora
RomanceDiora dan Osiris. Kedua-duanya merupakan mahasiswa yang sedang menuntut pengajian di Universiti Kalopsia. Berada di dalam bidang dan cabang pengajian yang sama namun berbeza cara kehidupan. Diora dengan rutinnya. Osiris dengan hidupnya. Tapi ada sah...